11.4.22

Kejadian Refluks Asid dalam Perut Semasa Berpuasa


Ramadan sudah masuk ke minggu kedua. Sekejap nanti, sedar sedar sudah hampir ke Hari Raya.

Puasa kali ini agak mencabar bagi saya.

Sebelum berpuasa lagi sudah kurang sihat. Selesema sikit, kemudian diikuti tekak kering sehingga ke hari ini.

Cuma keadaan tekak sebegini jarang saya alami. Saya tak batuk melainkan apabila ada lendiran jernih atau putih yang mahu keluar dari kerongkong. Selain itu, serasa kurang selesa menelan dan sesekali terasa pahit atau masam di pangkal kerongkong.


Foto: Hello Doktor



Ini bukan tonsillitis. Sebab kalau itu masalahnya, lebih rumit dan menyakitkan. Langsung sukar makan. Akan demam tinggi dan silap silap tak mampu nak berpuasa. 

Tapi ini tidak.

Saya buat carian di internet apakah punca tak selesa menelan ini berlaku. Salah satunya disebabkan refluks asid dalam perut, yang mana perut menghasilkan lebih banyak asid lalu naik ke esofagus dan kerongkong sekaligus menyebabkan rasa tak selesa apabila menelan, akibat tekak yang kering dan radang.


Sumber: Portal MyHealth



Lendir yang terhasil adalah untuk melindungi kerongkong daripada radang tersebut. 

Kalau refluks asid yang lebih serius, akan rasa pedih ulu hati. Setakat ini saya tak ada rasa sebegitu dan mencuba untuk mengawalnya sendiri di rumah.

Saya cuba tak bercakap banyak atau terlalu lama untuk elak tekak kering. Minum air halia madu suam dan sesekali menghidu wap cengkih. 


Sumber: The Diagnosa



Perut berasid boleh juga disebabkan puasa namun paling utama apabila salah memilih makanan sahur atau berbuka. Makanan yang harus dielakkan adalah yang pedas, berempah, berminyak atau berlemak berlebihan. Selain itu, makanan masam juga perlu pantang sementara supaya refluks asid tak menjadi lebih teruk.

Perlu minum air secukupnya selepas berbuka dan sewaktu sahur supaya badan dapat cukup air dan tekak tidak terlalu kering. Ambil banyak buah-buah berair seperti tembikai dan timun juga baik. Memakan lebih sayur-sayuran hijau juga dapat menstabilkan kandungan asid dalam perut.

Perit juga berpuasa apabila berlaku keadaan ini. Namun saya cuba mengubah corak pemakanan supaya simptom refluks asid ini berkurangan dan saya dapat berpuasa dengan selesa.

===============================================================

Ingin ikuti perkongsian bahasa, ejaan tepat dan asas penyuntingan yang betul?

Follow Facebook: Hif Editorial Services

No comments:

Post a Comment

Ada apa-apa nak tanya?