22.1.24

Kenapa Saya Jadi Editor Bebas (Freelance Editor)?

Saya membayangkan kehidupan bergerak sebagai editor atau penulis bebas setelah bersara daripada kerja sepenuh masa di pejabat.

Sebagaimana saya melihat rakan sekerja yang sudah berpencen tapi masih berupaya bekerja sendiri - antara motivasi saya untuk buat sesuatu selepas tidak lagi masuk ke pejabat dan mengharung kesesakan lalu lintas setiap pagi dan petang.

Saya turut membayangkan usia-usia tua saya diisi dengan kerja-kerja menulis dan mengedit. 

Namun tak sangka Allah hadirkan situasi ini lebih awal.

Saya dan rakan-rakan sepejabat terpaksa melepaskan jawatan setelah syarikat membuat keputusan untuk menutup operasi mereka di Malaysia. Saya yang ketika itu sedang mengandung enam bulan, anak pertama.

Nak cari kerja lain, kena tunggu selepas habis pantang.

Cari... cari... akhirnya selepas anak mencecah sembilan bulan, saya kembali bekerja di pejabat.

Sukar. Sekurang-kurangnya pada saya.

Lain situasinya apabila sudah ada anak kecil dan komitmen keluarga. Persekitaran kerja juga berbeza, ditambah dengan situasi hidup lain yang muncul tanpa diduga.

Kesudahannya saya hanya mampu bertahan selama kurang dua tahun. Saya menghantar notis berhenti kerja semasa mengandung lapan bulan, anak kedua.

Sejak itu, saya bergerak sendiri sebagai editor bebas hingga kini, sudah hampir 10 tahun.

Mahu kembali bekerja sepenuh masa di pejabat? Mungkin tidak, jika ditanya sekarang.

Tuntutan keluarga dan anak-anak, kesihatan mental lebih utama pada saya biarpun tiada gaji tetap bulanan agak memeritkan.

Namun, saya bersyukur masih boleh beroperasi dari rumah dan menggunakan kemahiran serta pengalaman yang saya ada untuk menjana pendapatan.

Tidak indah, tapi itu yang terbaik buat masa ini.



Kredit: Cottonbro Studio (Pexels)




Perlukan servis penyuntingan, penulisan atau penterjemahan? 
 E-mel ke hifeditorialservices@outlook.com

Like dan Follow Facebook Hif Editorial Services 


16.8.23

5 Sebab Blog Mudahkan Penulis Pemula

Banyak platform yang boleh digunakan untuk penulis pemula mengasah bakat, mencari momentum dan mengumpul bahan penulisan.

Ada yang senang menulis di media sosial, ada yang selesa memilih menulis secara manual dalam diari atau buku nota, ada juga yang rasa mudah menulis di Words.

Apa cara sekalipun, yang penting terus konsisten menulis.

Namun, blog merupakan satu platform yang sangat bagus untuk dimanfaatkan jika mahu serius menulis.

Boleh saja guna media sosial yang lain, tapi untuk menghimpun dan menyusun bahan dengan lebih sistematik, mudah diurus dan lebih kemas, pindahkan bahan ke blog.


Foto: Nomadic Chic


Apa kelebihan blog untuk penulis pemula?

1. Platform percuma dengan pelbagai widget untuk memudahkan perancangan dan penyusunan bahan penulisan.

2. Boleh menulis tak kira bab. Hari ini ilham datang untuk Bab 1, tulis untuk Bab 1. Esok datang ilham untuk Bab 4, tulis untuk Bab 4. Susun kemudian. 

3. Boleh edit sebanyak mana diperlukan. Edit teks, masukkan gambar, video, pelbagai features boleh dimanfaatkan untuk hasilkan post yang menarik.

4. Boleh dijadikan medium membina tribe pembaca atau bakal pembeli (jika berniat untuk menerbitkan karya).

5. Menaikkan penjenamaan diri dan meletakkan tapak di carian Google melalui blog. 

Mula langkah pertama menjadi penulis, dengan membina blog sendiri.

Daripada blog, berkembang menjadi manuskrip, seterusnya diterbitkan dalam bentuk zine, buku atau e-book.

Untuk belajar lebih lanjut teknik menulis menggunakan blog, boleh sertai Kelas Asas Blog Penulisan secara Personal Coaching (Bersemuka/Online) bagi Edisi 2023.

Slot coaching dibuka, boleh TEKAN SINI untuk booking dan info kelas.


14.4.23

Penterjemahan Sari Kata - Seronok Tapi...

Jika dulu, kalau baca sari kata di tv yang macam tak kena atau terjemahannya pelik sangat, rasa gatal saja tangan nak tolong terjemahkan bagi betul dan tepat.

Penterjemahan sari kata bukan boleh terjemah perkataan demi perkataan saja tapi perlu tengok konteks dialog itu juga. Kena faham betul-betul. Kalau tak , lari maksudnya dan penonton tak faham.

Setelah sekian lama, peluang menterjemah sari kata muncul selepas rakan penterjemah menawarkan projek kolaborasi.

Aku tak pernah bida atau mencari projek macam ni sebab tak ada pengalaman dan tak tahu nak cari di mana pun. Tapi, apabila rakan suakan peluang dan mereka ada sedikit pengalaman, jadi inilah masanya aku belajar dan kutip pengalaman.

Projek pertama, tak mudah. Segalanya aku rasa sangat sukar. Aku baru nak mengenal teknikaliti penyarikataan. 

Software yang perlu diguna. Cara nak guna untuk generate teks. Apa format file dan video yang digunakan.

Rakan lain gunakan Subtitle Edit (SE). Aku guna Aegisub. Pernah cuba SE tapi version yang aku muat turun ni ada saja tak kena. Ada pautan kod yang tak lengkap katanya. Mujur boleh guna Aegisub. 


Sumber foto: Toppan Digital


Projek pertama aku, buat sari kata BM untuk filem Indonesia. Fail sari kata BI dalam format srt disediakan. Jadi mudah sedikit kerja. Lagi pula bahasa asalnya Indonesia, masih serumpun. Aku kira lebih okey kalau dibandingkan bahasa asing yang aku tak biasa. 

Asbab filem ini, aku belajar banyak juga kosa kata Indonesia. Mujur juga filemnya komedi. Terhibur sambil buat. Aku enjoy buat sari kata filem ini cuma itulah baru nak membiasakan diri.

Lama juga aku ambil masa. Kadang-kadang mampu buat hanya beberapa minit saja itupun dah mengantuk sangat. Dialog perlu didengar berulang kali untuk memastikan sari kata yang betul. 

Sampai tersengguk aku menghadap filem ini dan sudahkan sari katanya. Bulan puasa pula tu. Semalaman tak tidur sampai sahur. Syukur siap akhirnya dan maklum balas juga positif. Lega.

Walaupun nampak mudah tapi rupanya banyak hal teknikal yang perlu dikuasai untuk menyiapkan sesuatu sari kata. 

Kena pastikan format fail yang diterima. Semak juga jika perlu transkripsikan teks itu sendiri. Kemudian perlu edit dan terjemahkan. Akhir sekali, semak 'time coding'.

Penyarikataan. Seronok tapi perlu kental nak siapkan. 

===========================================================

Perlukan servis penyuntingan, penulisan atau penterjemahan? E-mel ke: hifeditorialservices@outlook.com