17.1.22

Ulasan Buku: Kumpulan Cerpen Pendoa yang Ikhlas oleh Azizi Hj Abdullah

Buku 1/24

Karya Azizi Hj Abdullah jadi pembuka bacaan tahun 2022. Buku yang dipilih, Kumpulan Cerpen Pendoa yang Ikhlas.

Seperti karya Azizi yang pernah saya baca sebelum ini, watak yang sering diketengahkan ialah Ayah.

Ayah yang keras kepala, ayah yang memendam rasa hingga menimbulkan salah faham anak-anak. Kebanyakan ayah zaman dulu begitu karakternya. 

Sebahagian cerpen yang berlatarbelakangkan kawasan pedalaman dan kisah ayah tua, membawa kita ke kampung yang masih dekat dengan hutan rimba dan laut/sungai. Hubungan antara ayah dengan anak-anak, pendirian ayah yang kadangkala sukar ditelah dan menimbulkan salah faham anak-anak.

Sebahagian cerpen lagi mengisahkan hubungan guru dengan anak murid. Cabaran menjadi guru atau pendidik kepada murid yang sukar menerima pelajaran. Guru hilang sabar namun di sebaliknya ada kisah yang menyebabkan perkara itu berlaku. Boleh baca kisah Mohd Dhuha. Kenapa diberi nama sebegitu, apa sebab gurunya naik angin padanya. Mula-mula rasa geram baca cerpen ini tapi sayu di penghujungnya.

Keseluruhannya, memang seronok baca karya ini. Mungkin juga sebab saya memang peminat karya Azizi Abdullah. Bacaan yang bagus sebagai pemula tahun. Saya pinjam dari PNM E-Lib.


Judul: Kumpulan Cerpen Pendoa yang Ikhlas
Penulis: Azizi Hj Abdullah
Penerbit: DBP

#zailareads #zailareads2022 #ebook #pnm #elibrary #perpustakaanegaramalaysia #ereader #pendoayangikhlas #dbp #bukudbp #ebookdbp

2.1.22

Tahun Baharu 2022

Tahun baharu dimulai dengan memenuhi jemputan majlis perkahwinan anak sepupu.

Pasangan pengantin yang bernikah pada musim PKP 1.0, selepas dua tahun baru berpeluang meraikan keluarga sebelah lelaki.

Istimewa dapat bersanding dengan anak masing-masing.

Begitulah bagaimana pandemik mengubah perancangan dan hidup kita. Begitulah apabila Allah membenarkan atau tidak sesuatu yang kita rancangkan berlaku.

Pandemik ini banyak mengajar kita reda dan menerima segala yang kita inginkan boleh berubah sekelip mata atas izin Allah. Mungkin dari satu segi Allah mahu didik kita supaya menyerahkan segala urusan kepada-Nya walaupun kita merasakan kita sudah lakukan yang terbaik.

Berbalik kepada undangan perkahwinan, syukur kelonggaran telah diberi untuk penganjuran majlis. Walau dengan SOP yang ketat, masih dapat meraikan pengantin. Yang penting bukanlah lauk kenduri semata-mata, tapi dapat berjumpa sanak saudara biarpun sekejap sahaja.

Walaupun dunia masih dilanda pandemik yang belum pasti kesudahannya, kita tetap perlu teruskan hidup yang masih tersisa. 

Menghargai nikmat depan mata, manfaatkan masa yang ada, jalani hidup secara minimalis.

Hidup sebagai ibu yang bekerja di rumah diteruskan, tugasan tahun baharu tetap perlu diselesaikan. 

Pembacaan pruf Biologi Tingkatan 5 masih berbaki satu bab. Kelas asas blog dan penulisan akan menyusul. Mahu mengasah bakat menulis atau berhasrat mahu terbitkan e-buku, insya Allah boleh mula dengan blog dahulu.