2.1.22

Tahun Baharu 2022

Tahun baharu dimulai dengan memenuhi jemputan majlis perkahwinan anak sepupu.

Pasangan pengantin yang bernikah pada musim PKP 1.0, selepas dua tahun baru berpeluang meraikan keluarga sebelah lelaki.

Istimewa dapat bersanding dengan anak masing-masing.

Begitulah bagaimana pandemik mengubah perancangan dan hidup kita. Begitulah apabila Allah membenarkan atau tidak sesuatu yang kita rancangkan berlaku.

Pandemik ini banyak mengajar kita reda dan menerima segala yang kita inginkan boleh berubah sekelip mata atas izin Allah. Mungkin dari satu segi Allah mahu didik kita supaya menyerahkan segala urusan kepada-Nya walaupun kita merasakan kita sudah lakukan yang terbaik.

Berbalik kepada undangan perkahwinan, syukur kelonggaran telah diberi untuk penganjuran majlis. Walau dengan SOP yang ketat, masih dapat meraikan pengantin. Yang penting bukanlah lauk kenduri semata-mata, tapi dapat berjumpa sanak saudara biarpun sekejap sahaja.

Walaupun dunia masih dilanda pandemik yang belum pasti kesudahannya, kita tetap perlu teruskan hidup yang masih tersisa. 

Menghargai nikmat depan mata, manfaatkan masa yang ada, jalani hidup secara minimalis.

Hidup sebagai ibu yang bekerja di rumah diteruskan, tugasan tahun baharu tetap perlu diselesaikan. 

Pembacaan pruf Biologi Tingkatan 5 masih berbaki satu bab. Kelas asas blog dan penulisan akan menyusul. Mahu mengasah bakat menulis atau berhasrat mahu terbitkan e-buku, insya Allah boleh mula dengan blog dahulu.

No comments:

Post a Comment

Ada apa-apa nak tanya?