Panduan Berpantang Melayu

Teks & Imej: Hifzaila Hafni

Sehari dua ini, kerap pula terima order pakej ebook pantang. Alhamdulillah, walaupun belum lagi diterbitkan dalam bentuk fizikal tapi tetap ada yang berminat. Semoga dipercepat dan dipermudahkan urusan ebook ini bertukar kepada buku fizikal pula. Aminnn untuk penulis ebook pantang, Puan Masayu Ahmad.

Ebook pantang ni, secara peribadi, banyak bantu saya masa berpantang anak kedua dan ketiga. Bezanya, masa pantang anak kedua, saya hanya sempat baca ebook 44 Resipi Pantang tapi masa pantang anak ketiga, saya sempat habiskan satu lagi ebook, Panduan Pantang Tradisional dan Moden. Masa anak pertama, belum beli lagi ebook-ebook ni. Hehe

Apa yang ibu berpantang dapat daripada pakej ebook pantang ni?

1. Sebanyak 44 resipi pantang, merangkumi pelbagai resipi nasi, lauk, sayur, buah, jus. Bantu hilang buntu idea nak masak.

2. Dalam ebook resipi pantang, ada juga info tentang pemakanan sihat sepanjang pantang dan tip kembali langsing lepas bersalin.

3. Menu pantang yang simple dan sedap. Nak buat pun senang. Panduan berguna bagi penjaga ibu berpantang untuk siapkan makanan.

4. Ebook pantang tradisional dan moden, tebal tapi sangat berbaloi dibaca dan dihadamkan. Panduan lengkap dan terperinci cara berpantang orang dulu dan kepentingan setiap proses utama berpantang seperti berbengkung dan bertungku.

5. Menerangkan proses pantang Melayu dari mula hingga akhir, juga maklumat tambahan tentang penjagaan diri dan kesihatan setelah habis berpantang. Sangat sesuai bagi mereka yang pertama kali melalui proses berpantang, para perawat ibu dalam pantang, penjaga ibu berpantang dan para suami untuk dapat gambaran kasar tentang proses pantang.

---

Ebook ini boleh di'view' melalui PDF reader, atau boleh dicetak mengikut saiz yang diinginkan.

Harga satu ebook adalah RM30, tetapi bagi pakej promo, kami tawarkan 3 ebook hanya pada RM50. Setakat ini promosi ini masih berjalan sehingga diberitahu kelak.



Pakej ni ada 1) Ebook 44 Resipi Pantang Tradisi Melayu 2) Ebook Panduan Pantang Tradisional dan Moden 3) Ebook Super Wahm Super Mom .

Amat berbaloi dengan harga RM50 sebab harga asalnya RM90.

Ibu yang akan berpantang, atau suami yang akan menjaga isteri berpantang mahupun sesiapa sahaja yang mahu tambah ilmu berkaitan berpantang Melayu, boleh dapatkan ebook ini dengan emel kepada hifzaila@hotmail.com.

Selamat berpantang!


Mak Dalam Kenangan

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: The Walton Centre

Mak saya itu, anak tunggal. Yatim piatu, tok dan tok wan saya Allah jemput agak awal juga yang saya tak pasti sewaktu umur mak berapa. Yang saya tahu, mak dijaga saudara-mara dan disebabkan itu mak dan saya serta abang dan adik amat rapat dengan tok-tok saudara dan hampir semua sepupu mak. Saling menjaga dan ambil tahu.

Mak saya, cikgu. Cikgu Bahasa Inggeris. Buku atau bahan bacaan dalam BI adalah biasa di rumah. Saya kira pendedahan awal menjadikan kami tidak kekok dengan buku. Jadi tak hairanlah kan kalau saya pun jual buku. Hehe



Allah pinjamkan mak kepada saya selama 12 tahun sahaja. Syukur diberi peluang menjaga mak hingga akhir hayat. Banyak pengalaman yang tak dapat dipadam sepanjang menjaga mak dari satu hospital ke satu hospital.

Mak memang fighter.

Walaupun dengan rambut yang kian menipis, tubuh yang makin susut -- mak tetap positif.

Jika orang lain masuk hospital sebab sakit dan keluar dengan sihat, mak pula sebaliknya, akibat rawatan kemoterapi. Jauh dalam hati saya, tak mau mak pi hospital. Sebab setiap kali nak balik, mak lemah dan nampak lebih sakit daripada mula datang. Tak macam orang lain.

Tapi begitulah. Apalah sangat yang budak 12 tahun faham dengan non-Hodgkin lymphoma dan rawatan kemo yang perlu diulang-ulang mengikut jadualnya.

Yang dia tahu, maknya sakit kuat. Perlu makan ubat tahan sakit yang paling mahal waktu itu, perlu dirujuk kepada beberapa orang pakar. Pelbagai hospital.

Berulang-alik ke hospital perkara biasa. Tidur di wad juga biasa.

Bancuh susu mak, suapkan minum, lap badan, memapah tubuh kurus mak ke bilik air dan bantu mak urus diri, sudah jadi rutin sejak umur 11.

Sesekali, kalau terima surat atau telegram dari kakak yang belajar jauh di luar negara, mak akan menulis balas dengan panjang lebar jika mak kuat sikit. Kakak dan mak memang rajin menulis dan bercerita.

Jadi, bukan pelik juga kalau kerajinan itu menurun kepada saya. Rajin menulis.

Kan.

Biarpun mak hanya sempat lihat keputusan UPSR saya sahaja. Walaupun mak tak sempat lihat saya menerima ijazah, mendapat pekerjaan pertama, berkahwin -- tapi saya tahu mak lebih bahagia di sana.

Tenanglah mak bersama ayah, kakak dan abang saya di syurga. Kami anaknya bertiga ini juga akan menyusul entahkan bila.

HAPPY BIRTHDAY, MAK.

Kalau mak ada, tahun ni mak genap 70 tahun.

Semoga Allahyarhamah Muzainah Zakaria ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan diampunkan semua dosa-dosanya.

Anak mak yang rindu mak sesungguhnya,
13.7.2017
2249
Sepang

Entri Blog di Mingguan Wanita Online

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Entri berkenaan rutin harian ibu mentua saya yang ditulis semalam rupanya mendapat perhatian wartawan senior majalah Mingguan Wanita, Puan Netty Ah Hiyer.

Setelah mendapat keizinan saya, entri tu dikongsikan di website MW siap ada gambar lagi. Hehe. Di entri blog saya tak letak pun. Segan sebenarnya hehe. Tapi dah Kak Netty minta, saya bagi je.


Niat saya menulis dan mencatat rutin ibu mentua saya tu adalah untuk rujukan saya sendiri dan kepada pembaca yang memerlukan panduan atau sedikit gambaran bagaimana nak susun jadual dan aktiviti di rumah.

Mencabar kan, sebab banyak sangat kerja rumah dan confuse nak mula mana dulu.

Memang rutin ini untuk mereka yang bergelar suri rumah sepenuh masa tapi suri bekerjaya pun boleh apply pada hari cuti atau hujung minggu. Jadual yang saya kongsikan hanyalah gambaran kasar sahaja. Kadang-kadang berubah juga ikut tahap kesihatan mak, aktiviti lain ke.

Pada awal-awal bulan saya menjadi suri rumah, saya blur juga nak atur jadual. Memang huru hara. Disiplin habis ke laut. Ada juga ikut beberapa jadual contoh suri rumah dalam ebook Super Wahm Super Mom tapi adakalanya tetap jua ke laut dek tak serasi atau terlalu rigid bagi saya.

Biasalah banyak benda nak dibuat di rumah hari-hari, sampaikan tak tahu nak mula yang mana dulu. Hinggalah akhirnya saya terbiasa tengok cara ibu mentua saya uruskan rumah, baik saya ikut cara beliau sahaja.

Tapi itulah macam saya kata, saya ikut mana yang mampu sebab saya ada anak kecil dan bekerja dari rumah. Cuma saya jadikan panduan untuk atur jadual saya pula.

Tiada satu jadual pun yang sempurna atau sesuai untuk semua orang. Dan rutin harian ibu mentua saya ini pun saya pasti kebanyakan ibu-ibu suri rumah senior di luar sana pun praktikkan juga.

Saya hanya kongsikan apa yang saya perhati secara kasar tentang rutin ibu mentua saya. Memang nampak padat, begitulah cara orang dulu. Kami sekeluarga juga turut bantu, bukanlah membiarkan mak buat semua kerja seorang diri, tambah lagi dengan keadaan kesihatan mak yang tidaklah sekuat dulu.

Semua mak di dunia ini hebat, setiap mak juga #superhebat di mata anak masing-masing.

Saya harap perkongsian ini bermanfaat bagi setiap orang yang membaca. Kalau nak baca artikel tu, boleh klik website MW di sini ya.


Rutin Harian Suri Rumah Senior

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: The Organised Housewife

Beraya di rumah mak tahun ni agak lama juga sebab suami cuti panjang. Walaupun dah terbiasa dengan rutin harian mak, tapi sesekali duduk lama tu terikut-ikut juga bila saya dah balik rumah sendiri.



Yang baik, apa salahnya kita ikut, kan?

Saya perhatikan rutin mak memang sama setiap hari. Sejak dulu. Kira konsisten begitu dan dah jadi kebiasaan atau tabiat dah. Saya pernah terbaca satu artikel, membincangkan kenapa perlu kita develop satu tabiat atau rutin; supaya kita boleh buat kerja dengan pantas dan tak terlalu berfikir (maksudnya kita tak ambil masa yang lama untuk fikir sebelum buat sesuatu kerja). Bila dah lama-lama, dah ada rutin biasa, kerja yang kita buat pun makin cekap dan cepat siap.

Saya kira sebab inilah kerja rumah mak selalu siap awal. Kadang-kadang pukul 9.30 pagi mak dah boleh berehat dah sekejap.

Sini saya kongsikan secara kasar rutin harian mak mentua saya, suri rumah sepenuh masa, berdasarkan pemerhatian saya sendiri.

5.30 - 6.30 pagi: Bangun, mandi, solat Subuh
6.30 pagi: Masuk baju dalam mesin basuh, masak air, kemas dapur, siapkan minum pagi (selalunya oat)
7.00 pagi: Siram pokok, sapu laman rumah dan dalam rumah
7.30 pagi: Jemur kain, kemas porch, susun kasut
8.00 pagi: Kemas dalam rumah, rehat kejap tengok tv
8.30 - 9.00 pagi: Sarapan, kadang-kadang keluar pergi pasar

Kalau tak ke pasar, mak sarapan ringan-ringan makan roti ke biskut ke cicah air panas sambil tengok tv rancangan kegemaran mak. Selalu anak-anak dah tolong rekodkan.

Kalau mak penat, mak baring kejap. Sebab mak memang buat kerja non stop kalau dah mula. Kaki mak pun tak berapa kuat, mudah bengkak kalau berdiri lama atau banyak berjalan. Kalau tak keluar pergi pasar tu memang mak rilek-rilek la kejap sebelum mula masak lauk tengah hari.

11.00 pagi - 1. 30 petang: Masak atau berurusan dapur
1.30 petang: Angkat kain jemuran kalau ada yang dah kering. Kadang mak balik-balikkan baju bagi cepat kering atau alih ke tempat yang kena banyak cahaya matahari
2.00 - 4.30 petang: Lipat kain, makan, rehat

Kadang bila dah petang, mak rehat-rehat saja sebab kerja semua dah selesai. Tengok tv ke, telefon anak-anak ke, layan Whatsapp ke (mak boleh baca cuma tak pandai nak taip). Kadang tu saya perhati mak kemas porch atau rearrange barang-barang kat dapur.

Menjelang maghrib, mandi dan solat. Kalau mak tak makan tengah hari, lepas maghrib baru mak makan. Ada masa mak dah letih masak jadi mak kurang selera nak makan tengah hari. Mak tak makan nasi, makan yang ringan-ringan saja.

9.30 - 10.00 malam: Tidur

Begitulah gambaran kasar rutin harian mak mentua saya. Ada hari keluar ke pasar lambat sikit. Ada hari ikut abah keluar ke mana-mana (kalau abah cuti). Ada hari cucu temankan, ada 2 orang anak buah sekolah dekat rumah mak, lepas sekolah balik ke rumah Uwan. Ada hari anak-anak bawa keluar ke mana-mana atau mak berjalan ke rumah anak-anak.

Saya cuba juga ikut rutin mak, mana yang terdaya dan sesuai dengan saya. Saya ambil sebagai panduan, selebihnya saya cuba adapt dengan rutin saya untuk jaga baby, kerja menulis, membuat editing, ajar anak membaca dan berbisnes online.





Reviu Buku: Menu Campak-campak Ayam oleh Chef Fendi

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Alkisahnya masa bulan puasa lepas, saya 'ter'tengok live video di Facebook PTS yang menampilkan Chef Fendi untuk demo memasak.



Saya memang dah jangka Chef Fendi akan kongsikan menu dari buku masaknya yang baru saja terbit iaitu Menu Campak-campak Ayam dan Masakan Barat. Betul jangkaan saya, dia berkongsi resipi Chicken Boxing yang diambil daripada buku MCC Ayam.

Gigih ni saya tengok dari mula sampai habis dan lebih gigih lagi siap jawab soalan yang ditanya sebab nak menang hadiah buku MCC tu. Haha!

Alah, soalan pun mudah-mudah saja.

Apa nama resipi yang ditunjukkan, di kampung mana chef akan balik beraya, apakah bahagian ayam yang digunakan untuk membuat chicken boxing dan apakah nama buku resipi dia.

Saingan tak banyak, senanglah saya menang :-D

Alhamdulillah, pantas betul PTS poskan buku dan tiba sejurus sebelum hari raya.



Bukunya memang kecil molek saja tapi resipi-resipinya tak kurang hebat. Ada 30 resipi ayam yang mudah dan ringkas untuk dicuba. Bila tengok bahan-bahan yang digunakan, memang senang saja dan tak banyak sangat. Kalau remaja atau anak dara atau mak dara sekalipun yang baru nak belajar masak, memang saya rekomen. Mak-mak yang nak ajar anak memasak pun boleh hadiahkan buku ni. 




Kalau sebelum ni kita rasa leceh dan remeh nak buat menu ayam percik atau sate ayam, Chef Fendi kongsi cara mudah saja. Saya memang syok la tengok menu yang saya rasa susah tapi sebenarnya ada cara yang senang nak buat. Sesuai la konsep buku ni yang mengetengahkan menu bujang, menu bajet dan menu sihat. 



Dalam buku yang mempunyai 64 muka surat ni, disertakan juga cara memasak langkah demi langkah. Memang senang la nak rujuk.

Harga buku pun mampu milik hanya RM6.50 saja. Boleh beli kat mana-mana kedai buku. Atau nak beli online, pun boleh saja melalui Hif Bookstore.

Ada tawaran harga pakej, boleh klik kat SINI untuk info lanjut.

Raya Kampung Ummi

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Hari Raya Ketujuh.

Syukur Allah bagi peluang berada di kampung halaman tahun ini.

Pengalaman pertama kami raya berlima atau sebenarnya bertujuh (balik dengan paksu dan maksu anak-anak) ke kampung kami di Utara.

Berada di tempat membesar, bersekolah - sudah tentu tak sedikit kenangan yang menggamit. Lalu depan sekolah, kedai makan kegemaran, kedai majalah favourite semuanya kalau boleh nak dikongsi dengan anak.

Ni sekolah ummi. Kat sini dulu ummi selalu beli nasi lemak. Kedai tepi jalan ni nasi goreng dia sedap dan murah. Kat pekan ada cendol sedap. Kat tepi masjid ni 'ada' Tokwan, Tok dan Maklong.

Begitulah.



Anak-anak bandar seronok main pasir depan rumah Wan Tehnya. Teruja tengok langit terang, nampak bintang bertabur dengan bulan sabit. Berlari-lari dengan lidi buah manggar. Mengusik sepupu yang dok merangkak bertatih jalan.

Ummi tak boleh nak cerita semua memori zaman kecil ummi. Cuma boleh bagi sedikit rasa dan pengalaman, semoga satu hari esok, ummi dah tak ada, anak-anak teringat kat ummi... balik la mai kampung ummi ni.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...