Salam Aidil Fitri

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: Whatsapp

Alhamdulillah, selesai Ramadan tahun ini dan hari ini Syawal pula menjengah.




Seperti kebiasaan tahun-tahun lepas, saya merai raya di rumah mentua. Kemudiannya baru pulang ke kampung halaman di Utara. Menjadi anak yatim piatu, menumpang kasih sayang keluarga suami sahajalah :)

Kalau pun balik ke Utara, menziarah saudara mara yang masih ada. Dapat juga mengubat rindu pada mak dan ayah. Sambung silaturrahim.

---

Rendang ayam pencen.
Daging masak masam manis.
Nasi impit.
Kuah kacang.
Kuah lodeh.

Raya pertama kami.

Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin.


Mood Beraya

Teks & Foto:  Hifzaila Hafni

Waktu-waktu begini masa bekerja dulu, dah tak lalu nak menghadap timbunan kerja lagi dah.

Mood nak balik raya mengatasi mood nak siapkan kerja, yang entahlah selalu tiba-tiba jadi banyak menjelang cuti raya. Aduh, nak cuti pun selalu tak senang.

Tapi, letak tepi sekejaplah kerja semua. Bagi peluang diri beraya sekejap.

Masa bujang, selalu balik kampung 2 ke 3 hari awal. Sebab tak berani nak tempuh trafik sesak melampau sehari sebelum raya. Maklumlah memandu seorang diri, 5 ke 6 jam. Biasanya cuti awal sikit. Dan mula memandu pulang sesudah solat Subuh. Jika perjalanan lancar, sebelum tengah hari dah tiba destinasi.

Dah berkahwin, selalunya beraya di rumah mentua dahulu. Rumah mentua hanya setengah jam perjalanan sahaja. Dan di kampung pun mak ayah dah tiada, kalau balik pun selalunya kemudian sikit untuk berziarah saudara-mara.

2 tahun ini, tak perlu fikir pasal cuti raya. Walaupun begitu, kerja masih ada yang perlu disiapkan. Angkut semua bawa balik ke rumah mak. Ada waktu lapang, boleh buat mana yang sempat.

Tahun ni raya sederhana saja. Cuma seronok tahun ni tahun pertama raya berlima 😁

Selamat balik kampung semua! Hati-hati di jalan raya.

Nota: Kuih raya orang order

Deadline VS Raya

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: TargeAd

Masih berjaga pada waktu ini, alhamdulillah selesai terjemah satu bahagian.

Jam menunjukkan angka 01:16, 26 Ramadan.

Sedang anak-anak diulit mimpi, kita rempit semampu boleh, sebanyak yang mampu.

Rezeki bulan puasa. Alhamdulillah.

Perlu sambung menulis lagi. Dan satu editing job menunggu. Juga diminta sepupu untuk bantu terjemahkan kertas kerjanya.



Semoga Allah mudahkan urusan kerja-kerja freelance ini. Semoga Allah berikan kesihatan yang baik untuk selesaikan tugasan serta diberi kerja sama yang baik oleh anak-anak :-)

Tak berapa nampak 'raya', dok nampak 'deadline' sahaja. Aduhhhh!

Doa untuk Ayah

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: Facebook

Kalau ayah masih ada, sudah 71 umurnya. Termasuk tahun ini, maknanya sudah 11 tahun dia meninggalkan kami adik beradik.

Ayah meninggal akibat komplikasi diabetes yang dihidapinya selama berpuluh tahun. Berada di ICU hampir 2 minggu, akhirnya ayah pulang ke rahmatullah setelah sistem tubuhnya menolak sebarang ubatan dan hanya bergantung nafas pada oksigen yang dibekalkan.

Perginya ayah sejurus selesai azan Maghrib, 31 Mei 2006. Maka sejak itu, tiada lagi doa daripadanya, hilanglah tempat berkongsi segala cerita dan rahsia.

Perginya dia, menghadirkan kesunyian. Insan yang tempatnya tidak bisa diganti sesiapa.

Selamat Hari Bapa, ayah.



Semoga Allah mencucuri rahmat dan menempatkan ayahanda saya dalam kalangan orang beriman.





Penterjemah Sains dan Biologi

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: Pinterest

Saya bukan seorang penterjemah profesional. Sijil penterjemahan pun tiada. Kursus penterjemahan pun belum berkesempatan hadir namun, alhamdulillah setakat ini kerja penterjemahan jadi salah satu sumber pendapatan saya.

Setakat ini, berdasarkan pengalaman, saya hanya mampu menterjemah teks pendidikan bagi subjek Sains dan Biologi. Tajuk umum juga boleh namun terhad kepada yang berkaitan dengan Sains.

Menjadi editor Sains dan Biologi sebelum ini banyak membantu saya berkembang menjadi penterjemah, disebabkan penggunaan dwibahasa dalam subjek tersebut di sekolah.



Sebenarnya, menjadi penterjemah merupakan salah satu cita-cita terpendam saya. Pernah nak kerja di ITBM. Pernah terpilih untuk ikuti ujian saringan penterjemah di situ sekitar tahun 2013. Malangnya tidak berjaya. Ujiannya susah!

Tapi, kisah saya dan ITBM tidak terhenti di situ sahaja.

Saya cuba mohon jawatan penterjemah sekali lagi semasa ada iklan kekosongan sekitar tahun 2014. Ditawarkan temuduga dan kerja, malangnya tak dapat terima kerana lokasi rumah-ITBM agak jauh untuk ulang-alik setiap hari. Saya hanya boleh kerja secara sambilan. Alhamdulillah ditawarkan beberapa job editing dan proofreading dan bertindak sebagai freelancer.

Tak cukup dengan itu, ditawarkan pula Kursus Penterjemahan Intensif yang ditanggung ITBM sepenuhnya. Namun terpaksa menolak kerana tak dapat cuti, waktu itu saya bekerja. Sedih sangat. Hadir kursus sebegini memang peluang keemasan kerana saya memang nak sangat pergi tapi belum cukup simpanan untuk yuran. Dah dapat tawaran kursus free tapi tak dapat hadir pula. Ralat juga namun begitulah. Tak semua kita nak tu kita dapat.

Tapi niat mahu hadir kursus penterjemahan masih ada. Mudah-mudahan ada rezeki saya untuk dapat sijil terjemahan. Minat sungguh nak belajar secara profesional dan jadikan sebagai kerjaya. Semoga Allah perkenan dan tunjukkan jalan.

Buat masa ini, fokus siapkan terjemahan Sains sekolah rendah ini dahulu ya!

Salam 23 Ramadan.



10 Malam Terakhir

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: Google

Backdated post 15 Jun 2017

Akhirnya tiba jua kita ke fasa 10 malam terakhir Ramadan tahun ini. Alhamdulillah diberi peluang untuk merebut lebih banyak pahala dan bertemu Lailatul Qadar.

Tadi suami ada berkongsi isi ceramah Ramadan di tempat kerjanya. Kata ustaz, malam ini (malam 21 Ramadan 1438H), berkemungkinan juga malam Al-Qadr asbab malam Jumaat dan malam ganjil.

Tapi, rahsia itu tetap Allah jua yang tahu, di luar akal kita. Yang penting, manfaatkan malam-malam terakhir ini sebaik mungkin.

Satu lagi info menarik yang seorang rakan FB kongsikan, katanya, malam yang kita paling sedap tidur itulah malam istimewa itu. Aduh macam bertalu-talu kena penampar di muka!

Satu lagi yang saya pernah terbaca, kesan malam Al Qadr itu bukan hanya pada suasana pagi yang redup, nyaman dan tenang sahaja tetapi ianya lebih kepada pembentukan diri seseorang itu. Adakah ia menjadi lebih baik atau sebaliknya. Jika kita melihat seseorang itu berubah kepada dirinya yang baharu, dengan amal baik yang makin bertambah, berkemungkinan dia telah mendapat berkat malam Al Qadr. Beruntungnya jika menjadi salah seorang daripada yang dikurniakan nikmat begini.




Sibuk Juga Rezeki

Teks: Hifzaila Hafni

Kerja rumah.
Kerja yang menjadi punca pendapatan.
Kerja bisnes.
Tugas isteri dan ibu.

Betapa 24 jam berlalu setiap hari adakalanya masih rasa tak cukup dek banyaknya komitmen. Namun begitulah, setiap orang juga sama sahaja masa yang Allah beri, tinggal lagi apa dan bagaimana diisi.

Jika beranggapan mudah, banyaknya masa sebab berada di rumah sepanjang hari -- ketahuilah realitinya masa untuk diri mereka sendiri pun hampir tiada.

Kerenah anak-anak, tugasan yang perlukan tumpuan, adakalanya lebih sukar dibuat di rumah. Namun, siapalah kita untuk banyak merungut sedangkan ramai lagi yang ingin berada dalam kasut yang sama cuma mungkin belum bersedia atau tiba masanya berbanding kita.

Mencabar juga mahu selesaikan tugasan. Satu demi satu datang yang setiapnya perlu disiap pantas. Sebanyak-banyaknya doa supaya urusan dipermudahkan.

Allah dah bagi peluang, bersyukurlah!

Melekat ayat ini dalam minda:

"Syukur banyak kerja, itu tanda khidmat masih diperlukan dan ada wang yang datang".

Berpegang dengan itu, bertabahlah semula mengadap kerja di waktu dini hari, di waktu sunyi.

Alhamdulillah. Alhamdulillah.





Free Shipping

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: Karangkraf

Menjadi seller online, memberi tawaran free shipping kepada customer macam satu keterujaan yang harus dikongsi.

Dengan kos pos yang makin meningkat ditambah pula kos GST, tawaran begini memang sangat ditunggu baik oleh seller ataupun customer.

Di pihak seller, seronok nak promosi. Di pihak customer, berganda seronok nikmati servis free!

Hari ni sahaja, alhamdulillah bertalu-talu order yang masuk untuk rebut promo free shipping 3 buku masak terbitan Karangkraf.

Buat Sendiri Kek & Biskut.
Kek Mentega Dulu dan Sekarang.
Brownies Paling Agung.

Yang lagi menawan hati tu, ada diskaun 10%! Aduhaiii memang rugi betul kalau terlepas.

Itu yang masing-masing berusaha bank in secepat mungkin, ada yang sejurus confirm terus transfer duit, ada yang booking dahulu, bayar lepas kerja. Ada yang minta tambah buku masak lain juga.

Yang menariknya, salah seorang customer katanya masih baru dalam bidang baking. Harapannya dengan buku-buku ini dapat bantu dia majukan bisnes. Semoga dia berjaya!

Rasa berbunga hati bila ramai yang tak berkira nak beli buku. Kadang terfikir juga boleh ke saya buat duit dengan jual buku secara online ni, alhamdulillah ya memang boleh.

Selagi ada buku yang bagus diterbitkan, selagi itu pasarannya ada. Dan saya akan terus berkongsi buku yang bermanfaat dan berbaloi untuk dimiliki, mudah-mudahan tertempias juga saham akhirat saya bila mana dapat bantu sebarkan ilmu yang baik.

Nota: Tawaran free shipping boleh ada bila-bila masa. Dan selalunya untuk 1 hari sahaja. Seterusnya? Tak tahulah. Tunggu hebahan oleh pembekal, saya akan uar-uarkan.

Hadiah Buku

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Buku-buku ini dihadiahkan oleh Puan Fara Jeff. Nak let go koleksi buku, katanya. Jadi saya ambil peluang pilih buku-buku ini dan hanya bayar kos pos sahaja.

Alhamdulillah.

Buku lama dan 'usang' begini memang kesukaan saya. Entahlah kenapa, lain macam perasaannya bila memiliki atau membaca buku berbentuk ini.

Jika di Perpustakaan Hamzah Sendut, USM, sewaktu menuntut di sana, saya banyak membelek buku yang mempunyai kaver begini -- yang dibuat semula dengan kertas keras.

Buku-buku ini saya terima 2 bulan lalu, dan masih belum berkesempatan membacanya lagi. Selesai baca nanti, saya kongsikan reviunya.

Kompilasi fragmen novel Reader's Digest dan Surat-surat Perempuan Johor.

Inilah rezeki.

Mod Editor Kembali

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: wonderworder

Alhamdulillah bulan Ramadan tahun ni memang berbeza sikit. Agak lama jugak tak on mode editor, sekali dapat kerja, bertimpa-timpa.

Syukur. Syukur.

Ya, saya masih lagi terima kerja mengedit, membaca pruf dan menterjemah. Anak dah besar sikit, dah lebih 6 bulan ni boleh lah saya buat kerja lebih sikit untuk tampung ekonomi keluarga. Yakin sikit nak terima.



Kerja menulis masih terus. Kerja jual buku juga masih berjalan seperti biasa. Bulan puasa, ekstra kerja jual kuih raya juga. Alhamdulillah. Dapat la duit poket sikit.

Memang gaji tak besar, duit tak mewah. Orang tengok pun agaknya apalah dia ni, belajar tinggi tapi tak 'kerja'.

Cukup ke kerja dari rumah? Kerja apa daripada rumah ni? Boleh survive ke?

Tak apalah. Biarpun kadang tu rasa nak sangat kerja macam biasa, gaji tetap bulan-bulan, tapi entahlah. Rasa berat sungguh. Dan bila dihitung balik, macam tak berbaloi pun ada.

Lain orang, lain takdir, lain situasi.

Kita boleh bercakap tapi takkan pernah faham mereka yang mengadap. Beza. Sangat beza.

Saya tahu saya tak mampu nak dapat gaji setara macam saya bekerja dulu (belum mampu lagi sekarang) tapi saya percaya saya akan dapat juga satu hari nanti.

Sekarang, syukur dengan yang ada. Teruskan usaha lagi.

Insya Allah.



Cuti Raya

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: Bubblynotes

Waktu bekerja dulu, bila dah sampai pertengahan Ramadan begini, mesti berdebar menunggu kelulusan cuti hari raya. Bukan apa, banyak perkara yang perlu diatur.



Perjalanan balik kampung, kerja yang harus diselesaikan sebelum bercuti, persiapan raya antaranya.

Ikut hati, mesti mahu cuti seminggu paling kurang. Tapi apakan daya, bekerja dengan majikan, kena lah ikut keadaan. Dan bilangan hari cuti yang tinggal juga.

Minggu lepas, adik-beradik dok bersembang tentang cuti raya. Saya tidaklah join sembang sangat sebab tak berkaitan. Hinggalah salah seorang berkata, senang saya tak payah fikir cuti, raya je tak pening-pening kepala.

Saya senyum sajalah.

Ya, dari satu segi alhamdulillah. Betul sangat saya tak payah terfikir-fikir tentang cuti. Ikut cuti suami sahaja. Itulah salah satu kelebihan bekerja di rumah. Cuti raya lulus sendiri!

Walau bagaimana pun, saya masih perlu selesaikan kerja-kerja yang diberi sebelum 'cuti raya'. Kerja menterjemah dan mengedit perlu disiapkan dalam minggu ini juga. Semoga saya mampu selesaikan sebelum hari raya ni.


365 Resipi oleh Chef Hanieliza

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Saya memang suka masak. Saya juga suka nak cuba resipi baru. Tapi saya tak suka resipi yang guna banyak sangat bahan atau cara membuatnya yang remeh, konsep saya memasak lebih kepada guna apa yang ada di dapur. Haaa gitu.

Jadi resipi yang selalu jadi pilihan, adalah resipi yang guna tak banyak bahan. Atau guna bahan asas atau rempah biasa saja. Tapi sedap.

Maka salah seorang chef yang sering berkongsi resipi yang ringkas tapi sedap ni, Chef Hanieliza. Selain mudah, resipinya juga banyak berunsur hidangan warisan atau tradisi, yang mana memang kena dengan tekak saya sekeluarga.

Salah satu rujukan resipi yang saya suka, buku 1 Hari 1 Resipi. Buku ni memang buku resipi popular, laku keras!




Buku ni terbitan PTS, tapi lepas tu agaknya ada kolaborasi dengan Kedai Buku Popular, buku ni eksklusif dijual di Popular saja.

Dulu ada seorang customer dari Sabah mahu buku ni, saya kata buku ni hanya ada di Popular. Tak ada dijual online.

Dah hampir lunyai juga buku ni saya kerjakan. Mana taknya, segala resipi ada. Ayam, daging, nasi, kuih-muih. Boleh dikatakan cukup lah ada buku ni sebagai permulaan bagi mereka yang mahu belajar masak atau yang baru bergelar isteri.

Masakannya mudah saja, kebanyakannya menu yang kita biasa makan tapi mungkin tak tahu cara masaknya.

Memang berbaloi kalau ada buku ni. Ada 365 resipi, cukup untuk setahun! Haha

Oklah. Ini saya belanja sikit resipi yang ada dalam buku ni. Boleh la ambil idea untuk berbuka atau bersahur.





Selamat berpuasa untuk hari ini!


Buat Duit dengan Facebook dan Instagram

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Sebenarnya, saya tak rancang pun nak beli buku ni. Tapi dah ditakdirkan agaknya, saya 'terpaksa' juga beli dan alhamdulillah, suka saya baca.

Buku Buat Duit dengan Facebook dan Instagram ni ditulis oleh Miliza Ghazali. Buku terbitan PTS dalam Siri Buat Duit.




Dalam buku ni, dikongsikan panduan untuk menjana pendapatan melalui kedua-dua platform yang dinyatakan di atas.

Buku ni memfokuskan kepada golongan yang baru nak mula berbisnes online, yang tiada idea langsung bagaimana Facebook dan Instagram boleh digunakan sebagai medium pemasaran. Boleh dikatakan ia menyediakan panduan asas untuk mula buat duit.

Antara kandungannya:

- mengenali sasaran pasaran
- mendaftar akaun Facebook dan Instagram
- mendaftar perniagaan
- proses penghantaran produk
- maklum balas selepas jualan (follow up)

Naskhah yang mempunyai 84 muka surat ini sangat sesuai bagi newbie bisnes. Panduannya mudah, ringkas dan mudah difahami.

Pada harga hanya RM9.90 sebuah, saya kira ia mampu milik dan berbaloi untuk dijadikan bahan bacaan mereka yang mahu mula bisnes online dengan cara yang betul.

Untuk lihat tajuk lain dalam Siri Buat Duit, KLIK SINI .

I Want To Be A Writer

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Buku ni pinjam adik saya punya. Tertarik dengan tajuknya, almaklum tu salah satu cita-cita.

Buku ni, pinjam sampai sekarang, ibarat sendiri punya harta. Hehe

hifzaila.blogspot.my

Oh ya, buku ni dalam Bahasa Melayu, cuma tajuknya saja dalam Bahasa Inggeris.

Saya boleh kata buku ni antara yang saya paling enjoy membacanya. Saya susah nak berhenti. Tulisan dan cerita Ummu Hani memang sedap dibaca. Buku ni merupakan kisah hidupnya sejak kecil dan perjalanannya hingga menjadi penulis.

Mungkin disebabkan latar belakang kampung yang hampir sama (di kampung di Utara), beza umur saya dengan penulis juga hanya setahun - membuatkan saya rasa amat dekat dengan buku ini. Selain cara didikan dan asuhan dari ibu bapa dan neneknya yang saya kira patut dicontohi.

Cara orang kampung. Cara orang lama.

Menjadi anak kepada penulis sudah tentu suatu bonus bagi Ummu Hani. Bapanya Abu Hassan Morad, seorang penulis novel. Membesar dengan tulisan bapanya, Ummu mula menulis sejak di bangku sekolah.

Banyak lagi cerita yang lucu dan mencuit hati tentang zaman kanak-kanak Ummu, namun setiap satunya membawa mesej yang tersendiri. Ummu juga berkongsi tip penulisan, contoh cerpen dan skrip drama di bab terakhir dalam buku ini.

hifzaila.blogspot.my


Buku terbitan Galeri Ilmu ini sebenarnya terbit tahun 2012. Memang dah 5 tahun namun ia tetap menjadi naskhah yang baik bagi mereka yang ingin berjinak-jinak menjadi penulis.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...