Menjadi Kaya

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: Google

Dapat pesanan begini di grup Whatsapp keluarga. Terubat hati sebab rumah kami memang tidak ber-tv. Dah lama pun, hampir 2 tahun lebih dah. Bila difikir balik, terus tak ada tv pun tak apa.



Walaupun koleksi buku di rumah kami tidaklah sehebat mana tapi saya sentiasa senang melihat buku-buku yang tersusun di rak. Boleh capai apa saja buku atau majalah yang mahu dibaca, bila-bila masa. Rasa seronok melihat tajuk buku yang ada.

Buku yang terkumpul banyak ni, bukan sebab apa. Saya dan suami memang sama-sama minat beli buku. Bezanya, saya baca sampai habis (insya Allah), suami saya baca separuh jalan kadang-kadang saya yang tolong habiskan. Hehe

Tapi yang penting, suami tak kedekut bab beli buku. Itu yang kalau pindah rumah, buku kami yang penuh lori berbanding perabot.

Selain buku, majalah pun banyak juga. Suami paling suka, beli majalah resipi. Memang sukalah saya!

Kini dengan buku anak-anak lagi, sikit hari lagi mesti kena tambah rak buku. Bila anak dah mula sekolah lagilah bertambah buku. Lepas ni agaknya kena siapkan satu bilik untuk dibuat home library.

Begitulah. Besar sungguh hikmah tv rosak. Nampak buku yang banyak ni depan mata hari-hari. Cukuplah kami kaya begitu, buat masa ini. Mudah-mudahan bertambah kaya lagi di masa akan datang, insya Allah.

Tokoh Guru Kebangsaan 2017, Cikgu Khuzaimah Sulaiman

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: PTS

Hari Guru tempoh hari, PTS ada buat promosi diskaun buku-buku yang berkaitan tajuk guru.

Salah satunya, buku Cikgu Khuzaimah Sulaiman yang bertajuk Guru Pemimpin 360. Buku ni memang menangkap mata saya pada pandangan pertama sebab di kaver, di bawah nama penulis tu ada sebut Guru Cemerlang JUSA C. Wah mesti buku ni bagus sebab ditulis oleh GC.




Tak lama lepas tu, melintas pula di Facebook, status Cikpuan Azzah AR, pengajar penulisan dan backpacker tegar (blog Nota Perempuan Backpacker), yang menulis ucapan tahniah untuk ibunya, yang dianugerahkan Tokoh Guru Kebangsaan 2017. 


Rupa-rupanya Cikgu Khuzaimah itu ibunya! Ibu dan anak sama-sama hebat.

Petikan dari Berita Harian:
'Bekas Pengetua Sekolah Menengah Agama (SMA) Persekutuan Labu di Seremban, Negeri Sembilan, Khuzaimah Sulaiman, diumumkan Tokoh Guru Kebangsaan pada sambutan perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-46, di Kompleks Sukan Educity, dekat sini hari ini (Johor Bahru).'

Berita penuh boleh dibaca di SINI .

Maka dengan penuh rasa ingin tahu, saya cari maklumat tentang Cikgu yang hebat ni. Barulah tahu, sebelum ini, Cikgu Khuzaimah ada menulis sebuah lagi buku, Serlahkan Aura Guru Super tapi malangnya sekarang buku tu out of stock. Buku Guru Pemimpin 360 sahaja yang ada, pun dah tak banyak stok yang tinggal. 

Buku ni ada 99 kisah benar tentang kerjaya guru.

Lihat sinopsis buku di SINI

---

Tahniah untuk beliau. Walaupun saya tak kenal, hanya jadi follower anaknya sahaja tapi sebagai seorang anak bekas guru, saya tumpang bangga juga bila ibu kita diiktiraf kerja dan penat lelahnya. Jadi cikgu memang tak mudah.

CIKGU INSAN HEBAT!

Kenalah dengan tema Guru Pembina Negara Bangsa. Semoga semua cikgu terus komited bekerja dan mendidik anak-anak kita. Kita doakan semua cikgu diberi kekuatan dan kesihatan yang baik untuk terus berkhidmat dengan dedikasinya.

Ok lah, kalau berminat untuk dapatkan buku Cikgu Khuzaimah ni, boleh klik ke SINI

Ada diskaun 10% untuk pembelian sebelum 31 Mei 2017 ya!

Moving Out, Kisah Hijrah Australia

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Buku Moving Out yang ditulis oleh Puan Anie Alja ini mengisahkan pengalaman beliau sekeluarga berhijrah dan menetap di Australia. Selain Australia, Puan Anie juga pernah menetap di Switzerland kerana mengikut suami yang bekerja di sana.

Saya beli MO ini melalui penulisnya sewaktu dia balik bercuti di Malaysia dan kebetulan bukunya baru siap dicetak. Jadi, saya berpeluang mendapat naskhah yang bertandatangan penulis beserta satu penanda buku.

Saya sebenarnya jarang beli buku yang baru terbit, tetapi kaver buku ini sangat menarik perhatian saya.



Kudos kepada pereka kaver buku ini!

Pada saya, kavernya memang cantik.

Selain terpengaruh dengan kaver, saya memang tertarik untuk tahu tentang Australia. Kalau kebanyakan travelog cerita pasal UK, Turki, Mekah, Jepun, Korea tu saya tak berminat sangat (buat masa ini).

Saya habiskan buku ini dalam 2 hari sahaja. Seronok baca. Paling suka baca bab persekolahan anak-anak. Betapa berbeza pendekatan pendidikan Malaysia dengan Australia, lebih spesifik Perth. Rasa macam nak bawa anak sekolah kat sana juga. Hehe.

Lagi bab yang menarik, tentang proses penulis nak dapat lesen memandu. Sukar juga nak dapat, dan penulis mencuba berkali-kali baru berjaya.

Bab jiran dan pokok lemon berbuah lebat. Bab kos membetulkan kerosakan di rumah yang berkali ganda mahal berbanding kita di Malaysia. Bab menjadi pembantu pengajar di sekolah.

Seronok baca pengalaman orang yang berhijrah ke negara orang. Memang berbeza dengan buku travelog yang cerita pengalaman melancong.

Buku: Moving Out
Penulis: Anie Alja
Penerbit: Must Read Publication
Harga: RM25


Buku untuk Cikgu

Teks: Hifzaila Hafni

16 Mei 2017, Hari Guru Malaysia.

Dulu-dulu saya ingat lagi, selalu tunggu waktu ni untuk dengar cikgu menyanyi. Yang lagu 'kami guru Malaysia, berikrar dan berjanji...' itulah tu. Maklumlah, bukan senang nak dengar cikgu menyanyi dulu.

Hari Guru masa zaman saya dulu, biasa saja ada persembahan guru dan murid. Seingat saya tak ada nak bagi hadiah-hadiah.  Zaman sekarang, sampai boleh jadi isu kan. Zaman dah berubah.

Sempena hari istimewa untuk guru ni, meh saya kongsikan sinopsis buku-buku inspirasi yang berkaitan guru.

1. Seteguh Tekad, Prof Dr Sidek Baba, Alaf 21


' Kembara hidup penuh liku seorang ilmuan berjiwa besar '

Sinopsis buku:

Seteguh Tekad menyelami kehidupan anak kelahiran Melaka ini mendaki tangga-tangga kejayaan. Sebuah rentetan pengalaman hidup yang menekankan aspek motivasi dan berupaya merangsang jiwa agar sentiasa bersemangat kental.

Profesor Dr. Sidek Baba, tokoh pendidikan yang berjiwa besar ini mengajak anda menilai erti sebuah kehidupan yang amat perlu diisi dengan ilmu. Yang pasti, setelah menutup helaian akhir autobiografi ini, anda akan terdorong untuk membuat perubahan dalam diri. Selamat membaca, mudah-mudahan anda akan dapat mengambil iktibar daripada perjalanan hidup ikon umat Islam.

Prakata oleh SN A. Samad Said. 

Prof menjadi tetamu slot Inspirasiku di Ikim.fm pagi tadi. Kalau terlepas, boleh dengar ulangan hari Ahad, pukul 10.15 pagi.

Boleh dapatkan di Hif Bookstore.


2. Bukan Salah Cikgu, Azmira Amran, Kopi Press



"Wacana tentang sistem pendidikan yang dikupas dengan baik untuk bacaan masyarakat, ibu bapa dan sangat bagus dibaca oleh guru-guru dan pihak yang terlibat dalam polisi pendidikan.

Dan menariknya, sistem pra sekolah di Malaysia yg menepati fitrah anak-anak kecil, sebelum usia 7 tahun,seakan-akan mengikut cara di Finland, seperti yang diterangkan dengan jelas dalam bab sistem pendidikan Finland.

Apa yang penting, seperti saranan penulis, kita semua mesti benar-benar bersedia untuk menerima perubahan, dan berubah. Tapi, untuk mengubah persepsi, mindset, budaya masyarakat bukanlah suatu yang mudah malah mengambil masa yang lama. Ya, untuk sistem pendidikan di Malaysia agak mustahil menjelang 2020 pun akan berubah. Cuma kesedaran masyarakat sudah ada. 

Sistem di Finland ternyata tidaklah kompleks, seperti di negara lain termasuklah negara kita. Dan mengenai PISA & TIMSS turut diulas dalam buku ini. Pendedahan dalam buku ini boleh disifatkan membuka mata saya sebagai pembaca."

- Maisarah Mohd Pauzi, review dari Goodreads.

Boleh dapatkan terus di Kopi Press.


3. Cikgu Kelas Sebelah, Fadli Salleh, Komrad Buku



Sinopsis buku:

Orang kata, jadi cikgu zaman sekarang tidak seronok seperti dulu lagi. Terlalu banyak beban, terlampau banyak tekanan. Kalau kau cikgu, pandai-pandailah mencari keseronokan sendiri. Agar semangat tidak hilang, agar cinta terhadap profesion terus membara.

Aku mahu mengajar dengan gembira dan mahu murid belajar dengan seronok. Jadi ini yang sering aku lakukan. Aku suka bermain watak seorang kawan kepada murid. Watak guru di luar daripada kebiasaan. Watak yang paling kurang, menyeronokkan aku dan memberi semangat untuk terus bertahan di arena yang makin mencabar.

Saat kau bersama murid, sebenarnya masih sama seperti dulu-dulu. Kau dan murid. Di dalam kelas, kaulah Raja. Kalau kau raja yang bijak, kau tadbirlah negeri kecil kau dengan bijaksana. Persetankan segala bebanan yang menunggu. Saat melangkah masuk kelas, ingatlah. Kau Raja!

Jom join aku jadi guru di luar daripada kebiasaan. Jom jadi 'Raja' di dalam 'Negeri Kecil' yang penuh dengan kegembiraan.
 

Boleh dapatkan di Komrad Buku

===

Selamat Hari Guru untuk semua pendidik. 

Guru Pembina Negara Bangsa!






Apek Ikan dan Mamak Roti

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: malaysianmeanders.blogspot.com

Di perumahan baru ini, banyak mengingatkan saya pada zaman kanak-kanak dan kampung halaman.

Jika sebelum ini, kami tinggal di kawasan taman perumahan di bandar dan pangsapuri, bila berpindah ke kawasan yang sedikit jauh dari bandar, agak berbeza perasaan dan persekitarannya.

Saya sangat teruja melihat ada lori ikan yang masuk ke taman ini setiap hari. Bukan satu, malahan ada dua lori!

Petang-petang, ada mamak roti naik motor lalu depan rumah. Lewat petang, ada motor aiskrim. Memang meriah dan saya suka keadaan ini. Memang mengimbau zaman kecil dulu.

Bezanya, masa di kampung dulu, akan ada apek jual ikan yang menaiki basikal. Penuh bakul di belakangnya dengan bahan basah dan kering. Ikan, sayur dan segala macam. Orangnya kurus sahaja tapi kuat bertenaga bawa beban seberat itu dengan hanya berbasikal. Satu kampung dirondanya dan selalunya mak saya akan tahan dia di depan rumah untuk 'shopping'. Sesekali, apek akan minta nak beli daun kesum atau daun laksa yang tumbuh merimbun di tepi rumah kami. Tapi mak saya kata ambil sahajalah. Banyak sangat pun. Sebab hubungan baik itu, kadang-kadang apek selalu juga ambil order mak. Yelah kadang-kadang mak order kat apek, ketam atau telur ikan mayong untuk dibawa keesokan harinya.

Seronok dapat peluang merasai lagi pengalaman begini. Anak-anak pun seronok tunggu lori ikan lalu depan rumah. Nak memborong pisang! Apek tu pun boleh tahan juga peramahnya. Orang lama kan. Dekat 20 tahun dah katanya berjual di taman ni.

Kalau mamak roti tu, lagilah anak-anak teruja. Rambang mata nak pilih roti dan gula-gula. Setakat ni, saya dan suami memang dah berkenan sungguh dengan roti tu. Datang daripada kilang bakeri yang tak jauh dari sini. Roti krim, roti kelapa, roti manis semuanya sedap belaka. Kalah roti jenama popular hehe.



Kami ni memang betullah bercitarasa kampung. Teruja sungguh. Hampir setiap hari tahan mamak roti tu. Anak-anak pun dah berlari ke pagar nak panggil uncle bila dah dengar bunyi hon.

Dengan nostalgia yang sedikit ni, dapat juga mengubat rindu saya pada arwah mak dan kampung halaman. Bila kita dah makin bertambah usia, bukannya kita mahu benda-benda yang hype sangat (sekurang-kurangnya pada sayalah). Cukuplah rasa tenang dan jauh sedikit dari kota yang sibuk dan hidup sekadarnya sahaja.


Al Quran Pertamaku, Juzuk Amma untuk Anak Belajar Cinta Al Quran

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Buku ni memang saya dah aim nak beli untuk anak. Dah niat duit elaun menulis bulan tu saya nak beli buku ni. Tak sabar tunggu restok, alhamdulillah akhirnya dapat juga beli.

Baca reviu buku ini di Goodreads, memang positif. Lagilah saya teruja nak beli untuk anak saya.

Buku Edisi Kedua, Al-Quran Pertamaku Juzuk Amma terbitan Ana Muslim ini - berkulit tebal dan berwarna. Setiap surah dimulai diikuti maksud, kemudian asbabun nuzul, info surah dan kehebatan surah.



Bukan anak saja yang suka, saya pun sama. Sebab setiap surah dijelaskan maksudnya dalam bahasa yang mudah difahami dan ringkas. Iyalah kadang kita biasa baca Al-Quran beserta tafsir dan terjemahan, tetapi maksud sebenar di sebalik ayat dan peristiwa atau pengajarannya kurang sampai atau difahami. Sebab buku ini untuk budak, maka penyampaiannya lebih straight to the point dan bila orang dewasa yang baca, memang mudahlah faham.

Buku yang ditulis oleh Ustaz Arsil Ibrahim ini, memang agak sukar didapati. Edisi Kedua ni pun terbit selepas beberapa tahun selepas Edisi Pertama. Memang agak laku keras juga.

Semoga dengan adanya buku ini, dapatlah saya bacakan kisah-kisah dari Al Quran untuk anak, sekaligus saya juga dapat manfaatnya.

Nisfu Syaaban

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: Sofyanruray

Sedang minum air dalam gelas ketiga masa sahur tadi, teringat zaman berpuasa masa kanak-kanak dulu.

Sebanyak-banyaknya air masak diminum waktu sahur untuk pastikan tak dahaga sepanjang hari. Segelas demi segelas sampai penuh perut dengan air.

Dahaganya sama sahaja sebenarnya biar berapa banyak air diminum waktu sahur. Dah nanti air disingkir melalui air kencing, peluh. Lebih penting minum air sepanjang malam sebelum puasa untuk pastikan tubuh tidak alami dehidrasi.

Hari ini Nisfu Syaaban. Jatuhnya di hari Jumaat pula. Penghulu segala hari. Boleh submit doa banyak-banyak.



Lagi 2 minggu Ramadan tiba. Cabaran ibu menyusu, dengan anak tiga - semoga dipermudah!

Hargai Momen Kecil

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: merdeka.com

Melihat baju dan kain penuh bergantungan di ampaian, terbit satu rasa kepuasan. Dijemur di bawah panas matahari hangat, dengan angin yang menerpa dari segenap ruang - menjelang tengah hari sahaja kain baju segala sudah hampir kering dan boleh diangkat.



Jika bercuaca baik sepanjang pagi, kain baju yang harum semuanya sudah boleh dialih dari ampaian.

Rumah baru ini, tersedia ampaian yang cukup besar. Ruang juga luas. Saya teruja setiap kali mahu menjemur kain.

Ya, sekadar menjemur kain pun mampu buat hati saya suka. Betapa mudah untuk saya rasa gembira dengan hal yang kecil.

Berpengalaman sebagai ibu bekerja, yang mana membasuh dan menjemur pakaian antara tugas sukar, tinggal di pangsapuri dengan ruang menjemur yang terhad - kini bila berpeluang menjemur pakaian pagi-pagi, tak risau hujan waktu siang, sidailah baju sebanyak mana dimahukan, itulah kepuasan.

Selesai urusan baju, teruskan pula menulis selaju mampu.

Hargai momen kecil, nikmati ketika ada.

Alhamdulillah untuk rezeki hari ini.