Menjadi Kaya

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: Google

Dapat pesanan begini di grup Whatsapp keluarga. Terubat hati sebab rumah kami memang tidak ber-tv. Dah lama pun, hampir 2 tahun lebih dah. Bila difikir balik, terus tak ada tv pun tak apa.



Walaupun koleksi buku di rumah kami tidaklah sehebat mana tapi saya sentiasa senang melihat buku-buku yang tersusun di rak. Boleh capai apa saja buku atau majalah yang mahu dibaca, bila-bila masa. Rasa seronok melihat tajuk buku yang ada.

Buku yang terkumpul banyak ni, bukan sebab apa. Saya dan suami memang sama-sama minat beli buku. Bezanya, saya baca sampai habis (insya Allah), suami saya baca separuh jalan kadang-kadang saya yang tolong habiskan. Hehe

Tapi yang penting, suami tak kedekut bab beli buku. Itu yang kalau pindah rumah, buku kami yang penuh lori berbanding perabot.

Selain buku, majalah pun banyak juga. Suami paling suka, beli majalah resipi. Memang sukalah saya!

Kini dengan buku anak-anak lagi, sikit hari lagi mesti kena tambah rak buku. Bila anak dah mula sekolah lagilah bertambah buku. Lepas ni agaknya kena siapkan satu bilik untuk dibuat home library.

Begitulah. Besar sungguh hikmah tv rosak. Nampak buku yang banyak ni depan mata hari-hari. Cukuplah kami kaya begitu, buat masa ini. Mudah-mudahan bertambah kaya lagi di masa akan datang, insya Allah.

Tokoh Guru Kebangsaan 2017, Cikgu Khuzaimah Sulaiman

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: PTS

Hari Guru tempoh hari, PTS ada buat promosi diskaun buku-buku yang berkaitan tajuk guru.

Salah satunya, buku Cikgu Khuzaimah Sulaiman yang bertajuk Guru Pemimpin 360. Buku ni memang menangkap mata saya pada pandangan pertama sebab di kaver, di bawah nama penulis tu ada sebut Guru Cemerlang JUSA C. Wah mesti buku ni bagus sebab ditulis oleh GC.




Tak lama lepas tu, melintas pula di Facebook, status Cikpuan Azzah AR, pengajar penulisan dan backpacker tegar (blog Nota Perempuan Backpacker), yang menulis ucapan tahniah untuk ibunya, yang dianugerahkan Tokoh Guru Kebangsaan 2017. 


Rupa-rupanya Cikgu Khuzaimah itu ibunya! Ibu dan anak sama-sama hebat.

Petikan dari Berita Harian:
'Bekas Pengetua Sekolah Menengah Agama (SMA) Persekutuan Labu di Seremban, Negeri Sembilan, Khuzaimah Sulaiman, diumumkan Tokoh Guru Kebangsaan pada sambutan perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-46, di Kompleks Sukan Educity, dekat sini hari ini (Johor Bahru).'

Berita penuh boleh dibaca di SINI .

Maka dengan penuh rasa ingin tahu, saya cari maklumat tentang Cikgu yang hebat ni. Barulah tahu, sebelum ini, Cikgu Khuzaimah ada menulis sebuah lagi buku, Serlahkan Aura Guru Super tapi malangnya sekarang buku tu out of stock. Buku Guru Pemimpin 360 sahaja yang ada, pun dah tak banyak stok yang tinggal. 

Buku ni ada 99 kisah benar tentang kerjaya guru.

Lihat sinopsis buku di SINI

---

Tahniah untuk beliau. Walaupun saya tak kenal, hanya jadi follower anaknya sahaja tapi sebagai seorang anak bekas guru, saya tumpang bangga juga bila ibu kita diiktiraf kerja dan penat lelahnya. Jadi cikgu memang tak mudah.

CIKGU INSAN HEBAT!

Kenalah dengan tema Guru Pembina Negara Bangsa. Semoga semua cikgu terus komited bekerja dan mendidik anak-anak kita. Kita doakan semua cikgu diberi kekuatan dan kesihatan yang baik untuk terus berkhidmat dengan dedikasinya.

Ok lah, kalau berminat untuk dapatkan buku Cikgu Khuzaimah ni, boleh klik ke SINI

Ada diskaun 10% untuk pembelian sebelum 31 Mei 2017 ya!

Moving Out, Kisah Hijrah Australia

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Buku Moving Out yang ditulis oleh Puan Anie Alja ini mengisahkan pengalaman beliau sekeluarga berhijrah dan menetap di Australia. Selain Australia, Puan Anie juga pernah menetap di Switzerland kerana mengikut suami yang bekerja di sana.

Saya beli MO ini melalui penulisnya sewaktu dia balik bercuti di Malaysia dan kebetulan bukunya baru siap dicetak. Jadi, saya berpeluang mendapat naskhah yang bertandatangan penulis beserta satu penanda buku.

Saya sebenarnya jarang beli buku yang baru terbit, tetapi kaver buku ini sangat menarik perhatian saya.



Kudos kepada pereka kaver buku ini!

Pada saya, kavernya memang cantik.

Selain terpengaruh dengan kaver, saya memang tertarik untuk tahu tentang Australia. Kalau kebanyakan travelog cerita pasal UK, Turki, Mekah, Jepun, Korea tu saya tak berminat sangat (buat masa ini).

Saya habiskan buku ini dalam 2 hari sahaja. Seronok baca. Paling suka baca bab persekolahan anak-anak. Betapa berbeza pendekatan pendidikan Malaysia dengan Australia, lebih spesifik Perth. Rasa macam nak bawa anak sekolah kat sana juga. Hehe.

Lagi bab yang menarik, tentang proses penulis nak dapat lesen memandu. Sukar juga nak dapat, dan penulis mencuba berkali-kali baru berjaya.

Bab jiran dan pokok lemon berbuah lebat. Bab kos membetulkan kerosakan di rumah yang berkali ganda mahal berbanding kita di Malaysia. Bab menjadi pembantu pengajar di sekolah.

Seronok baca pengalaman orang yang berhijrah ke negara orang. Memang berbeza dengan buku travelog yang cerita pengalaman melancong.

Buku: Moving Out
Penulis: Anie Alja
Penerbit: Must Read Publication
Harga: RM25


Buku untuk Cikgu

Teks: Hifzaila Hafni

16 Mei 2017, Hari Guru Malaysia.

Dulu-dulu saya ingat lagi, selalu tunggu waktu ni untuk dengar cikgu menyanyi. Yang lagu 'kami guru Malaysia, berikrar dan berjanji...' itulah tu. Maklumlah, bukan senang nak dengar cikgu menyanyi dulu.

Hari Guru masa zaman saya dulu, biasa saja ada persembahan guru dan murid. Seingat saya tak ada nak bagi hadiah-hadiah.  Zaman sekarang, sampai boleh jadi isu kan. Zaman dah berubah.

Sempena hari istimewa untuk guru ni, meh saya kongsikan sinopsis buku-buku inspirasi yang berkaitan guru.

1. Seteguh Tekad, Prof Dr Sidek Baba, Alaf 21


' Kembara hidup penuh liku seorang ilmuan berjiwa besar '

Sinopsis buku:

Seteguh Tekad menyelami kehidupan anak kelahiran Melaka ini mendaki tangga-tangga kejayaan. Sebuah rentetan pengalaman hidup yang menekankan aspek motivasi dan berupaya merangsang jiwa agar sentiasa bersemangat kental.

Profesor Dr. Sidek Baba, tokoh pendidikan yang berjiwa besar ini mengajak anda menilai erti sebuah kehidupan yang amat perlu diisi dengan ilmu. Yang pasti, setelah menutup helaian akhir autobiografi ini, anda akan terdorong untuk membuat perubahan dalam diri. Selamat membaca, mudah-mudahan anda akan dapat mengambil iktibar daripada perjalanan hidup ikon umat Islam.

Prakata oleh SN A. Samad Said. 

Prof menjadi tetamu slot Inspirasiku di Ikim.fm pagi tadi. Kalau terlepas, boleh dengar ulangan hari Ahad, pukul 10.15 pagi.

Boleh dapatkan di Hif Bookstore.


2. Bukan Salah Cikgu, Azmira Amran, Kopi Press



"Wacana tentang sistem pendidikan yang dikupas dengan baik untuk bacaan masyarakat, ibu bapa dan sangat bagus dibaca oleh guru-guru dan pihak yang terlibat dalam polisi pendidikan.

Dan menariknya, sistem pra sekolah di Malaysia yg menepati fitrah anak-anak kecil, sebelum usia 7 tahun,seakan-akan mengikut cara di Finland, seperti yang diterangkan dengan jelas dalam bab sistem pendidikan Finland.

Apa yang penting, seperti saranan penulis, kita semua mesti benar-benar bersedia untuk menerima perubahan, dan berubah. Tapi, untuk mengubah persepsi, mindset, budaya masyarakat bukanlah suatu yang mudah malah mengambil masa yang lama. Ya, untuk sistem pendidikan di Malaysia agak mustahil menjelang 2020 pun akan berubah. Cuma kesedaran masyarakat sudah ada. 

Sistem di Finland ternyata tidaklah kompleks, seperti di negara lain termasuklah negara kita. Dan mengenai PISA & TIMSS turut diulas dalam buku ini. Pendedahan dalam buku ini boleh disifatkan membuka mata saya sebagai pembaca."

- Maisarah Mohd Pauzi, review dari Goodreads.

Boleh dapatkan terus di Kopi Press.


3. Cikgu Kelas Sebelah, Fadli Salleh, Komrad Buku



Sinopsis buku:

Orang kata, jadi cikgu zaman sekarang tidak seronok seperti dulu lagi. Terlalu banyak beban, terlampau banyak tekanan. Kalau kau cikgu, pandai-pandailah mencari keseronokan sendiri. Agar semangat tidak hilang, agar cinta terhadap profesion terus membara.

Aku mahu mengajar dengan gembira dan mahu murid belajar dengan seronok. Jadi ini yang sering aku lakukan. Aku suka bermain watak seorang kawan kepada murid. Watak guru di luar daripada kebiasaan. Watak yang paling kurang, menyeronokkan aku dan memberi semangat untuk terus bertahan di arena yang makin mencabar.

Saat kau bersama murid, sebenarnya masih sama seperti dulu-dulu. Kau dan murid. Di dalam kelas, kaulah Raja. Kalau kau raja yang bijak, kau tadbirlah negeri kecil kau dengan bijaksana. Persetankan segala bebanan yang menunggu. Saat melangkah masuk kelas, ingatlah. Kau Raja!

Jom join aku jadi guru di luar daripada kebiasaan. Jom jadi 'Raja' di dalam 'Negeri Kecil' yang penuh dengan kegembiraan.
 

Boleh dapatkan di Komrad Buku

===

Selamat Hari Guru untuk semua pendidik. 

Guru Pembina Negara Bangsa!






Apek Ikan dan Mamak Roti

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: malaysianmeanders.blogspot.com

Di perumahan baru ini, banyak mengingatkan saya pada zaman kanak-kanak dan kampung halaman.

Jika sebelum ini, kami tinggal di kawasan taman perumahan di bandar dan pangsapuri, bila berpindah ke kawasan yang sedikit jauh dari bandar, agak berbeza perasaan dan persekitarannya.

Saya sangat teruja melihat ada lori ikan yang masuk ke taman ini setiap hari. Bukan satu, malahan ada dua lori!

Petang-petang, ada mamak roti naik motor lalu depan rumah. Lewat petang, ada motor aiskrim. Memang meriah dan saya suka keadaan ini. Memang mengimbau zaman kecil dulu.

Bezanya, masa di kampung dulu, akan ada apek jual ikan yang menaiki basikal. Penuh bakul di belakangnya dengan bahan basah dan kering. Ikan, sayur dan segala macam. Orangnya kurus sahaja tapi kuat bertenaga bawa beban seberat itu dengan hanya berbasikal. Satu kampung dirondanya dan selalunya mak saya akan tahan dia di depan rumah untuk 'shopping'. Sesekali, apek akan minta nak beli daun kesum atau daun laksa yang tumbuh merimbun di tepi rumah kami. Tapi mak saya kata ambil sahajalah. Banyak sangat pun. Sebab hubungan baik itu, kadang-kadang apek selalu juga ambil order mak. Yelah kadang-kadang mak order kat apek, ketam atau telur ikan mayong untuk dibawa keesokan harinya.

Seronok dapat peluang merasai lagi pengalaman begini. Anak-anak pun seronok tunggu lori ikan lalu depan rumah. Nak memborong pisang! Apek tu pun boleh tahan juga peramahnya. Orang lama kan. Dekat 20 tahun dah katanya berjual di taman ni.

Kalau mamak roti tu, lagilah anak-anak teruja. Rambang mata nak pilih roti dan gula-gula. Setakat ni, saya dan suami memang dah berkenan sungguh dengan roti tu. Datang daripada kilang bakeri yang tak jauh dari sini. Roti krim, roti kelapa, roti manis semuanya sedap belaka. Kalah roti jenama popular hehe.



Kami ni memang betullah bercitarasa kampung. Teruja sungguh. Hampir setiap hari tahan mamak roti tu. Anak-anak pun dah berlari ke pagar nak panggil uncle bila dah dengar bunyi hon.

Dengan nostalgia yang sedikit ni, dapat juga mengubat rindu saya pada arwah mak dan kampung halaman. Bila kita dah makin bertambah usia, bukannya kita mahu benda-benda yang hype sangat (sekurang-kurangnya pada sayalah). Cukuplah rasa tenang dan jauh sedikit dari kota yang sibuk dan hidup sekadarnya sahaja.


Al Quran Pertamaku, Juzuk Amma untuk Anak Belajar Cinta Al Quran

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Buku ni memang saya dah aim nak beli untuk anak. Dah niat duit elaun menulis bulan tu saya nak beli buku ni. Tak sabar tunggu restok, alhamdulillah akhirnya dapat juga beli.

Baca reviu buku ini di Goodreads, memang positif. Lagilah saya teruja nak beli untuk anak saya.

Buku Edisi Kedua, Al-Quran Pertamaku Juzuk Amma terbitan Ana Muslim ini - berkulit tebal dan berwarna. Setiap surah dimulai diikuti maksud, kemudian asbabun nuzul, info surah dan kehebatan surah.



Bukan anak saja yang suka, saya pun sama. Sebab setiap surah dijelaskan maksudnya dalam bahasa yang mudah difahami dan ringkas. Iyalah kadang kita biasa baca Al-Quran beserta tafsir dan terjemahan, tetapi maksud sebenar di sebalik ayat dan peristiwa atau pengajarannya kurang sampai atau difahami. Sebab buku ini untuk budak, maka penyampaiannya lebih straight to the point dan bila orang dewasa yang baca, memang mudahlah faham.

Buku yang ditulis oleh Ustaz Arsil Ibrahim ini, memang agak sukar didapati. Edisi Kedua ni pun terbit selepas beberapa tahun selepas Edisi Pertama. Memang agak laku keras juga.

Semoga dengan adanya buku ini, dapatlah saya bacakan kisah-kisah dari Al Quran untuk anak, sekaligus saya juga dapat manfaatnya.

Nisfu Syaaban

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: Sofyanruray

Sedang minum air dalam gelas ketiga masa sahur tadi, teringat zaman berpuasa masa kanak-kanak dulu.

Sebanyak-banyaknya air masak diminum waktu sahur untuk pastikan tak dahaga sepanjang hari. Segelas demi segelas sampai penuh perut dengan air.

Dahaganya sama sahaja sebenarnya biar berapa banyak air diminum waktu sahur. Dah nanti air disingkir melalui air kencing, peluh. Lebih penting minum air sepanjang malam sebelum puasa untuk pastikan tubuh tidak alami dehidrasi.

Hari ini Nisfu Syaaban. Jatuhnya di hari Jumaat pula. Penghulu segala hari. Boleh submit doa banyak-banyak.



Lagi 2 minggu Ramadan tiba. Cabaran ibu menyusu, dengan anak tiga - semoga dipermudah!

Hargai Momen Kecil

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: merdeka.com

Melihat baju dan kain penuh bergantungan di ampaian, terbit satu rasa kepuasan. Dijemur di bawah panas matahari hangat, dengan angin yang menerpa dari segenap ruang - menjelang tengah hari sahaja kain baju segala sudah hampir kering dan boleh diangkat.



Jika bercuaca baik sepanjang pagi, kain baju yang harum semuanya sudah boleh dialih dari ampaian.

Rumah baru ini, tersedia ampaian yang cukup besar. Ruang juga luas. Saya teruja setiap kali mahu menjemur kain.

Ya, sekadar menjemur kain pun mampu buat hati saya suka. Betapa mudah untuk saya rasa gembira dengan hal yang kecil.

Berpengalaman sebagai ibu bekerja, yang mana membasuh dan menjemur pakaian antara tugas sukar, tinggal di pangsapuri dengan ruang menjemur yang terhad - kini bila berpeluang menjemur pakaian pagi-pagi, tak risau hujan waktu siang, sidailah baju sebanyak mana dimahukan, itulah kepuasan.

Selesai urusan baju, teruskan pula menulis selaju mampu.

Hargai momen kecil, nikmati ketika ada.

Alhamdulillah untuk rezeki hari ini.

Pesta Buku yang Dirindukan

Teks: Hifzaila Hafni

Terus terang, saya sangat rindukan zaman saya boleh ke Pesta Buku setiap tahun tanpa gagal dan ada ketika saya boleh pergi lebih dari sekali.

Betapa seronok dan teruja menunggu tibanya Pesta Buku, biarpun dompet tidak setebal mana namun tetap akan ada hasil yang diangkut pulang. Waktu itu gigih ke PWTC dengan tren.

Masa bekerja dulu, tak sabar tunggu hari giliran ke Pesta Buku. Pergi bersama rakan-rakan sekerja, menjelajah seluruh dewan. Sambil menerjah reruai pesaing, reruai yang wajib saya singgah pastinya Karangkraf dan PTS.

Perasaan membelek buku satu persatu, biar lama atau baharu; adalah satu perasaan yang tidak dapat saya gambarkan.

Saya tak kisah menjelajah dari satu rak ke satu rak mencari buku yang saya suka, walaupun mengambil masa yang lama. Saya juga sanggup menguis satu per satu buku yang berkategori 'stock clearance'. Jika bernasib baik, saya tetap akan terjumpa buku yang bagus dengan harga lelong. Tak mengapa walaupun bukan buku edisi terbaru.

Pernah sekali saya terjumpa buku tentang pemakanan anak hasil tulisan pakar pemakanan kanak-kanak yang saya ikuti - Annabel Karmel, di rak buku terlajak murah. Tak sia-sia saya kuis semua buku di rak itu!

Majalah yang back dated juga sering jadi pilihan saya. Tak mengapa walaupun isu lama atau tidak trending, yang penting info dan ilmunya. Atau penghias muka depannya.

Majalah pilihan?

Tahun 2011, kumpul Pesona Pengantin. Terlepas isu Januari, ke serata kedai buku tak berjumpa. Rupanya laku keras dek penghias muka depannya Angkasawan Negara dan isteri. Maka salah satu target ke Pesta Buku tahun tersebut adalah untuk cari isu yang terlepas tu. Alhamdulillah jumpa.

Seterusnya, majalah Rapi. Kemudian Pa & Ma. Begitulah.

Bila beranak satu, masih pergi. Pagi-pagi, siap sempat parking di basement PWTC. Beranak dua dan kini tiga, hanya mampu pandang dari jauh dan baca lintas langsung rakan-rakan sahaja.

Bersesak di tempat awam, berlama-lama di luar bukanlah satu keadaan yang saya dan suami gemar. Anak jadi kurang selesa dan kita pun terkejar-kejar masa.



Tidak mengapalah.

Saya masih boleh menjamu mata dengan belian online (pujuk hati sendiri).

Jika Allah panjangkan umur, adalah rezeki ke sana. Tahun depan, tahun satu lagi atau tahun seterusnya. Insya Allah.

Oh ya, kalau sesiapa yang senasib dengan saya yang tak dapat ke Pesta Buku tahun ini, tak perlulah kita layan sedih sangat ye tak. Boleh berkunjung ke bukulelong.com untuk jamu mata. Diskaun best juga. Kalau ada buku yang berkenan, boleh Whatsapp terus 019 460 3094.

Pesta Buku Online pun tak kalah nak shopping!

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur Bermula

Teks: Hifzaila Hafni

Wah, Pesta Buku (PBAKL) dah mula hari ini.



Seronok baca status update penulis, book seller, peminat buku semua pasal nak pergi sana dan senarai buku yang nak dibeli. Lagi teruja tengok tajuk-tajuk buku yang akan mula dilancarkan dan dijual secara rasmi bermula hari ini.

Saya?

Hmm. Tak pergi kot. 

Dah setahun dua tak pergi. Dengan anak kecil ni, saya dan suami tak berapa gemar nak ke tempat-tempat sesak dan ramai orang. Selalu tengok sahajalah dari jauh. Tumpang kegembiraan dan keterujaan orang yang pergi pun tak mengapa.

Dan, Pesta Buku Online pun ada sekali jalan dengan PBAKL. Jadi, terubatlah sikit kan. Hehe.

Yang pasti, meriah ni. Ada Himpunan Penulis, Thukul Bersekutu release 50 tajuk baru (eh!), buku sambungan memoir STAR dah terbit, sesi penulis jumpa pengunjung -- aaahh. Kita diam-diam baca update sudahlah ya.

Insya Allah ada rezeki lebih, bolehlah kirim kat personal shopper PBAKL atau beli online saja. Kalau tak pun, kita tumpang seronok dan mendoakan pesta kali ini berjaya dan lagi best sebab dah kembali ke PWTC!

Yang free tu, pergilah.

PBAKL 2017 mula hari ini, 28 April hingga 7 Mei.

Selamat berhari raya buku!

PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2017

28 April - 7 Mei 2017

PWTC

Masuk Percuma




5 Sebab Anda Perlu ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur

Teks: Hifzaila Hafni

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 (PBAKL 2017) bakal diadakan di PutraWorld Trade Centre (PWTC) bermula 28 April hingga 7 Mei 2017.


Kalau anda belum pernah menjejakkan kaki ke PBAKL selama ini, mulakannya tahun ini dan ini 5 sebab anda tak patut lepaskan peluang ini.

1. Berlangsung sekali sahaja setahun
PBAKL berlangsung setiap tahun sekitar bulan April dan Mei. Biasanya beberapa bulan sebelumnya sudah diuar-uarkan tarikh sebagai persediaan kepada penerbit dan penulis khususnya. Bagi peminat buku dan bakal pengunjung, boleh bersedia dengan pelaburan (belanja) yang bakal dibuat di sana nanti. Maklumlah sekali sahaja setahun!


2. Buku dijual lebih murah
Buku-buku di PBAKL selalunya akan diberi diskaun hebat dan dijual pada harga yang jauh lebih murah. Buku untuk dihabiskan stok, buku lelong, buku edisi lama lazimnya dijual pada harga yang lebih rendah. Jadi inilah masanya untuk pengunjung memborong sakan.

3. Pelancaran buku baru
Ada penulis atau penerbit akan melancarkan buku-buku terbaru semasa PBAKL. Jika berpeluang ke sana, pastikan anda kunjungi reruai mereka untuk dapatkan buku terbaru dan menjadi antara pembaca terawal buku tersebut. Untung-untung boleh bertemu penulis dan dapatkan buku yang ditandatangan.

4. Beli buku yang 'rare' atau majalah keluaran lepas
Kadangkala ada reruai yang menjual buku-buku yang sukar didapati di pasaran. Atau buku-buku yang sudah tidak diulang cetak, kalau anda bernasib baik. Majalah keluaran lepas juga boleh didapati, jika masih ada stok lebihan. Saya paling suka ke dewan pameran Karangkraf untuk memborong majalah lama pada harga murah.

5. Banyak pilihan buku pada satu tempat
Inilah masa dan tempat yang mana anda hanya perlu berada pada satu tempat sahaja untuk mencari atau membeli buku dengan pelbagai jenis dan genre. Buku akademik, ilmiah, komik, novel, keagamaan, bisnes, pendidikan semuanya ada. Kiranya bahan bacaan seisi keluarga ada di sini.

Walaubagaimanapun, ada juga orang yang tak berpeluang mengunjungi PBAKL ini atas halangan tertentu. Jangan risau, anda masih boleh turut sama memeriahkannya melalui CYBER BOOK FAIR.



Cyber Book Fair
Hari akhir 25 April 2017.
Jangan ketinggalan!

Klik SINI untuk lihat senarai buku dengan diskaun 15%, 20% dan 60%.

Semua buku, selagi ada stok, boleh didapati dengan Whatsapp ke 019 460 3094.




Memulakan Bisnes Sendiri

Teks: Hifzaila Hafni

Buku Memulakan Bisnes Sendiri Edisi Kemas Kini 2016, yang ditulis oleh Puan Ainon Mohd, merupakan buku pertama yang saya jual selepas menjadi ejen sah PTS.

hifzaila.blogspot.my
Sumber: Koleksi peribadi Hifzaila


Tahun lepas, buku ini baru sahaja diterbitkan semula selepas hampir 10 tahun.

Sambutannya? Amat menggalakkan.

Saya boleh katakan bahawa buku MBS merupakan antara tajuk yang terlaris di Hif Bookstore sepanjang bulan-bulan terawal di tahun 2016.

Dan sehingga kini, ada lagi yang masih mencari. Namun perlu tunggu Edisi Kemas Kini terbaru yang dijangka keluar awal Mei 2017 ini.






Berdasarkan komen pembeli pertama saya yang membeli 3 buah buku MBS ini untuk digunakan dalam bengkel anjurannya, dia merupakan antara pengikut Puan Ainon dan pernah membaca MBS versi ebook sekitar tahun 2007 ke 2009 (saya kurang pasti).

Bila dia nampak saya up status berkenaan buku MBS versi cetak di Facebook, dia terus pm saya.

Waktu itu, saya sendiri pun belum dapatkan buku MBS tu. Cetakan pertama, saya terlepas juga. Seingat saya, saya sempat beli waktu cetakan kedua mungkin ketiga. Tapi yang pasti, jualannya sangat memberangsangkan dan diulang cetak beberapa kali. Permintaan memang sangat tinggi.

Tahun ini, akhirnya terbit juga buku MBS Edisi Kemas Kini 2017.

Dengan persembahan yang lebih segar dan menarik, berbeza jauh berbanding buku MBS Edisi 2016.

Edisi terkini ini mempersembahkan kandungan secara infografik dan berwarna-warni. Ia juga didatangkan dengan saiz yang lebih besar. Di kaver buku, ada gambar Puan Ainon juga!

Isi kandungannya masih kekal, namun disertakan sedikit penambahbaikan.

Apa bezanya buku MBS ini dengan buku bisnes yang lain? 

Secara peribadi, saya berpendapat buku MBS lebih realistik kandungan dan pendekatannya bagi mereka yang berminat menceburi bidang bisnes. Ia bukan buku teori semata, tapi lebih kepada perkongsian pengalaman dan pemerhatian penulis sepanjang beliau berkecimpung dalam bisnes.

Siapakah yang perlukan naskhah ini?

Mereka yang merancang untuk menceburi bisnes atau yang sudah pun berada dalam bidang ini atau yang masih samar-samar tentang bisnes yang dijalankan - semuanya boleh baca buku ini sebagai panduan.

Bahasa yang mudah dan santai sahaja digunakan. Pembaca mudah faham mesej yang ingin disampaikan dan seakan-akan bercerita. Jadi, amat kurang kebarangkalian untuk merasa bosan bila membaca buku ini.

Apatah lagi dengan edisi terkini yang telah di'upgrade' ini.

Pastikan anda salah seorang yang memiliki naskhah Bestseller PTS tahun 2006 ini!

Untuk lihat isi kandungan buku ini dengan lebih detail, boleh klik di SINI .

Kalau berminat untuk milikinya, boleh juga klik SINI untuk buat tempahan ya.


Ulasan Kelas Blog Latih Tubi 44 Entri 20 Hari

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: Akademi Bekerja Di Rumah

Bismillah.

Alhamdulillah akhirnya berjaya selesai latih tubi menulis 44 entri dalam 20 hari (sebenarnya terlebih 2 hari). Ini sebenarnya ulang kaji menulis bagi pelajar lama ABDR yang mahu aktif semula berblog.

Dalam kelas blog penulisan yang dibimbing oleh Puan Masayu Ahmad ini, setiap pelajar berdaftar diwajibkan menjawab 8 soalan analisa dahulu. Jawapan-jawapan inilah yang akan menentukan arah tuju, fokus serta tema blog.

Pelajar lama yang mahu blog tampil lebih segar dengan konten berkualiti, menaikkan trafik dan mahu buat penjenamaan semula boleh request untuk sertai kelas bersama dengan pelajar baru. Masing-masing dapat belajar dan berkenalan antara satu sama lain.

Berada dalam kelas blog penulisan ini, untungnya dapat mengenali mereka yang datang daripada pelbagai latar belakang kerjaya dan pengalaman. Segala ilmu dan pengalaman dikongsi melalui penulisan yang memberi manfaat. Dalam kumpulan kelas bulan Mac ini, ada pakar ayat iklan, produk kecantikan, kraf dan jahitan dan produk kesihatan. Sama-sama dapat ilmu baru.

Membina blog mudah sahaja. Mahu konsisten menulis blog itu yang selalu menjadi masalah.

Itulah antara matlamat kelas blog ini. Melatih diri menulis secara konsisten, kenal pasti nic blog dan bangunkan tribe pembaca, tip menulis pantas bagi mereka yang sibuk dan strategi berbisnes dengan blog.

Kelas blog di bawah Akademi Bekerja Di Rumah ini adalah kelas asas (beginner). Mula dari zero. Belajar dari mula dan ikut langkah demi langkah hingga lengkap.



Bagi mereka yang serius mahu mengembangkan bisnes melalui storytelling, berhajat menulis ebook atau buku, boleh gunakan blog sebagai platform selain Facebook.

Syukur saya berpeluang sertai kelas sekali lagi. Belajar dengan berguru memang berbeza berbanding belajar sendiri. Bergerak secara berjemaah juga nyata berbeza berbanding bergerak sendiri.

Mahu mendaftar kelas, boleh klik di SINI.





Rezeki Tak Pernah Salah Alamat

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: Epic Marketing

Beberapa minggu sudah, ada seorang bertanya di Whatsapp tentang promo 3 ebook padaRM50 tu. Tanya punya tanya, nak hampir close sale dah --

Tak jadi. 

Sebab dia ingat buku fizikal.

Oh tak apalah. Lain kali katanya.

Saya pun ok sahaja. Memang biasa terima respon begini. Terkadang orang tak perasan yang saya jual tu ebook, bukan buku fizikal. 

Jadi perbualan kami pun berhenti setakat tu sahajalah. Tak apa, bukan rezeki saya nampaknya.

Tup tup, 2 hari lepas. Dia mesej saya semula bertanya kalau promo tu masih ada. 

Ya, masih. Dan dia terus nak bank in.

Allahuakbar. Pagi-pagi pula terima mesej begitu, berbunga hati saya.

Alhamdulillah direzekikan juga. Memang betul rezeki tak pernah salah alamat.



Mudah-mudahan dapat beroleh motivasi dan inspirasi daripada ebook yang dibeli. Mahu berhenti kerja satu hari nanti katanya.




Perpustakaan Mini

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: AMP Taskican

Dua hari lepas, encik Poslaju hantarkan barang. Buku yang saya pre order dah siap cetak. Buku parenting yang terlajak laris sangat tu - How To Talk So Kids Will Listen & Listen So Kids Will Talk Edisi BM.

Suami yang tolong ambilkan bungkusan sebab saya tengah tidurkan tuan puteri dalam bilik.

"Apa ni?" suami tanya.

"Buku" jawab saya.

"Hmmm. Buku lagi? Lepas ni ummi boleh buka library la untuk jiran-jiran"

"Haha. Boleh jugak"

Suami memang faham sangat passion saya pada buku. Isteri dia ni, tak perlu nak tayang beg tangan, baju, tudung, kasut; tak terliur sangat. Tapi jangan kalau buku. Selalu dia tak tahu pun celah mana saya dapat info buku sekian-sekian ni. Tup tup ada je sampai kat rumah.

Saya rasa seronok tengok banyak buku di rumah. Buku-buku tersusun. Macam-macam warna, macam-macam tajuk. Mujur suami pandai susun atur.

Dia pun sebenarnya kaki beli buku juga. Tapi selalunya saya yang habiskan baca buku yang dia beli. Tak apalah, mungkin satu hari nanti dia nak rehat-rehat membaca, buku dah tersedia banyak. Pilih saja nak baca mana satu.

Impian kami nak ada suatu bilik atau ruang untuk dibuat perpustakaan mini. Lengkap ada sofa dan kusyen besar, karpet sedap untuk baring atau duduk. Rak buku tinggi untuk muatkan semua buku pada satu tempat. Tepi tingkap untuk benarkan cahaya masuk. Ada meja kopi untuk menulis.

Biar ruang ini jadi tempat melepas lelah dan 'escape' dari dunia harian sebentar.

Kita bina impian dulu, mudah-mudahan ia akan jadi nyata.




Buku yang Sesuai untuk Anak Kecil

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: Google

Nak pilih buku yang sesuai untuk anak, rambang mata juga mak-mak ni. Maklumlah, banyak betul pilihan. Bukan setakat anak, mak pun suka!

Buku yang bagaimana sebenarnya yang sesuai untuk anak umur 2 ke 5 tahun ye? Ini pengalaman saya.

1. Untuk anak di bawah umur 2 tahun, boleh kenalkan dengan buku kain, buku yang warna-warni, ada ilustrasi besar-besar. Baru dia minat. Busy book pun ok nak kenalkan pada umur ni. Tapi saya tak sempat buat busy book ni untuk anak. Kalau ada yang nak beli, ada je orang yang buatkan dan jual.

2. Anak yang berumur 2 tahun ke atas, boleh mula kenalkan dengan buku cerita. Ibu bapa boleh bacakan kat anak. Tapi tetap juga buku perlu warna-warni, ilustrasi yang menarik. Selalu yang mudah nak tarik perhatian anak, buku kisah haiwan. Sebab menarik. Boleh buat bunyi, boleh anak kenal jenis haiwan. Saya ada satu buku, haiwan dan anak. Siap boleh tekan butang, nanti keluar bunyi anak haiwan tu. Seronok!

3. Anak yang dah umur 3 ke 4 tahun, boleh mula perkenalkan buku cerita yang panjang sikit. Ada ibu bapa dah mula ajar membaca dah pada peringkat ni. Boleh ajar sebutan (fonik) perkataan dan suku kata untuk pantas membaca. Buku-buku yang ada contoh perkataan dan gambar pun boleh digunakan. Buku lagu ke, anak boleh menyanyi. Di rumah kami, ada satu buku yang ada 'piano'. Bila ditekan akan keluar bunyi not muzik. Ini pun anak suka, ala main piano begitu.

Inilah serba sedikit tip tentang buku yang sesuai untuk anak kecil. Pada peringkat ini, yang lebih utama kita mahu anak biasa dan tidak kekok dengan buku. Biar dia rasa seronok dengan buku. Didik anak bahawa membaca adalah rutin dan patut jadi amalan seharian.

Buku Parenting Laku Keras Siap Cetak

Teks: Hifzaila Hafni
Foto: Bookcafe

Seronok rasa bila tengok gambar buku-buku 'How To Talk So Kids Will Listen & Listen So Kids Will Talk' yang sudah siap dicetak.

Ini adalah cetakan kedua, setelah cetakan pertama laku keras sampai saya pun tak sempat order untuk diri sendiri.

Bukunya agak tebal, lebih setengah kilogram. Banyak ilmu kat dalam ni. Tak sabar juga nak baca.

Semoga buku ni tiba dengan selamat pada saya dan mereka yang telah memesan secara pre order tempoh hari.

Entri 44: Membaca untuk Menulis

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: Berita Harian


Ya, untuk menulis perlu banyak membaca. Bahkan perlu banyak sangat membaca. Tak kiralah buku apa, yang penting baca.

Sebab apa?

Melalui pembacaanlah, penulis dapat idea. Idea baru, idea yang nak dikembangkan, idea yang nak dibincang atau dibandingkan. 

Selalu kita dengar penulis jadi 'lost' atau kosong, boleh berehat sekejap sebelum menulis semula. Tambahkan bahan bacaan.

Saya masih ingat, sewaktu belajar dulu, semasa di tahun akhir kami dikehendaki menyiapkan laporan projek akhir. Ada masanya tak boleh nak sambung menulis, tak tahu apa yang nak ditulis.

Nasihat pensyarah mudah sahaja: cari jurnal dan baca. Baca sebanyak mana jurnal yang berkaitan dengan topik laporan masing-masing. Dari situ pasti ada banyak idea yang datang.

Jadi, mahu menulis - membacalah!

Entri 43: Melayu Malas Berusaha?

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Salah satu buku 'ilmiah' dan buku yang memaksa saya berfikir adalah buku Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri, oleh Za'ba.

Saya terjebak menjadi salah seorang pemilik buku ni sebab satu, ada seorang kawan saya tanya kalau saya ada jual buku ni. Malangnya tiada pada waktu itu. Tapi siapa tahu selepas itu, saya terbaca di dinding Facebook Tuan Mohd Ariffuddin tentang buku ini.

Dia berkongsi tentang pentingnya setiap orang Melayu baca buku ini. Saya jadi teruja lah juga nak baca. Selepas saya order untuk kawan saya, saya pos status di Facebook, rupanya ada kawan saya yang lain mencari juga. Seterusnya semakin bertambah bilangan orang yang mencari dan membeli. Alhamdulillah murah juga rezeki saya waktu itu dek buku 'mahal' ini.

Saya juga beli senaskhah untuk rujukan sendiri, ternyata berbaloi.

Ini salah satu halaman dalam buku PBPDS, tentang usaha. Betapa orang Melayu ini malas berusaha.

Pedas kan? Tapi tak mahu mengaku pun, ia benar juga. Dan Za'ba sudah perhati dan nyatakan berpuluh tahun dulu lagi.

Agaknya kalau kita ini sejenis yang lemau, kurang motivasi dan asyik menyalahkan bangsa keturunan sahaja, ada baik juga kalau cuba hadamkan naskhah ini. Biarpun ia ditulis hampir 40 tahun lalu, kandungannya masih tetap relevan.

Saya bila baca buku ni, berkali-kali terasa kena batang hidung. Insaf jugalah. Syukur dipertemukan dengan buku ini. Nipis tapi padat.

Entri 42: Buat Diriku yang Mudah Lupa

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Setelah membaca buku Ustaz Ebit Lew, Saya Cuma Posmen, saya terpanggil untuk praktikkan amalan taalim di rumah seperti yang disarankan oleh Ustaz.

Jadi bermulalah saya mencari bahan bacaan yang sesuai untuk diri sendiri dan anak-anak. Ustaz beri cadangan menggunakan Munkhatab Ahadith, tapi buat permulaan ini, saya cuba baca terjemahan dan tafsir AlQuran dahulu.

Lepas tu baru teringat, suami ada beli satu buku hadis yang ada ilustrasi komik. Tajuk bukunya, 101 REKREASI HATI, oleh Dr Zahazan Mohamed & Nik Wafdi Nik Jaafar (Ilustrator).

Kandungan buku ini berasal daripada buku 300 Hadis Bimbingan oleh Dr Zahazan Mohamed & Ustaz Ahmad Hasan Mohd Nazam, tetapi diberi pendekatan baru yang menarik dengan setiap hadis disertakan komik untuk lebih faham.

Jadi, setakat ini, saya baca buku ini dahulu sebelum beralih kepada buku-buku hadis yang lain, yang lebih detail.

Untuk anak-anak, saya gunakan buku Al Quran Pertamaku - Juzuk Amma. Buku Rekreasi Hati tu, saya cuma terangkan maksud gambar sahaja kat anak berdasarkan hadis yang dirujuk.

Seronok dapat baca hadis-hadis ni, bagus untuk diriku yang mudah lupa - tagline buku Rekreasi Hati ;-)

Entri 41: Masak Guna Kalendar

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Bila terpandang kalendar resipi ni, mesti teringat betapa terujanya saya cuba beberapa resipi dari kalendar ni. Maklumlah, lain dari yang lain kan. Kalau selalu tengok resipi di internet, majalah atau buku. Ini kalendar!

Saya memang terpikat habis masa seorang bekas editor majalah masakan berkongsi tentang kalendar resipi ni. Waktu itu, harga pengenalan RM30 termasuk pos. Saya pesan terus sebab berkenan sangat.

Dan hasilnya, ya -- resipinya tak mengecewakan. Mudah dan ringkas sahaja. Antara yang saya pernah cuba:

- daging masak merah mamak
- udang masak tempoyak

Memang sedap!

Jadinya di Facebook awal tahun ini, saya berkongsi memori testimonial kalendar resipi ni. Ada pula kawan yang berminat nak dapatkan.

Namun malang sekali, kalendar ini sudah tiada (tidak diulang cetak). Kiranya untunglah sesiapa yang beli dulu.

Begitulah namanya rezeki. Insya Allah bila berkelapangan, saya akan kongsikan resipi-resipi daripada kalendar ini ya.

Entri 40: Diagnosis 3 Mortuari

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Saya minat cerita-cerita doktor. Cerita kerja doktor, hospital, penyakit.

Tengok buku ni, teringat tahun lepas. Sewaktu melintas gambar buku Diagnosis 3: Mortuari terbitan Dubook ni di Facebook, waktu tu buku ni baru lagi siap cetak.

Saya memang terdetik nak beli. Tapi iyalah, peniaga online kecil-kecilan macam saya ni, kenalah tunggu tabung penuh dulu baru boleh beli.

Tapi nak dijadikan rezeki, suami nampak gambar buku ni semasa 'tumpang' Facebook saya. Dia pula yang minat dan suruh saya order. Hihi. Memang pucuk dicita, ulam sayur buah semua mendatang lah!

Saya order terus daripada salah seorang penulisnya iaitu Dr Noor Hayati Yasmin. Siap bertanda tangan lagi. Seronok!

Buku Diagnosis 3 ini adalah kompilasi cerita 3 doktor yang tak lepas daripada berhadapan dengan kematian. Setiap kematian itu ada ceritanya tersendiri, yang mana kita yang hidup ini dapat ambil iktibar dan jadikan pengajaran. Buku yang ditulis oleh Dr Fahd Razy, Dr Noor Hayati Yasmin dan Dr Jack Naim ini, kalau rasa tak insaf, baik ulang baca sekali lagi dan hayati betul-betul.

Bahagian pertama buku, kisah mortuari daripada Dr Fahd. Saya suka semua kisah beliau. Isi cerita yang ingin disampaikan sangat berkesan dengan gaya penulisan yang santai tapi sentap. Dr Fahd menulis macam diari, kita rasa sangat dekat dengan situasi yang diceritakan. Dan pastinya pengalaman beliau sendiri.

Saya paling terkesan kisah ibu-ibu nak bersalin dalam bab 'Expect the Unexpected'. Terkedu saya baca kisah-kisah di Labour Room. Baru saya faham juga, kenapa nurse di Klinik Kesihatan yang check saya mengandung dulu hampir cuak tengok keadaan saya yang dah mula bengkak kaki dan tekanan darah naik sedikit pada minggu ke 36. Sikit lagi saya nak kena refer ke hospital.

Bila baca kisah yang ini, baru saya faham. Ibu hamil memang boleh nampak sihat sekelip mata je boleh pengsan. Jaga-jaga ya (pesanan untuk diri sendiri juga).

Seterusnya, bab disambung oleh Dr Noor Hayati. Gaya penceritaan Dr Hayati seperti novel medik. Ada diketengahkan isu home birth juga, yang saya kira isu yang amat baik diketengahkan.

Bahagian akhir ditulis oleh Dr Naim. Gaya cerita pun macam novel tapi dalam bab paling akhir, Dr Naim berkongsi kisah pengalaman beliau sendiri yang kehilangan sahabat karib, Dr Prasanth. Membaca bab akhir ini membuatkan saya terfikir betapa persahabatan itu merentasi bangsa dan agama. Dan satu pengajaran dari bab ini adalah 'do not judge the book by its cover'.

Kesimpulannya, Diagnosis 3 wajar dimiliki. Walau sebanyak mana kisah kematian dilaporkan setiap hari, yang berlaku dalam pelbagai situasi, tapi itu daripada kaca mata wartawan.

Kisah kematian daripada insan yang menjadi sebahagian daripada proses ini - saya kira lebih dekat dan menyentuh hati.

Bak kata Dr Fahd, berselisih dengan Izrail.

Cuba baca. Cuba selami. Cuba hayati. Anda takkan rugi. Malahan memberi ingatan bahawa setiap kita pasti mati.


Entri 39: Sedekah, Tak Kaya Pun Boleh!

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Berkata Za'ba tentang Sedekah, dalam bukunya Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri;

"Di sini eloklah juga diambil ingatan bahawa yang dikatakan 'sedekah' itu bukanlah sahaja sedekah memberi-beri wang dan barang kepada orang susah seperti yang perkataan itu bermakna dalam Bahasa Melayu.

Misal perbuatan bukanlah mesti yang besar-besar sahaja, samalah perkara-perkara yang kecil pun:

- membuang duri atau paku atau najis dari tengah jalan; dan
- seperti menunjukkan muka manis atau senyum kepada orang kecil, orang miskin dan orang yang ketakutan; juga
- seperti mengucapkan sepatah dua kata yang lembut dan bertimbang rasa kepada orang sakit, orang kematian, kehilangan atau kemalangan.

Demikian pula menolong binatang yang kesusahan.

Semuanya daripada jenis sedekah belaka, dari yang sekecil-kecilnya hingga kepada yang sebesar-besarnya."

----

Betapa luas makna sedekah. Jika kita selalu fikir sedekah terhad kepada wang ringgit sahaja, rugi kita kan. Padahal banyak cara kita boleh beri sedekah.

Waima orang yang tak berapa kaya pun masih boleh sedekah juga. Sedekah apa yang ada. Paling kurang SENYUM :-)

Sedap baca tulisan Za'ba. Bukunya nipis sahaja tapi sarat nasihat dan peringatan. Syukur dapat juga buat buku ini sebagai koleksi. Kenapa?

Buku ni baru diterbitkan semula dengan edisi terkini penghujung tahun 2016, setelah paling akhir diterbitkan pada 2009. Jadi sejak diterbitkan semula, memang sangat mendapat sambutan dan laku keras.

Buku ini juga antara buku bestseller di Hif Bookstore beberapa bulan lepas.

Untuk info, buku ini diterbitkan selepas 8 tahun Za'ba meninggal dunia. Cetakan pertama adalah pada tahun 1982.

Entri 38: Buku Bahasa Aras Tinggi

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Buku Peribadi ini sepatutnya saya sudah habis baca, namun terhenti pula pada halaman ke 7. Aduh, sukar juga nak hadam bahasa tinggi ni. Karya Hamka, bukan calang-calang.

Alkisahnya, koleksi buku Hamka yang ada di perpustakaan rumah kami, suami yang beli. Tertarik dengan petikan buku Falsafah Hidup yang didengar di radio Ikim, suami terus minta saya carikan buku tersebut. Seterusnya, bila membelek katalog, satu set buku Hamka diborongnya!

Ada 7 buah kesemuanya.

Falsafah Hidup. Lembaga Hikmat. Lembaga Hidup. Tasawuf Moden. Peribadi. Falsafah Hidup. Lembaga Budi.

Saya mahu mulakan dengan buku Peribadi, kerana tertarik dengan tajuknya. Di awal buku pun sudah bermacam input masuk ke kepala. Cuma nak hadam dan khatam itu yang mengambil masa.

Bila membaca buku ini, teringat masa saya baca buku Za'ba, Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri. Laras bahasa yang tinggi tapi penuh makna dan mendalam maksudnya.

Setakat ini, memang dua buku inilah yang mengambil masa yang agak panjang untuk dihabiskan.

Buku Peribadi, disebabkan poor progress, saya tangguhkan sebentar dan saya baca buku lain dahulu. Sekarang saya dalam proses menghabiskan bacaan buku Mukmin Profesional oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi.

Bila kita sangkut pada suatu buku terlalu lama, tinggalkan sebentar dan alih kepada buku lain dahulu. Jika tidak, hilang motivasi untuk terus membaca.

Entri 37: Idea Bisnes Di Rumah

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: ABDR

Jika diberi pilihan, kebanyakan orang mahu bekerja dari rumah pada zaman sekarang. Sama ada secara sepenuh atau separuh masa untuk menjana pendapatan lebih.

Kaum bapa mungkin mahu bekerja sendiri tanpa terikat dengan mana-mana syarikat, kaum ibu pula mahu sangat bekerja di rumah dan menjaga anak sendiri.

Cuma masalahnya, kebanyakan kita memang minat nak berbisnes tapi tak tahu bidang apa yang sesuai, bagaimana nak mula. Sebab itulah, perlunya kita analisa dan kaji dahulu, kekuatan yang kita ada sebelum buat keputusan berhenti kerja (bagi yang sedang bekerja sepenuh masa).

Kalau suka memasak...

Boleh cuba menjual sarapan pagi, penghantaran makanan tengah hari dan makan malam, jamuan majlis hari jadi atau keraian, katering kecil-kecilan.

Kalau suka buat kek dan roti...

Boleh cuba cipta resipi kek yang sedap dan dihias dengan kreatif. Boleh mula dengan promosi di majlis kahwin atau kawan-kawan. Roti atau kek boleh juga dibungkus dan diletakkan di kedai-kedai, kantin sekolah atau stesen minyak.

Kalau pandai berseni kreatif...

Tangan berseni ni, untung. Guna bakat seni yang dikurniakan Allah untuk jana lebih pendapatan. Menggubah bunga, hantaran, bunga telur atau apa-apa saja produk kreatif. Bidang yang berkait rapat juga dengan majlis perkahwinan. Boleh cuba dulu dengan majlis kahwin rakan atau saudara-mara.

Kalau anda graduan berijazah...

Boleh cuba jadi tutor atau guru tuisyen. Boleh tawarkan servis mengajar. Boleh dilakukan di rumah atau mengajar di sekitar kejiranan. Masa yang fleksibel. Pahala pun banyak, sampaikan ilmu.

Kalau pandai menjahit...

Untung kalau pandai menjahit. Pakaian, langsir, beg atau produk jahitan lain. Kalau belum pandai, tapi minat, boleh masuk kelas jahitan dulu. Mula dengan jahit baju keluarga, adik-beradik, saudara-mara.

Kalau suka menulis...

Kini menulis saja boleh jana banyak pendapatan. Tak kisah lah menulis apa saja. Blog, artikel, ulasan buku atau novel. Tapi nak menulis selain bakat (rezeki Allah bagi), perlu ada ilmu menulis juga. Dan biarlah penulisan kita itu bermanfaat.

Dah dapat idea nak bisnes apa di rumah? Teruskan!

Entri 36: Screaming-Free Parenting?

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Dulunya, saya in denial untuk beli buku Screaming-Free Parenting ni. Sebab saya dok fikir, saya boleh dan pasti mampu kawal suara atau bahasa mudahnya tak menjerit kat anak.

Mesti saya TAK PERLU buku ni. Saya takkan beli kot.

Tapi, siapa tahu, kesudahannya saya beli juga. Dan rupanya suami pun beli sebuah dalam masa yang sama. Saya beli online, suami beli kat kedai buku.

Jadi, nampak tak akhirnya kami sama-sama PERLU buku ni sebenarnya 😆

Memang tak dapat dinafikan, bila bilangan anak bertambah, anak makin besar, banyak akal, ada pendapat dan keinginan dia sendiri, mak ayah ada ketika memang suara jadi high pitch juga.

Grrrrrr.

Jadi lepas saya dapat buku ni, saya mula selak-selak dan baca. Buku ni nipis je dalam 114 halaman.

Harga pun saya kategorikan sebagai mampu milik, RM13 saja. Tapi mahal untuk ilmu macam ni.

Dalam buku ni ada 4 bab. Tapi saya tertarik pada Bab 3, Mencari Tenaga dan Emosi Positif. Bab ni senaraikan 11 latihan yang boleh parents buat untuk jadi lebih positif dan seronok.

Antara latihan yang saya suka, latihan MINTA MAAF.

Ye, ibu bapa yang buat salah kat anak pun kena minta maaf jugak. Barulah boleh didik anak minta maaf juga kalau buat salah.

Sebab kena minta maaf? Kita nak anak belajar lapangkan jiwa dan rendahkan hati. Dalam masa yang sama, ibu bapa pun belajar benda tu juga.

Kalau dah biasa tabiat macam ni, lama-lama nak tegur kesalahan anak jadi lebih mudah. Atau anak pun jadi mudah nak mengaku kalau dia buat salah.

Buat salah, minta maaf. Usahakan untuk tak ulang lagi. Lama-lama insha Allah jadi baik, kan?

Ibu bapa zaman sekarang, saya kira tak banyak sikit kena selak-selak juga buku parenting. Yang baik kita ikut la kan.

Almaklum anak-anak zaman la ni cerdik-cerdik belaka. Nak counter balik ibu bapa kena jadi lagi cerdik la nampaknya 😊

Selain SCP, saya beli juga Creative Parenting Today. Pun menarik juga. Saya akan kongsikan dalam entri yang akan datang.

Entri 35: Belajar Ilmu Keibubapaan Melalui Buku Bestseller Antarabangsa

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: Bookcafe

Mendidik anak memang tanggung jawab yang besar, sesungguhnya. Di kala saya fikir saya mampu laluinya dengan sabar dan tabah, rupanya ia tidaklah seindah yang saya bayangkan.

Growing up kids are so challenging to handle!

Tapi begitulah, anak amanah yang besar, anak itu ujian. Nak didik anak soleh, tuntutannya besar sesuailah dengan doa mereka nanti mahal buat bekal untuk mak ayah yang dah tiada kelak.

Disebabkan itu, saya mula banyak membaca tentang ilmu keibubapaan. Selain baca artikel di internet, ada juga beli buku-buku keibubapaan atau panduan mendidik anak. Antara buku yang berada dalam wish list saya adalah buku Tarbiyatul Aulad (Jilid 1 dan 2) karya Prof Abdullah Nasih Ulwan.

Insya Allah, akan masuk ke perpustakaan rumah nanti. Cuma yang terbaru, saya pre order buku 'How To Talk so Kids Will Listen & Listen so Kids Will Talk' Edisi Bahasa Melayu.

Dek buku ini yang amat laku keras, saya mahu juga buat koleksi. Cetakan pertama hampir 3 kali restok, cetakan kedua sedang dalam proses dengan jumlah buku yang agak terhad. Jadi saya juga tak mahu ketinggalan untuk memiliki naskhah yang menjadi bestseller antarabangsa ni. Ada pula dalam edisi Bahasa Melayu, teruja rasa nak baca.

Selain berpandukan Al Quran dan hadis dalam mendidik anak, saya fikir ada baiknya juga ibu bapa tambah ilmu dengan buku-buku keibubapaan. Bila ilmu kesemuanya digabungkan, pasti lebih mantap. Mudah-mudahan begitulah ya.

Memang kita bukan ibu bapa yang terbaik, tetapi ibu bapa yang sentiasa berusaha menjadi yang terbaik untuk anak-anak. Insya Allah. Aameen.

Entri 34: Segalanya Sambal!

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Cili siap kisar memang sentiasa ada di rumah saya. Kalau tak ada, guna juga cili giling tapi rasanya tak sama. Suami tak berapa suka. Jadi jarang amatlah ada cili giling atau cili boh di rumah.

Yang paling memikat selera, cili kering siap kisar sendiri. Cili kering dipotong serong dan dibuang biji, direbus hingga lembut. Kemudian ditoskan dan dikisar bersama bawang besar dan bawang putih. Masukkan dalam bekas dan simpan dalam peti sejuk.

Nak buat sambal tumis jadi mudah, boleh saja bila-bila masa.

Kadangkala masa mengisar, saya ada masukkan minyak masak untuk mudahkan proses mengisar dan cili tadi tahan lebih lama.

Lagi satu sebab cili kisar sentiasa ada di rumah adalah sebab penghuni rumah ni peminat sambal belaka. Baik suami dan anak-anak. Saya pun sama cuma saya kurangkan sementara waktu kerana menyusu anak.

Kalau boleh, hari-hari nak sambal tumis. Hehe.

Entri 33: Belajar Secara Online

Teks: Hifzaila Hafni

Zaman sekarang ni, nak buat kelas tak semestinya face to face dengan cikgu, tak semestinya kena hadir pada hari tertentu. Zaman sekarang ni, boleh saja kelas atau coaching dibuat secara online.

Sekitar 2014, walaupun kedengaran agak asing, saya cuba saja daftar kelas online. Sebab?

Saya tak ada kesempatan ke kelas offline. Masa tu saya bekerja. Sabtu pun kadangkala overtime. Ahad saja tinggal untuk keluarga.

Kelas online waktunya fleksibel. Tidak terikat janji tugasan siap. Tapi cabaran juga nak siap sebab cikgu tak ada depan kita kan. Apapun syukur siap juga akhirnya.

Sejak tu, dah biasa dah dengan kelas online, coaching dan diskusi secara online. Mudah sangat untuk saya sebab saya tak perlu ke mana-mana. Walaupun perasaannya tak sama seperti kelas offline tetapi sekurang-kurangnya ada juga peluang hadir kelas dan tambah ilmu.

Tak faham, mesej guru online dan tanya. Kalau silap, buat sampai betul.

Kelas online saya yang pertama?

Kelas asas blog dan fanpage melalui Akademi Bekerja Di Rumah.

Cara kelas dijalankan, buat tugasan langkah demi langkah hingga selesai dan semua diskusi di grup FB. Mudah nak rujuk dan selesaikan tugasan.

Alhamdulillah, asbab kelas online yang yurannya RM180 itu juga saya banyak belajar menulis blog dengan cara yang betul, berkenalan dengan ramai individu hebat serta meluaskan jaringan rakan dan peluang bisnes.

Jika ibu-ibu khususnya, yang rasa sukar nak hadir kelas kerana komitmen kerja atau keluarga, boleh cuba kelas online dahulu. Yang penting, komited dan selesaikan tugasan yang diberi. Insya Allah berjaya.

Entri 32: Travelog, Kembara dengan Buku

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: Bookcafe

Jujurnya saya tak minat sangat buku travelog. Disebabkan tu, saya juga kurang promosi buku-buku travelog padahal banyak je buku travelog, backpacker yang terbit. Sehinggalah ada suatu hari tu, kawan tanya saya ada jual tak buku KEMBARA AFGHANISTAN oleh Siti Noridah Abdul Rahman.

Saya check katalog, ada. Banyak. Dan dari situlah, saya tahu buku travelog banyak yang best. Iyalah, kita nak pergi ke sesebuah negara ni ada kalanya tak berpeluang, atau tak berkemampuan. Atau mungkin juga tak berani. Jadi dengan baca buku-buku travelog ni boleh juga dapat tahu tentang sesebuah negara yang asing bagi kita.

Bermula dengan buku Kembara Afghanistan itulah, saya tahu buku-buku travelog lain antaranya Namaste India, Kompilasi Travelog 7 Benua dan siri buku I'm A Backpacker.

Kemudian tak tahan baca review buku-buku Dr Jamilah Jaafar (Dr Hayya Bilal), saya akhirnya beli buku travelog beliau - Laki Aku Negro dan Afrika Aku Mai Lagi. Disusuli buku Moving Out oleh Puan Anie Alja tentang penghijrahannya ke Perth, Australia.

Bila baca, seronok rupanya!

Kita yang tak ada peluang ke negara-negara lain, dapat juga ilmu kembara dan pendedahan berdasarkan pengalaman orang lain. Mana tahu suatu hari kita pula bakal ke sana. Atau sekurang-kurangnya tahu tentang budaya negara lain.

Baca buku travelog, luas pandangan dan pengetahuan :-)

Entri 31: Hujan Rahmat

Teks: Hifzaila Hafni

Sepagi yang panas, petangnya hujan lebat membawa rahmat. Alhamdulillah sejuk dan nyaman.

Berkira-kira mahu keluar ke pasar malam petang ini, niatnya mahu mencari barang dapur basah yang segar tapi nampak gaya tak jadi dek hujan. Dengan anak kecil, tak sesuai nak meredah hujan ni melainkan kecemasan. Lagipun, boleh ditangguh ke esok sahaja.

Selalu bila hujan petang begini, saya selalu terfikir apakah nasib orang yang berniaga pasar malam atau tepi jalan. Stok makanan untuk dijual mesti dan siap awal lagi tapi kalau hujan menderu-deru begini pasti tak banyak sikit, pelanggan berkurang. Atau boleh jadi sebaliknya, barang jualan tetap juga habis. Misalannya, pelanggan datang selepas hujan reda atau berhenti. Kita takkan tahu kan.

Tapi begitulah adat berniaga pasar malam. Ada hari cuaca baik, ada hari kurang baik. Terpaksalah hadapi.

Kadang-kadang saya perhatikan, ada yang bawa sekali anak-anak ke tempat niaga. Pandai pula anak bawa diri. Buat kerja sekolah atau bantu yang ringan-ringan. Masa kecil sudah biasa, bila dewasa berniaga sudah jadi biasa, barangkali ya.

Saya hanya boleh kagum melihat, sebab saya tiada pengalaman begitu ;-)

Entri 30: Raising Readers

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Awal tahun ini, saya berniat mahu lebih giat bacakan anak buku. Jika sebelum ini, sekadar memperkenalkan buku, kini mahu anak lebih libatkan diri dalam proses 'read aloud' dan membaca.

Keliru juga mahu gunakan buku apa, sebab terlalu banyak pilihan. Nak pula saya jual buku, rambang mata dibuatnya!

Tapi sebagai permulaan, saya belikan buku-buku cerita yang nipis saja tetapi dengan ilustrasi yang menarik dan cantik. Ada 2 buah buku yang saya beli, yang mana ilustrasinya oleh Emila Yusof, pelukis yang saya kagumi. Anak-anak suka juga, tapi biasalah lama-lama dah jemu, kena tukar buku lain pula.

Ada juga saya gunakan buku cerita dan aktiviti terbitan Ana Muslim. Buku ni memang anak suka sangat, sampai saya pula yang jemu nak baca banyak kali. Hehe.

Kini saya dalam proses menambah lagi buku untuknya. Kali ni mahu tambah buku agama pula. Buku hadis, cerita daripada AlQuran dan kisah rasul. Alhamdulillah banyak pilihan juga dan harap-harap anak suka dan saya istiqamah mahu bacakan untuknya.

Nanti saya kongsikan buku agama yang saya beli. Baru order online, tak sabar tunggu abang poslaju hantar :-)

Entri 29: Ummi Ni Garanglah!

Teks: Hifzaila Hafni
Foto: Google

Anak makin membesar, makin bijak. Makin pandai komen, makin pandai berhujah.

Mahu tak mahu, saya terpaksa terima hakikat cara melayan dan mendidik juga perlu diubah seiring usianya.

Tadi, serabut mata dan kepala tengok mainan bersepah di ruang tamu. Biasalah kan pemandangan begini. Bezanya tadi, dengan keserabutan tu, anak-anak pula tak menyempat, sibuk minta dipasang Upin Ipin di Youtube. Adik baby pula dah mula berbunyi-bunyi panggil ummi. Aduh..

Bila disuruh kutip semua mainan masuk bakul, buat lembik lutut. Tak larat, penat. Padahal baru lepas makan dan mandi. Saya nak suruh lagi, memang tak jalan ni nampak gayanya. Tiba-tiba teringat satu cara yang saya pernah terbaca (tak ingat di mana), bila nak minta anak buatkan sesuatu, perhatikan ayat kita, cara kita bercakap padanya.

Contohnya macam tadi, kalau biasa saya kata,

"Kemas mainan ni cepat, kalau tak kemas, tak boleh tengok Upin Ipin"

Tukarkan (rephrase) kepada,

"Lepas habis kemas semua mainan, ummi bagi Aad tengok Upin Ipin"

Kita cakap dahulu apa yang kita mahu anak buat, lepas tu diikuti reward atau kemahuan dia. Baru otak dia proses straight to the point -- kemas mainan, dapat Upin Ipin.

Tapi malangnya tadi tak jalan juga lepas dicakap begini. Geram betul. Saya cuba kaedah lain pula.

Kaedah mak kejam.

Saya pasang Youtube, tapi saya buka mengaji. Tadi pilih shaikh mana saya lupa dah namanya, baca Surah Yusuf. Berbulu anak saya.

Saya kata "Kemas mainan, boleh tengok Upin Ipin. Tak kemas, dengar mengaji ni."

3 minit pertama, masih protes. Saya ulang lagi ayat tadi. Siap saya tambah, "lepas habis video mengaji ni, ummi nak tengok cerita ummi. Kalau tak nak tengok Upin Ipin, takpe lah. Biar ummi kemas mainan ni sorang-sorang."

Perlahan-lahan satu demi satu mainan dikutip.

Haaa berjaya!

Habis mainan kami kutip bersama. Selesai dan lapang. Hilang serabut saya. Semua mainan masuk bakul. Lalu dapatlah rewardnya - Upin Ipin!

Tajuk video? Kesayanganku, bab mengemas rumah. Hahaha. Anak yang minta sendiri nak tengok episod ni. Saya turutkan saja sebagai menghargai pertolongannya tadi.

Alhamdulillah biarpun perlu cakap berulang kali, biarpun mula-mula tu geram, akhirnya seronok sebab kaedah berkesan.

Sesekali memang ummi kejam. Kejam sebab sayang. Kejam sebab nak anak-anak belajar tanggungjawab. Kejam sebab nak mendidik jadi manusia yang hatinya kental dan kuat.

Parenting sekarang, selain baca buku, kena ikut cara orang-orang dulu juga. Mana yang elok, ambil. Yang tidak, tinggalkanlah. Bab kejam ni, menurun daripada mak saya lah ni.

Terima kasih, mak!

Entri 28: Jumaat Berkat

Teks: Hifzaila Hafni

Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Masih bertemu Jumaat yang mulia, hari yang penuh barokah.

Suami sudah bergerak tempat kerja, anak-anak masih lagi dibuai mimpi. Ummi macam biasa terus saja dengan rutin suri rumah dan penulis bebas seawal pagi.

Selesai Subuh dan 10 ayat Al Kahfi, sekejap lagi mahu sarapan. Ibu menyusu memang menggigil lapar di waktu pagi. Dan perlu bersarapan seawal boleh untuk pastikan bekalan susu cukup untuk pagi ini.

Salam Jumaat. Semoga hari ini Allah mudahkan dan lancarkan urusan kita semua :-)

Entri 27: Inspirasi Prof Faridah Awang, Profesor Melayu di US

Teks: Hifzaila Hafni
Foto: Facebook Prof Faridah Awang (Ida Awang)

Teks asal di Facebook saya, yang saya post pada 26 Disember 2016. Post ini telah di-share sebanyak 52 kali, jumlah yang besar untuk saya.

Walaupun jumlah like, comment dan share tidaklah tinggi mana, tetapi saya sangat seronok dan puas hati dapat menulis tentang anak Melayu yang menjadi profesor penuh di Amerika Syarikat ini.

Bertambah manis kerana Prof sendiri like dan sudi komen di post tersebut.

Semoga ia bermanfaat dan memberi inspirasi kepada ramai lagi di luar sana.

---

Perkongsian di Ikimfm, slot Inspirasiku oleh Prof Dr Faridah Awang, Profesor dan Koordinator Program Komunikasi Korporat dan Teknologi, Eastern Kentucky University, Amerika Syarikat.

1. Praktis 'active learning'

Study siap-siap sebelum masuk kelas. Semasa dalam kelas, hanya dengar dan fikirkan apakah bentuk soalan yang mungkin pensyarah akan tanya dalam exam berkenaan bab yang dipelajari. Adakah soalan yang berbentuk pengetahuan, aplikasi atau teori. Beliau juga akan catat nota tambahan daripada pensyarahnya.

2. Menerangkan objektif dan reward dalam mendidik anak

Bagi setiap perkara yang kita mahu anak lakukan, terangkan objektifnya. Kenapa kita mahu anak kita buat begitu begini.

Dalam kes Prof, beliau terangkan OBJEKTIF dengan jelas kepada anaknya, kenapa anaknya perlu ikut beliau ke kelas. Beliau tidak mampu mengupah orang lain untuk menjaga. Jadi, terpaksa membawa anaknya bersama.

Sebagai balasan berkelakuan baik sepanjang kelas ibunya, Prof akan berikan REWARD kepada anaknya itu.

3. Biasiswa dihentikan, bekerja sebagai janitor

Suatu ketika, biasiswa beliau dihentikan maka beliau kehilangan sumber kewangan. Beliau terpaksa bekerja sebagai janitor (cleaner) untuk tampung perbelanjaan harian dan meneruskan pengajian.

4. Bubur dan nasi goreng mayonis

Sebab gaji yang tak besar, beliau beli stok makanan asas sahaja macam beras dan minyak. Selalu masak bubur untuk jimatkan beras (bertakung air mata masa Prof cerita bab ni, saya pun pernah rasa).

Suatu masa, buat nasi goreng dengan gaul nasi putih dengan mayonis saja sebab itu sahaja makanan yang ada waktu itu.

5. Hadiah senduk kayu untuk ibu

Hari lahir Prof pada 9 Ogos (eh dekat dengan saya 14 Ogos).

Sebab tak mampu, tak sambut pun. Tapi anaknya tetap nak bagi hadiah.

Anaknya keluar cari barang di tempat buang sampah. Terjumpa senduk kayu dan dihadiahkan pada beliau.

Memang nampak buruk tapi besar maknanya pada beliau, sebagai motivasinya untuk lebih berusaha keluar daripada kesempitan hidup waktu itu.

6. Selalu puasa

Selalu ke kelas dengan berlapar sebab tak makan. Tak makan sebab tak ada duit. Jadi beliau selalu juga puasa.

7. Zero Girl

Digelar Zero Girl sebab tak pernah buat salah (zero error) dalam exam. Selalu skor 100%. Betul sokmo jawapan Prof.

Rahsianya?

"Make budu lah. Nge ppoyok"
(Makan budu lah. Dengan tempoyak)

Pandai Prof berseloroh 😀

8. Janji dengan Allah

Jika beliau berjanji dengan Allah untuk buat sesuatu, beliau akan pastikan ia tercapai, sebab dah janji kan.

Part 2

Prof telah diberi sebanyak 20k USD oleh pensyarahnya untuk membantunya belajar hingga selesai.

Kenapa pensyarah beliau sanggup berikan sebanyak itu untuk beliau teruskan pengajian PhD?

Duit 20k itu adalah simpanan peribadi pensyarah tersebut ya.

Begini kisahnya.

Prof akan pergi dan balik kelas dengan berjalan kaki. Perjalanan ambil masa dalam sejam. Ditemani anaknya, perlahan-lahan mereka bergerak sama-sama, cuma anaknya menggunakan roller blade.

Jadi anaknya akan gerak jauh ke hadapan dan berhenti beberapa kali di tepi jalan dan menunggu beliau tiba. Sampailah ke rumah.

Keadaan tu diperhatikan oleh pensyarah beliau.

Esoknya si pensyarah tanya,

"Kenapa balik rumah jalan kaki semalam?"

"Tak ada duit. Biasiswa dah tak ada."

"Tak ada? Jadi bagaimana awak cari duit?

"Saya jadi janitor, Prof"

"Awak dah makan ke belum?"

"Belum"

"Nah ambil USD50 ni, makan dan beli barang dapur. Anak ada dibelikan baju baru?"

"Tak ada. Pakai baju lama, yang mana ada saja"

"Ambil USD100 ni dan beli baju baru untuk anak"

Begitulah lebih kurang perbualan Prof dengan pensyarah beliau.

Part 3

Kagum sangat ni sampai 3 post cerita pasal beliau ni. Hehe.

Baik, kita teruskan.

Kan semalam Prof jumpa pensyarah dia. Lepas tu pensyarah dia minta dia datang lagi jumpa untuk bincang suatu perkara.

Rupanya pensyarah tu nak Prof Faridah sambung PhD.

"Kenapa Prof (pensyarah) mahu saya sambung belajar? Saya tak ada duit banyak nak sambung PhD"

"Awak PELAJAR TERBAIK saya. Saya tak pernah jumpa lagi pelajar sebagus awak ni. Awak perlu sambung belajar"

"Kita fikirkan cara untuk awak dapatkan pembiayaan untuk sambung PhD"

Kalau dah pensyarah beliau sampai begitu sekali punya confident, maksudnya memang thorbaek sangat Prof ni kan.

Tapi itulah, siapa yang tak mahu bila dah ada peluang, tapi mana nak dicari wang?

"Saya akan usahakan untuk awak jadi teaching fellow di sini, jadi awak akan ada gaji. Untuk tampung kos PhD, awak jangan risau"

"SAYA AKAN BERI 20K PADA AWAK,  SAMBUNGLAH BELAJAR"

Terkejut tak kita kalau ada orang begitu yakin nak bagi duit sebanyak tu kat kita?

Macamana pensyarah tu boleh jadi sangat confident dengan Prof?

"Awak ada potensi yang sangat besar. Rugi kalau awak berhenti setakat ini sahaja"

"Nanti saya pindahkan duit tu ke akaun awak. Awak sambunglah PhD"

Terkedu juga Prof masa tu. Beliau terima, tetapi ada syarat.

"Saya akan terima duit ni tapi saya akan bayar balik, Prof. Saya akan bayar semula secara ansuran"

Beliau rasa tak senang hati jika duit tu tak dibayar semula. Jadi pensyarahnya setuju dan akhirnya beliau teruskan PhD dan guna duit tu dalam tempoh 2 tahun.

---

Besarnya kuasa Allah.

Macamana Allah gerakkan hati si pensyarah untuk bantu Prof.

Macamana akhirnya dengan berkat kesabaran, Allah bagi bantuan yang tak disangka-sangka.

Kita mungkin hilang sedikit, tapi Allah gantikan dengan yang lebih besar.

Mudah-mudahan kisah Prof ini memberi motivasi dan inspirasi kepada semua yang membaca seperti mana saya terinspirasi mendengar kisah beliau.

Entri 26: Saya Cuma Posmen

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Akhirnya habis juga saya baca buku Saya Cuma Posmen, himpunan status Facebook Ustaz Ebit Lew. Lama jugak ambik masa baca ni sebab tebal bukunya, 414 muka surat.

Lepas tu nak baca sambil baring pun payah sebab berat. Tapi tak apa, berbaloi, puas hati setelah selesai membaca. Banyak sangat input berguna dan menyentuh hati.

Kebanyakan kita mungkin dah biasa dengar suara Ustaz Ebit di radio, kan.

Jadi bila baca buku ni, feeling dia sama atau hampir lah, sebagaimana kita dok dengar dia dalam radio tu.

Cara dia bercakap, gaya dia menyampaikan.

Sila bayangkan.

Kalau kita rasa lost, stres, rasa nak meletup, nak marah orang tapi tak termarah...

Boleh la selak-selak buku ni untuk kembali waras. Banyak panduan dan tip yang Ustaz berikan.

Tapi yang saya paling suka, Ustaz Ebit punya doa. Bukan yang diambil daripada mana-mana surah, yang tu kita boleh refer kat buku lain. Ni doa yang kita sebut dalam setiap keadaan.

Kalau pernah baca buku Bertanya Allah Dahulu, haaa macam tu lah konsep dia nak buat apa, dalam apa jua situasi -- cakap dan tanya Allah terus tak semestinya doa selepas solat saja.

Bila bila masa pun boleh. Memang gitulah sepatutnya pun kan.

Selain doa, Ustaz juga banyak kali ulang pasal solat malam, ta'lim di rumah dan solat sunat 2 rakaat.

Solat sunat tu buat saja bila kita rasa terlalu serabut, mati kutu, tak bahagia.

Ta'lim -- majlis ilmu di rumah. Baca hadis atau apa-apa pengisian ilmu yang baik untuk keluarga. Kisah nabi dan rasul, atau sesi baca AlQuran sama-sama.

Kalau perasan, Ustaz ni banyak kongsi pasal hubungan suami isteri, keluarga. Dan dalam buku ni pun, banyak tip dan soft reminder serta skrip doa untuk kebahagiaan rumah tangga.

Kalau rasa tak tenang, tak bahagia, kurang cinta, kurang sayang -- boleh la belek belek buku ni buat panduan.

Buku Saya Cuma Posmen ini terbitan Karya Bestari.

Salah satu buku koleksi status atau kata-kata hikmah di media sosial yang berbaloi dan harus dimiliki setiap pasangan dan keluarga muslim.

Entri 25: Keputusan SPM

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: Literacy Educators Australia

Saya menduduki SPM pada tahun 1999 dan mengambil keputusan pada tahun berikutnya, 2000.

Semasa keputusan keluar, saya sedang menyambung pelajaran di Tingkatan Enam, di sekolah bersebelahan. Jadi pada hari yang dinantikan itu, saya hanya berjalan kaki sahaja ke sekolah kerana saya tinggal di asrama.

Sebagai pelajar yang pencapaian sederhana, saya sendiri tidaklah meletakkan apa-apa harapan tinggi terhadap keputusan yang akan saya terima. Namun, saya tetap berharap saya mendapat Gred 1 dengan kredit pada semua subjek.

Berdebar juga jumpa cikgu kelas waktu nak ambil keputusan. Setiap pelajar akan duduk berhadapan dengan cikgu, dengan slip keputusan diterbalikkan. Bila dah duduk dan bertukar khabar, cikgu akan serahkan slip dan pelajar sendiri akan buka dan lihat keputusan masing-masing.

Sejurus slip dibuka, mata laju memerhati kalau-kalau terjumpa P7, P8 atau F9.

Alhamdulillah tiada.

Paling teruk saya dapat adalah C5 untuk subjek Fizik, Biologi dan Matematik Tambahan, dan ini memang sudah dijangka. Saya mendapat 4A - subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik Moden dan Pendidikan Islam. Subjek lain tu, kredit je lah.

Keseluruhannya, saya mendapat Pangkat 1 dengan 13 agregat.

Batch saya (SPM 1999) merupakan batch terakhir yang menggunakan sistem agregat. Tahun selepas itu hingga kini, kejayaan diukur dengan bilangan A.

Syukur dengan keputusan tersebut, saya layak sambung pelajaran ke Matrikulasi, dalam bidang Sains Hayat.

Hari ini, calon-calon SPM 2016 pula yang mengambil keputusan masing-masing. Rupanya sudah 17 tahun berlalu.

Keputusan SPM bukanlah segalanya. Cemerlang atau tidak, kehidupan selepas itu yang lebih menentukan. Apa jua keputusan, jalan terus sahaja. Insya Allah.