Perlu Pandai Kawal Emosi Bila Bekerja Di Rumah

Teks: Hifzaila Hafni

Apabila dihimpit deadline, sedikit sebanyak urusan rumah akan terbengkalai seketika.

Ada beberapa urusan yang saya tutup sebelah mata sekejap, sehingga kerja selesai. Kerja rumah, memang sudah kita sedia maklum, memang takkan pernah selesai!

Dan dalam keadaan sekarang, saya tak mampu menjadi super mom yang kononnya boleh buat semua benda. Saya faham diri saya serta kemampuan saya. Dan siang-siang juga saya terangkan pada suami yang ada beberapa kerja rumah yang mungkin perlukan bantuannya atau silalah buat tak nampak sekejap, saya akan selesaikan bila saya dah siapkan tugasan.

Anak-anak, adakalanya waktu inilah nak bermanja setelah melihat ummi asyik di depan komputer. Mula sahaja menaip, ada sahaja permintaan mereka. Sekejap nak tidur, sekejap nak makan, sekejap nak dicebok dan macam-macam lagi.

Jadi, cabaran bekerja dari rumah sangatlah besar.

Biarpun begitu, saya masih cuba menyiapkan tugasan yang diberi biarpun sukar. Itulah salah satu sumber pendapatan saya dan kemahiran yang saya ada.

Ada ketika, terselit juga urusan bisnes. Maka muncullah tangan sotong buat kerja sana sini.

Begitulah bila bekerja dikelilingi anak-anak. Emosi kena kawal selalu. Kalau ada hari yang tak terkawal emosi tu, pergilah ke bucu katil, nangis sekejap. Lepas tu mesti ok :-)

Pengalaman Menjadi Working At Home Mother (WAHM)

Teks: Hifzaila Hafni

Seronokkah menjadi wahm?

Itu soalan yang ditanya kawan kepada saya. Seronokkah?

Bagi saya yang mempunyai pengalaman menjadi wahm sebanyak 2 kali, jika ditanya seronok atau tidak, setakat ini saya boleh katakan saya selesa begini.

Nak kata seronok mungkin agak subjektif, bagi saya keadaan selesa itu lebih sesuai.

Selesa bagaimana?

Selesa dari segi menguruskan keluarga. Selesa tanpa memikirkan karier. Selesa mengatur jadual harian. Selesa menjaga anak sendiri.

Tapi, dari segi kewangan, emosi ada kalanya kurang selesa juga. Biasalah setiap keputusan akan ada pro dan kontranya.

Memang betul, menjadi wahm tidaklah seindah yang dibayangkan sebenarnya. Indah apabila berada di rumah dikelilingi anak sepanjang masa, namun wahm sebenarnya amat ingin 'me time' yang sering kali terlepas pandang dek kesibukan mengurus rumah tangga.

Mahu juga sedikit masa untuk diri sendiri, rehat dan cuti. Namun hakikat sebenarnya kadang kala memang sukar. Seharian berlalu dengan kesibukan urus kerja rumah dan bisnes (bagi yang berbisnes).

Tak dinafikan bila ibu diulit dengan komitmen rumah tangga, seolah tiada masa untuk diri sendiri. Kadang kala sukar juga mahu mengawal emosi bila dihimpit dengan kekalutan mengurus anak-anak dan rumah tangga. Maka cepat benar migrain dan stres.

Jadi bila berada dalam keadaan begini, perlu kembali fikir apa tujuan menjadi wahm.

Ingin mengurus dan mendidik anak sepenuhnya sendiri, ingin bebas daripada waktu kerja 9-5, ingin lebih banyak masa bersama keluarga, atau apa saja tujuan asal - fikirkan kembali.

Setelah jelas dengan tujuan, barulah mampu bertenang dan meneruskan langkah.

Saya juga mengalami fasa emosi tak terkawal, tak stabil dan rendah diri. Tapi, usah dibiar terlalu lama.

Cuba berkawan dengan atau mengikut orang-orang positif mampu kembalikan emosi dan gelombang yang positif dan baik-baik.

+ Di Facebook contohnya, carilah kawan yang sentiasa bersemangat dan mampu memberi getaran positif kepada hidup seharian kita. Tinggalkan, unfriend atau hide rakan yang negatif. Kita tak perlukan tenaga negatif di Facebook kita.

+ Jika tonton tv, pilih program yang berinformasi dan mendatangkan manfaat. Elak menonton drama yang kebanyakan bukan berpijak di bumi nyata.

+ Baca buku yang memberi inspirasi dan motivasi. Cuba juga baca terjemahan atau tafsir Al Quran.

+ Lakukan kerja rumah dengan senyuman dan anggap ia adalah ibadah. Peluang menambah pahala, menghapus dosa-dosa.

+ Perlahan-lahan namun konsisten. Fokus dan teruskan jalan.

Jika terlalu lelah, rehatlah. Wahm juga manusia.

Salam Rabu.

Hifzaila
Wahm yang sering turun naik juga emosinya

Buah Tangan Sewaktu Ziarah, Pentingkah?

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Buah tangan, pentingkah ketika berziarah?

Saya teringat suatu ketika saya dan adik ingin berziarah ke rumah nenek saudara yang kami gelar Toklang. 

Toklang merupakan antara saudara yang paling rapat dengan kami dan jika berkesempatan kami akan singgah ke rumahnya bila pulang ke kampung untuk bertanya khabar. Itu beberapa tahun dahulu, Toklang kini sudah tiada, sudah hampir 2 tahun Toklang meninggal dunia.

Suatu hari kami dalam perjalanan ke sana, waktu itu terfikir apa yang boleh dibawa sebagai buah tangan.

Singgah sajalah beli apa-apa yang terjumpa dalam perjalanan, kata saya pada adik.

Rasa tak sedap hati kalau berziarah dengan tangan kosong. Biarpun sedikit atau ringkas, tetap juga mahu bawa sesuatu.

Alhamdulillah gerai tepi bendang yang menjual kuih-muih buka pada hari itu. Kami berhenti dan membeli pisang goreng dan beberapa jenis kuih. Tidaklah banyak sangat, kami beli setakat yang mampu sahaja. Maklumlah waktu itu masing-masing masih bujang, bolehlah kalau nak berkongsi seorang sedikit.

Sesampainya kami di sana, seperti biasa keluarga Toklang menyambut mesra. Kami bersembang-sembang hinggalah sampai satu ketika, Toklang seakan bergenang air mata.

Rupa-rupanya pisang goreng dan kuih-muih yang kami bawa itu penyebabnya.

Katanya, dia rasa sangat terharu dan menghargai buah tangan yang kami bawa walaupun tidaklah banyak.
Kami terkedu dan terdiam. Tak sangka perkara sekecil itu menjadi besar pada sesetengah orang. 

Mungkin pada pandangan orang tua, berbeza berbanding kita orang muda.

Pada mereka, itu tanda ingatan. Tanda hormat, tanda adab yang baik. Pada kami, semata-mata untuk berkongsi rezeki yang ada. Padahalnya, kami lebih lagi menerima rezeki yang jauh lebih banyak di sana, bila dijamu hidangan kampung yang sedap-sedap seperti masakan arwah mak yang kami rindui. Tak setanding pun dengan buah tangan yang kami bawa.

Satu lagi, sepupu saya. Setiap kali berziarah ke rumahnya, dia pasti akan bekalkan apa-apa saja makanan untuk dibawa pulang. Kerepek, kuih atau apa saja yang ada di dapurnya. Sudahlah dijamu makan sedap-sedap, tetamu pula diberi buah tangan. Sebab itu sepupu saya ini sentiasa dimurahkan rezeki mereka. Tetamu sering datang, mereka tak pernah jemu melayan tetamu. Tak pernah tak dijamu makan bila tetamu datang. Dan walaupun rumahnya kecil, tetap menjadi tumpuan saudara-mara datang apatah lagi sewaktu hari raya. 

Sejak itu, saya biasakan diri untuk bawa apa-apa saja buah tangan jika berziarah kecuali benar-benar terkekang untuk membawanya. Biarpun kecil, murah atau ringkas asalkan ada. Tuan rumah pasti amat senang dan berbesar hati menerima.

Begitu juga kalau kita pulang ke rumah mak ayah. Biasakan membawa apa-apa buah tangan biarpun sedikit. Hatta seplastik kecil kuih-muih, sebungkus kerepek atau sebekas jemput-jemput pisang. 



Kalau sekadar pisang sesikat pun tak mengapa. 

Atau apa-apa saja yang mak ayah kita suka.

Mereka pasti rasa teruja dan dihargai.

Dan mak ayah juga jika boleh terimalah dengan hati terbuka dan tidak banyak soal. Mungkin itu sahaja yang termampu oleh anak pada waktu itu.

Tidaklah kita balik 'ngabihkan boreh' rumah mak ayah saja kan. Ayah mungkin tak kisah ke pasar membeli ayam dan ikan segar untuk santapan anak-anak yang pulang. Mak juga mungkin tak berkira mahu memasak menu kegemaran anak-anak biarpun kudratnya tidak sekuat mana. Anaklah yang perlu ada timbang rasa dan belas ihsan. 

Biasakanlah diri kita membawa tak banyak sikit buah tangan ketika berziarah atau pulang ke kampung menjenguk mak ayah. Kita tak tahu asbab perkara kecil itu Allah mudahkan urusan dan tambah keberkatan dalam rezeki kita pula.

Salam Aidil Adha Kedua,
Hifzaila

Serai untuk Menghalau Nyamuk

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: Google

Menghalau nyamuk dengan bahan semula jadi.

Saya tertarik dengan berita atau artikel yang dikongsikan berkenaan penggunaan tumbuhan atau pokok yang boleh menghalau nyamuk secara semula jadi. Seboleh-bolehnya ada cara untuk kita usahakan menghalau nyamuk selain menggunakan bahan kimia.

Antara tumbuhan yang dikatakan mampu menghalau nyamuk adalah serai dan jeremin

Lemon yang dibelah dan dicucuk bunga cengkih juga dikatakan mampu menghalau nyamuk atau serangga.

Cuma saya tertarik dengan penggunaan serai. 



Sebelum ini, saya memang ada gunakan penyembur serai wangi di rumah untuk menghalau semut dan lipas. Tapi sudah lama tak gunakan. Tapi untuk nyamuk, saya baru tahu serai juga boleh digunakan.

Saya ada terbaca satu laporan atau kertas kerja yang mengkaji keberkesanan serai dalam menghalau nyamuk. Jika sebelum ini, saya fikir ekstrak serai diambil daripada batang putihnya rupanya bukan. Daun serai yang diekstrak untuk mendapatkan patinya.

Boleh rujuk kajian tersebut di SINI.

Dan ada juga saranan menggunakan minyak pati (essential oil) 'lemon grass' atau 'citronella'. Aroma minyak pati jenis ini tidak disukai nyamuk dan menyebabkan nyamuk menjauhi kita.

Boleh dilarutkan sedikit minyak pati ini dalam 'carrier oil' atau apa-apa jenis minyak sayuran dan dioleskan sedikit pada kulit. Boleh juga diwapkan (diffuse) di dalam rumah, selain dapat menghalau nyamuk dapat juga mengharumkan rumah.

Selain itu, perlu juga jaga kebersihan di sekitar rumah dengan mencuci longkang tersumbat dan melupuskan tin atau bekas kosong dengan sempurna untuk elakkan air bertakung. Pokok-pokok herba yang ditanam di luar rumah juga perlu dijaga rapi supaya tidak terlalu rimbun atau sesak untuk elak lebih banyak nyamuk berkumpul.

Semburan penghalau nyamuk yang berasaskan air juga boleh digunakan jika tiada serai. Sekurang-kurangnya dapat juga bantu mengurangkan nyamuk yang berada dalam rumah.

Semoga kita semua terhindar daripada penyakit bawaan nyamuk seperti denggi, chikugunya dan zika. 


Cara Buat Laksa Ekspres

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Suka makan laksa?

Sebungkus atau sepinggan laksa sekarang harganya RM4 ke RM5 kan? Lepas tu sikit saja, tak puas makan. Rasa macam mahal saja. Tapi apa boleh buat, harga barang pun mahal.

Yang boleh buat, nak makan sepuas hati, masaklah sendiri.

Disebabkan itulah, saya usahakan juga masak laksa sendiri biarpun tak menjadi sangat. Tapi bukan ke practice makes perfect?

Insha Allah, lama-lama pandai lah ye tak.

Sebelum ini, teringin sangat laksa Rizalman. Katanya sedap sangat-sangat. Tengok resipi pun rasa terliur, lalu saya cuba.

Ya! Memang betul sedap tapi agak renyah dan leceh, bagi saya. Jadi lepas tu saya buat laksa versi sendiri saja.

Laksa ni saya namakan Laksa Ekspres, sebab cepat dan pantas saja nak membuatnya. Bahan pun tak banyak dan insha Allah dapatlah melepaskan teringin sekali-sekala.

Ini saya kongsikan resipi laksa mudah, cara saya.

Laksa Ekspres




Bahan:
1 kg laksa panjang
2 tin kecil/1 tin besar sardin
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
3-4 sudu besar serbuk cili/cili mesin
1/2 inci belacan bakar
4-5 keping asam gelugur
1 genggam daun kesum
Garam dan gula melaka/perang
Air

Cara masak:
- Kisar sardin, kemudian masukkan dalam periuk. Kuah tomato kalau taknak, boleh diasingkan. Ganti kuah tomato denga air.
- Kisar bawang besar, bawang putih, belacan dan cili. Kemudian terus masuk ke dalam periuk juga.
- Tambah air dan asam gelugur, air ikut kepekatan yang disukai. Kacau rata.
- Masak sampai mendidih.
- Masukkan daun kesum, garam, gula melaka/gula perang.
- Sesuaikan rasa. Sedap kalau masam sikit. Dah ok, tutup api.
- Panaskan air dalam periuk lain. Rebus laksa sekejap. Toskan.
- Dalam mangkuk, letak laksa, bawang besar hiris nipis, daun salad dicarik-carik. Curahkan kuah.
- Sedia dihidangkan.

*Cadangan tambahan bahan hiasan: timun, nenas, telur rebus, daun selom, limau kasturi.

* * *

Saya gunakan sardin dalam tin sebab saya nak cepat. Agak mahal sedikit berbanding ikan sardin mentah.

Dalam membuat laksa, nak mengasingkan isi ikan dari tulang tu yang mencabar sedikit dan ambil masa. Dan satu lagi, saya risau termasuk tulang ikan dalam kuah, jadi kena hati-hatilah ya.

Atau boleh cuba guna ikan tenggiri, lebih mahal tapi mudah juga sebab kurang tulang berbanding ikan sardin.

Selamat mencuba!

Virus Zika: Hati-hati Ibu Hamil!

Teks: Hifzaila Hafni

Terbaca berita pagi ini, tentang virus Zika yang akhirnya muncul jua di Malaysia. Jika sebelum ini kita hanya mendengar kes Zika berlaku di Singapura, kini virus tersebut sudah pun tiba di Malaysia.

Dilaporkan, kes pertama ini direkodkan di Selangor, lebih spesifik di Klang.

Allahuakbar, hampir sangat dengan kawasan rumah saya!

Laporan kes pertama Zika, yang mula sekali saya baca di group Facebook Masyarakat Kena Tahu (Ori):

THE FIRST ZIKA VIRUS CASE IN MALAYSIA
1ST SEPTEMBER 2016

On 29th of August 2016, the Ministry of Health Malaysia (MOH) has made an announcement advising those who have been to any country with reported cases of Zika and experiencing the symptoms of this infection are expected to come forward for a medical attention. Following this, the MOH have received report of a patient suspected with Zika virus infection on the 31st August, 2016. This patient is a 58 years-old woman residing in Bandar Botanic, Klang, Selangor and is the mother of a female confirmed with Zika infection in Singapore. The patient, together with her husband had visited their daughter in Singapore on 19th August 2016 and returned to Malaysia on 21st August 2016.

The patient started exhibiting symptom of rash on 28th August, and she sought medical attention at a private clinic in Klang on the 30th August 2016. As the patient had traveling history to Singapore and her daughter was confirmed to have Zika virus infection on 30th August 2016, the Private General Practitioner had diagnosed her as "suspected case of Zika". On the same day, the patient was refered to Sungai Buloh Hospital and the result of the urine PCR (Polymerase Chain Reaction) test on 31st August 2016 was found positive for Zika virus. However, the patient’s blood test result is still pending.

The source of infection is suspected to occur in Singapore since the patient had started experiencing signs of Zika infection on the same day with her daughter in Singapore. The patient's husband and family members who lived in the same house with her, has yet to show any symptoms of Zika infection. For the period from 21st - 28th August 2016 when the patient was returning from Singapore, she had visited several areas in the district of Klang and Kuala Lumpur.

Based on the findings from the investigation, the MOH has already started vector control activities in the residential area of the case and other places that the patient had visited. Control activities carried out include eliminating Aedes breeding sites, larvaciding and fogging. In addition, close contacts to the patient will be examined whether they have any fever or other Zika symptoms.

Information obtained from the Ministry of Health Singapore, revealed that there are 5 Malaysians residing and working in Singapore that has also been confirmed to be infected with Zika virus. For the period from 27th to 31st August 2016, there has been 115 confirmed Zika cases reported in Singapore. Due to the rapid spread of Zika virus infection, Aedes monitoring and preventive activities are continuously performed and intensified in all states, especially in the state of Johor and Selangor.

Malaysians, must focus on cleaning the Aedes breeding places, protect themselves from Aedes mosquito bites and seek early medical attention if they have signs such as fever, rash and conjunctivitis. From the first reported case of Zika, we can conclude that it is rather easy to get infected by the virus when visiting places that has outbreak, including Singapore. The MOH once again call upon any individuals whom had visited countries that reported Zika infection, to come forward to seek immediate medical attention if they are experiencing any symptom as mentioned above. Proactive action from the community can help stop the spread of Zika virus in Malaysia. No Aedes: No Zika, Dengue and Chikungunya.

KENYATAAN AKHBAR
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

KES VIRUS ZIKA PERTAMA DI MALAYSIA 1 SEPTEMBER 2016

Pada 29 Ogos 2016, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat pengumuman agar pelawat yang telah menziarahi negara-negara yang melaporkan kes Zika dan mengalami simptom jangkitan ini untuk tampil membuat pemeriksaan lanjut. Berikutan daripada itu, KKM telah menerima laporan satu kes yang disyaki dijangkiti virus Zika pada 31 Ogos 2016. Pesakit merupakan seorang wanita berumur 58 tahun yang menetap di Bandar Botanic, Klang, Selangor dan merupakan ibu kepada pesakit yang disahkan dijangkiti Zika di Singapura. Pesakit bersama suaminya telah melawat anaknya di Singapura pada 19 Ogos 2016 dan pulang ke Malaysia pada 21 Ogos 2016.

Pesakit mula mendapat gejala ruam pada 28 Ogos dan pada 30 Ogos 2016, pesakit telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Klang. Memandangkan pesakit mempunyai sejarah melawat ke Singapura dan anak perempuannya yang berada di negara tersebut telah disahkan dijangkiti virus Zika pada 30 Ogos 2016, maka Pengamal Perubatan swasta berkenaan telah mendiagnosa pesakit sebagai “disyaki kes Zika”. Pada hari yang sama pesakit dirujuk ke Hospital Sungai Buloh dan hasil pemeriksaan ujian kencing pesakit untuk PCR pada 31 Ogos 2016, adalah positif untuk Zika virus. Manakala ujian darah pesakit masih menunggu keputusan.

Punca jangkitan disyaki berlaku di Singapura yang mana hari pesakit mula mengalami tanda-tanda Zika adalah sama hari dengan anaknya mula sakit di Singapura. Suami pesakit dan ahli keluarga yang tinggal serumah bersamanya, sehingga kini masih belum menunjukkan simptom jangkitan Zika. Bagi tempoh 21 hingga 28 Ogos iaitu sekembalinya pesakit dari Singapura, pesakit telah melawati beberapa kawasan di daerah Klang dan Kuala Lumpur.

Hasil siasatan kes ini, KKM telah pun memulakan kawalan vektor di kawasan kediaman kes dan tempat-tempat yang telah di lawati oleh pesakit. Aktiviti kawalan yang dilaksanakan termasuk, menghapuskan tempat pembiakan Aedes, larvaciding dan semburan kabus. Di samping itu, kontak terdekat pesakit diperiksa dan dipantau sama ada mereka mengalami demam atau simptom Zika yang lain.

Maklumat yang diperolehi daripada Kementerian Kesihatan Singapura, terdapat 5 rakyat Malaysia yang menetap dan bekerja di Singapura juga disahkan dijangkiti virus Zika. Bagi tempoh 27 sehingga 31 Ogos 2016, telah terdapat 115 kes dilaporkan di Singapura. Oleh kerana perebakan jangkitan virus Zika adalah cepat, pemantauan dan aktiviti pencegahan Aedes di teruskan serta tingkatkan di semua negeri terutama negeri Johor dan Selangor.

Rakyat Malaysia, perlu fokus kepada membersihkan tempat-tempat pembiakan Aedes, melindungi diri mereka dari gigitan nyamuk Aedes dan mendapatkan pemeriksaan awal sekiranya terdapat tanda-tanda seperti demam, ruam dan conjunctivitis. Kes pertama Zika yang dilaporkan ini, menunjukkan bahawa mudah untuk dijangkiti virus ini dengan melawat tempat yang mengalami wabak seperti Singapura. KKM sekali lagi menyeru kepada mana-mana individu yang telah melawat negara yang mempunyai jangkitan Zika, untuk tampil membuat pemeriksaan segera apabila mereka mengalami simptom seperti di atas. Tindakan proaktif masyarakat dapat menghentikan sebaran virus Zika di Malaysia. Tiada Aedes: Tiada Zika, Denggi dan Chikungunya.

YB Datuk Seri Dr S.Subramaniam
MINISTER OF HEALTH MALAYSIA

1st September 2016

CC :
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
Noor Hisham Abdullah / Hisham Abdullah
Medical Mythbusters Malaysia

* * *

Risau juga, memandangkan beberapa minggu ini memang agak banyak nyamuk di kawasan rumah. Kami cuba pasang ubat nyamuk elektrik tapi kurang berkesan. Beli penghalau nyamuk bentuk gel pun sama juga. Sudahnya suami beli penyembur nyamuk. Alhamdulillah terkawal sikit.

Nak guna ubat nyamuk lingkaran, khuatir bahaya asap dan api. Maklum ada anak-anak kecil di rumah.

Apapun, yang penting kena jaga kebersihan rumah, sama juga seperti denggi.

* * *

Untuk tahu lebih lagi tentang Zika, saya terjumpa pula artikel ini yang diterbitkan di laman web Pa & Ma (Februari 2016). Jom baca.

Hari ini nama virus Zika tiba-tiba menjadi sangat popular. Ia telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat apatah lagi ia dikatakan penyebab bayi yang dilahirkan berkepala kecil seperti yang berlaku di Brazil.

Sumber: childrenshospital.com

Fahami beberapa fakta tentang virus Zika ini supaya anda lebih berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga terutama wanita mengandung.

1. Virus Zika (Zee-ka) ditemui kali pertama pada monyet di Uganda pada tahun 1947. Namanya diambil dari sebuah hutan Zika iaitu lokasi di mana virus itu ditemui.

2. Virus ini berasal dari tropika Afrika dengan wabak di Asia Tenggara dan Kepulauan Pasifik dan muncul di Brazil pada tahun lalu.

3. Virus Zika disebarkan melalui gigitan dari nyamuk daripada jenis yang sama dan menyebarkan penyakit tropika yang lain seperti dema denggi, chikungunya dan demam kuning.

4. Pertubuhan Kesihatan Dunia memberitahu virus Zika cepat merebak di Amerika kerana ia sesuatu yang baru di rantau tersebut.

5. Orang ramai masih tidak imun kepada virus ini dan nyamuk Aedes ada di mana sahaja. Hanya Kanada dan Chile tidak mempunyai nyamuk jenis ini.

6. Orang yang dijangkiti virus Zika tidak jatuh sakit. Simptom utama virus zika adalah sakit kepala, ruam pada kulit, sakit sendi dan mata kemerahan.

7. Dikatakan virus ini sama seperti denggi yang sehingga kini belum ada ubat spesifik yang boleh mengubatinya.

8. Paling dibimbangi kesan virus Zika yang merebak akan menyebabkan risiko kecacatan otak kepada bayi dalam kandungan dan menyebabkan bayi lahir dengan masalah kepala kecil berbanding saiz normal atau microcephaly serta mengganggu perkembangan otak.

9. Virus Zika boleh menyerang janin dalam kandungan ibu yang mengandung di awal trimester tetapi ia juga dikatakan memberi risiko jangkitan kepada ibu yang sudah memasuki trimester akhir kehamilan.

10. Walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada virus ini dikesan di Malaysia setakat hari ini, namun Malaysia mempunyai nyamuk aedes yang menjadi pembawa virus ini.

11. Justeru, semua diingatkan agar melindungi diri daripada gigitan nyamuk aedes yang paling aktif pada waktu pagi selain menjaga kebersihan kawasan rumah daripada menjadi pembiakan nyamuk aedes.

12. Wanita hamil juga diminta mengelakkan daripada pergi ke 22 negara di benua Amerika Latin iaitu Bolivia, Brazil, Colombia, Ecuador, El Salvador, French Guiana, Guatemala, Guyana, Honduras, Mexico, Panama, Paraguay, Suriname dan Venezuela. Di Caribbean: Barbados, Guadeloupe, Haiti, Martinique, St. Martin dan Puerto Rico, Cape Verde, di luar pantai barat Afrika dan Samoa di Pasifik Selatan.

* * *

Semoga Allah lindungi kita semua. Jauhkan kita daripada serangan Zika yang berbahaya ini. Dan semoga kes ini tidak tersebar makin luas.