Anak Kenyang, Ibu Tenang

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Pentingnya memastikan anak kenyang dan cukup tidur atau rehat.

Kenapa?

Mudah ibu nak buat kerja dan anak boleh berdikari bermain sendiri.

Berdasarkan pengalaman saya yang tak seberapa ini, anak-anak mudah diurus dan kurang meragam jika cukup kedua-duanya, makan dan rehat. Jadi seawal pagi sebolehnya saya sudah siapkan sarapan dan makan tengah hari. Kemudian saya boleh fokus kerja rumah yang lain dan juga kerja freelance dengan kurang gangguan. Cuma kalau nak tidur, terpaksalah baring sama-sama kalau tak memang anak tak tidur. Tapi kena hati-hati jangan saya pula yang terlajak. Hehe.

Melainkan anak kurang sihat, dah pastilah nak berkepit sahaja. Aktiviti pun agak terhad, namun saya percaya dengan keberadaan ibu dengan anak boleh cepatkan penyembuhan juga. Insha Allah.

Begitulah untungnya bekerja seawal pagi, semasa tenaga masih banyak.

Semoga semua ibu dipermudahkan urusan hari ini.

Hifzaila
Hari-hari bersilat dengan anak

Meter Bahagia Pagi Ini

Teks: Hifzaila Hafni

Selesai basuh baju, selesai masak untuk makan tengah hari. Ummi juga dah siap sarapan roti panggang mentega kacang dengan teh susu kurang manis.

Menu tengah hari, cukuplah menu sup kentang suhun dan ayam goreng. Nasi pun dah siap masak. Petang nanti kalau berkelapangan, menu udang goreng kunyit untuk abah.

Anak-anak pun bangun awal hari ni, sejurus ummi siap masak. Pasang kartun kegemaran, sekejap lagi sarapan dan terus mandi.

Meter bahagia ummi naik sikit pagi ni, bila sebahagian kerja suri rumah selesai awal pagi. Sebahagian kerja lagi, ummi pejam mata sekejap.

Sumber: education.com

Bak kata Kak Masayu, yang mana boleh pejam mata, pejam saja. Contohnya baju yang bergunung belum dilipat.

Lepas dah selesai semua urusan rumah tangga ni, ummi nak kena merempit siapkan kerja terjemahan pula.

Matlamat untuk siapkan Projek 1 hari ini dan teruskan dengan Projek 2 pula.

Salam Jumaat!


Rezeki Anak

Teks: Hifzaila Hafni

Alhamdulillah, semalam terima satu lagi kerja menterjemah. Biarpun sikit-sikit, saya tetap teruja dan gembira.

Kenapa?

Allah masih bagi ruang dan peluang untuk saya jana pendapatan daripada bidang ini. Dan bersyukur Allah gerakkan hati editor yang terlibat untuk menggunakan khidmat saya.

Sumber: englishlanguageguide.com

Awal tahun ini, saya memang sudah berniat untuk lebih fokus kepada bidang freelance berbanding bisnes. Bisnes yang sedia ada, saya teruskan cuma saya mahu fokus utama kepada bidang penulisan, editing dan terjemahan. Mungkin ini lebih dekat dengan jiwa saya. Biarpun adakalanya mengambil masa yang agak lama, dan sangat mencabar dengan dikelilingi anak-anak kecil, tetapi saya teruskan juga.

Mungkin benarlah apa yang kita fikirkan, itulah yang terjadi.

Mungkin juga benar, inilah rezeki anak.

Alhamdulillah.

Pengalaman di Homestay Banghuris, Sepang

Teks: Hifzaila Hafni

Seingat saya, pengalaman pertama saya menginap di homestay adalah di Homestay Banghuris, Sepang sekitar lewat tahun 90-an sewaktu di sekolah menengah. Saya mengikut rombongan mak saudara ke sana.

Sumber: dusuntua.com 


Pengalaman tersebut memang seronok. Waktu itu, jika disebut homestay memang agak asing bagi warga tempatan kerana tumpuan homestay pada waktu itu adalah untuk pelancong asing yang ingin merasai pengalaman tinggal di kampung.

Jadi saya agak bertuah dapat merasai pengalaman tersebut.

Dipilih untuk tinggal bersama keluarga angkat yang mengusahakan perniagaan kerepek, saya berpeluang melihat sendiri proses menghasilkan kerepek dalam skala besar. Pada waktu itu, mereka hanya beroperasi di belakang rumah sahaja. Saya tak pasti kini kalau mereka sudah mempunyai kilang sendiri. Seingat saya namanya Kerepek Rizal, untuk pasaran tempatan. Mereka juga membekalkan kerepek untuk FAMA, yang turut dieksport ke luar negara.

Berbalik kepada pengalaman homestay, banyak juga aktiviti yang diaturkan untuk memperkenalkan kampung dan mengenali budaya orang Jawa. Kami dibawa melawat kampung dan melihat industri kecil yang diusahakan oleh orang kampung di sini. Kebanyakannya mengusahakan kerepek, namun ada juga industri lain seperti membuat mi/kuetiau dan memproses biji kopi.

Kami juga diberi peluang menikmati makanan Jawa dan beramah mesra dengan orang kampung yang terlibat dalam program tersebut.

Sumber: utusan.com.my


Kini, bisnes homestay makin berkembang dan tidak terhad kepada rumah kampung sahaja. Fokus homestay juga untuk memberikan penginapan yang lebih dekat seperti rumah sendiri. Juga menjadi alternatif kepada hotel. Homestay juga sering dipilih jika melibatkan bilangan ahli keluarga yang besar selain menjimatkan. Rumah untuk homestay juga banyak menawarkan rumah teres sama ada 1 atau 2 tingkat.

Jadi bisnes homestay amat laris dan semakin mendapat tempat dalam kalangan mereka yang mempunyai rumah yang masih elok tapi tidak diguna atau disewakan. Selain menjana pendapatan yang agak lumayan terutamanya waktu cuti sekolah.

Amat rugi jika anda ada homestay tetapi kurang dipromosikan secara online, kerana potensi untuk homestay anda dijumpai amat tinggi berbanding hanya meletakkan banner di luar homestay. Bayangkan orang dari Melaka ingin tinggal di Kedah, sudah pasti akan mencari senarai homestay di internet.

Untuk itu, Akademi Bekerja Di Rumah mewujudkan satu direktori atau tapak iklan untuk para pengusaha homestay mengiklan homestay mereka. Dengan beriklan di sini, peluang untuk pelanggan menjejaki homestay anda lebih tinggi.

Sumber: Blog Senarai Homestay Malaysia


Boleh lihat senarai homestay yang telah mengiklan di SINI .

Ini pula komen salah seorang pengiklan tentang peningkatan bisnes homestay beliau setelah beriklan di blog Senarai Homestay Malaysia .

Pakej iklan yang ditawarkan berpatutan bagi pengusaha homestay mengiklankan homestay masing-masing. Sertakan gambar-gambar dan butiran lengkap tentang homestay anda dan sedia untuk diiklan.

Untuk mengiklan homestay anda, boleh hubungi 019 460 3094 .

5 Sebab Pemilik Bisnes Kecil Mesti Ada Blog

Teks: Hifzaila Hafni

Pemilik bisnes kecil atau yang berbisnes online di Facebook dan Instagram amat disarankan mempunyai blog bisnes jika merancang untuk membangunkan dan memajukan lagi bisnes yang dilakukan.

Apakah sebabnya?

Saya senaraikan di sini 5 sebab kenapa pemilik bisnes kecil mesti ada blog.

1. Blog sebagai kedai maya.

Blog boleh bertindak sebagai kedai anda, cuma dalam bentuk online. Pelanggan dan bakal pelanggan dapat mengakses banyak maklumat produk melalui blog kerana lebih mudah. Anda boleh kemas kini produk terbaharu, promosi terkini, maklumat lanjut tentang produk, pakej produk yang ditawarkan serta borang tempahan. Pelanggan boleh akses banyak maklumat sebelum bertindak terus menghubungi anda. Lazimnya yang benar-benar serius akan menghubungi anda. Yang serius ber membuat pembelian.

2. Peluang bisnes atau produk anda untuk ditemui prospek lebih tinggi di blog.

Kebanyakan orang mencari maklumat menggunakan Google. Lazimnya, hasil carian yang keluar akan menyenaraikan blog atau laman web. Yang penting, tajuk blog, tajuk entri dan kata kunci (keyword) yang digunakan tepat dan sesuai supaya prospek mudah menjejaki blog kita. Strategi ini boleh juga dipelajari dalam Kelas Asas Blog Bisnes seliaan Akademi Bekerja Di Rumah.

3. Isi kandungan blog kekal dan tidak hilang.

Setiap entri blog, akan kekal di blog melainkan kita yang memadamnya. Jadi, kita tak perlu menulis perkara yang sama setiap kali. Hanya perlu kongsikan link entri tersebut untuk rujukan. Berbanding media sosial lain, sukar untuk menjejak semula post atau status yang telah dibuat tambahan pula jika post tersebut sudah lama ditulis. Berbanding akaun media sosial, akaun anda boleh ditamatkan atau ditutup serta merta jika berlaku sesuatu isu, maka followers dan kandungan anda boleh lenyap sekelip mata sahaja.

4. Boleh berkongsi banyak info bisnes dan produk tanpa mengganggu prospek di blog. 

Tulis atau senaraikan sebanyak mana info produk atau bisnes anda di blog. Boleh dilakukan dalam satu entri post atau beberapa bahagian, dengan disertakan gambar, testimoni dan link berkaitan. Prospek lebih senang mendapat maklumat begini dan tidak merasa terganggu. Ini disebabkan mereka sendiri yang mencari maklumat tersebut dan menjumpainya di blog anda. Prospek merasa lebih selesa untuk mengetahui lebih lanjut tentang sesuatu produk atau bisnes bila membuat pembacaan di blog. Adakalanya silent reader blog anda yang akan close sale setelah sekian lama mengikuti blog anda dan merasa yakin untuk mencuba.

5. Platform blog percuma kurangkan kos iklan.

Setakat ini, blog dengan platform percuma masih relevan dan paling sesuai bagi pemilik bisnes kecil. Bila sudah terkenal atau bisnes berkembang maju, boleh pertimbangkan untuk wujudkan laman web sendiri atau membeli domain. Dengan platform blog percuma, anda mampu mengiklan produk dan bisnes tanpa mengeluarkan kos iklan yang besar. Yang penting perlu belajar sedikit selok-belok membina blog bisnes dengan ayat iklan (copywriting) yang mampu membuatkan bakal pelanggan membeli. Dalam KELAS ASAS BLOG BISNES atau blogshop akan diajar langkah demi langkah membina blog bisnes hingga lengkap.

============================

Belajar Asas Blog Bisnes/Blogshop melalui Kelas Asas Blog Bisnes bimbingan Akademi Bekerja Di Rumah.



Kelas dijalankan secara ONLINE ( group FB) DAN OFFLINE (face to face dengan pengajar).

Pakej kelas online bermula daripada RM150 hingga RM300 beserta BONUS EBOOK. Pendaftaran dibuka sepanjang tahun.

Whatsapp 019 460 3094 untuk pendaftaran kelas.


Bisnes yang Boleh Bermula Dari Rumah

Teks: Hifzaila Hafni

Untuk mulakan bisnes, tak semestinya perlu premis dan modal besar, bergantung kepada jenis bisnes dan kemampuan kita.
Bagi suri rumah yang ingin mula berbisnes, pastinya bisnes yang boleh beroperasi di rumah menjadi pilihan.

Antara pilihan bisnes yang boleh dipertimbangkan:

1. Bisnes online
Bisnes dijalankan secara online sahaja, berbekalkan telefon pintar atau komputer dilengkapi data internet. Medium bisnes yang sering digunakan adalah blog, Facebook dan Instagram. Kenal pasti produk atau servis yang ingin ditawarkan dan mula mempromosi di medium sosial tadi. Bisnes begini tak memerlukan anda keluar rumah dengan kerap. Jika anda pengguna media sosial tegar dengan jumlah pengikut yang ramai (blogger atau Instagram), boleh tawarkan bisnes review atau iklan berbayar.



2. Bisnes dropship
Konsep bisnes ini amat sesuai bagi suri rumah yang baru nak bermula bisnes. Bergantung kepada pembekal dropship, ada yang tidak perlukan modal tetapi ada juga yang perlukan modal yang rendah sebagai komitmen. Setelah mendaftar sebagai ejen dropship, anda hanya perlu mempromosi dan menerima bayaran daripada pelanggan sahaja. Urusan stok dan pengeposan akan dilakukan oleh pembekal dropship. Lazimnya promosi dan urus niaga secara online. Mudah, bukan?



3. Bisnes makanan
Bagi suri rumah yang ada bakat atau minat memasak, boleh cuba cabang bisnes ini. Boleh mula dengan skala kecil dahulu seperti membekalkan sarapan atau minum petang. Boleh juga ambil tempahan biskut, kek dan kudapan. Sasaran pelanggan di sekitar kawasan rumah atau boleh letakkan makanan di gerai/restoran. Kalau ada minat tapi kurang mahir, boleh laburkan sedikit wang untuk hadir kelas atau membeli buku-buku resipi untuk mantapkan masakan.



4. Bisnes jahitan
Boleh ambil tempahan menjahit pakaian, langsir, sarung kusyen, beg, tudung dan sebagainya. Bisnes menjahit biasa juga dilakukan oleh orang-orang dulu. Bermula dengan bilik jahit di rumah, berkembang menjadi butik. Boleh mula dengan tempahan jiran atau saudara terdekat dahulu. Namun perlukan sedikit modal untuk mesin jahit dan peralatan menjahit yang lain.



5. Bisnes doorgift
Suri rumah yang ada bakat kreatif boleh cuba hasilkan doorgift. Doorgift kini semakin mendapat permintaan bagi majlis-majlis seperti pertunangan, perkahwinan, hari jadi dan sebagainya. Boleh mulakan dengan ambil tempahan berskala kecil dahulu, misalnya untuk majlis kenalan atau saudara mara terdekat untuk melihat respon. Bisnes doorgift berupaya berkembang jika kena caranya.



6. Bisnes menulis
Suri rumah yang minat atau berbakat dalam penulisan boleh jadikan penulisan sebab sumber pendapatan. Boleh tawarkan servis menulis artikel pendek, entri blog, review atau ulasan buku. Boleh juga menulis karya kreatif. Atau ambil upah menulis skrip copywriting (ayat iklan). Satu lagi cabang adalah penterjemahan. Banyak kelas offline dan online tentang menulis yang ditawarkan sekarang. Jika ada sedikit modal, boleh melabur ke kelas menulis untuk belajar menulis atau membaiki penulisan. 

Lebih serius, boleh mula fokus kepada sesuatu topik dan terbitkan buku atau ebook.



* * *

Jika perlu bantuan untuk memulakan bidang penulisan blog yang berfokus, boleh sertai Akademi Bekerja Di Rumah untuk mendapat bimbingan awal.

Boleh hubungi saya untuk keterangan lanjut tentang Akademi Bekerja Di Rumah atau ingin membeli mana-mana buku/ebook di atas. 

Hifzaila
Pengurus Online ABDR
WhatsApp 019 460 3094

Persediaan Sebelum Berhenti Kerja


Saya mendapat satu soalan daripada kawan tentang berhenti kerja dan menjadi suri rumah. Saya bukanlah orang yang terbaik untuk memberi jawapan. Jadi lebih baik saya kongsikan di sini jawapan yang mungkin boleh membantu.

* * *

Teks: Masayu Ahmad
www.masayuahmad.com
www.akademibekerjadirumah.com

Puan Lina (bukan nama sebenar)
Saya berasal dari Terengganu, menetap di Selangor. Kerana sukar mendapat pengasuh anak-anak, mereka dijaga keluarga di Terengganu.

Jadi saya berulang-alik setiap minggu. Saya adalah penjawat awam. Sejak hamil anak ke tiga saya mencari peluang yang sesuai untuk saya bermula dari rumah.

Tetapi komitmen kewangan kami suami isteri sangat tinggi.

Bagaimana saya boleh berhenti kerja dan mendapat pendapatan sama seperti sekarang?

Jawapan.

Email di atas adalah contoh-contoh email yang kerapkali singgah di inbox facebook saya ataupun singgah di email.

Persediaan berhenti kerja dan solusi.

1. Kenalpasti dahulu jenis bisnes atau pekerjaan.

Sebelum kita memutuskan untuk berhenti kerja dan memulakan secara sepenuh masa. Kenalpasti dahulu apa yang kita mahu usahakan. Sama ada bekerja atau mengusahakan bisnes.

Kenalpasti apa minat, kemahiran, kepakaran yang boleh kita usahakan berdasarkan apa bidang yang mahu kita ceburi. Contohnya kita ada kemahiran sebagai akauntan, apakah peluang-peluang yang boleh kita terokai.

Sekiranya kita berminat dalam bisnes, apa pula bisnes atau bidang yang mahu kita aktifkan sebagai sumber pendapatan dengan hanya bekerja dari rumah.

2. Kenalpasti tarikh jangkaan kita mahu menghantar notis.

Berapa lamakah kita mengambil persediaan sebelum masa yang sesuai menghantar notis kepada majikan. Ia bergantung kembali kepada persediaan kewangan dan juga persediaan asas kita sebelum berhenti kerja. Letak tarikh yang jelas bilakah masa kita mahu berhenti kerja. Contohnya tiga tahun atau lima tahun akan datang. Jadi buka satu buku matlamat dan letak tarikh tersebut dengan jelas.

3. Bermula secara sambilan sebelum sepenuh masa.

Ketika kita masih lagi bekerja, sangat disarankan kita sudah pun bermula dengan melakukan usaha ini secara sambilan. Bagusnya ia adalah sumber pendapatan ke dua atau sumber persediaan sebelum kita berhenti kerja. Apabila mengusahakan sumber ke dua ini, sangat disarankan kita tidak mengambil satu sen pun dari bisnes atau sumber perndapatan tersebut. Biarkan ia bergerak dan berkembang dalam satu akaun yang berasingan.

4. Persediaan kewangan.

Secara realistik, tulis semua matlamat kewangan yang perlu kita uruskan semasa masih lagi bekerja. Matlamat kewangan ini harus jelas sama ada dari segi pengurusan hutang, perbelanjaan, pelaburan, tabungan dan sebagainya.

Perbincangan suami isteri akan hal ini dapat membantu memberi matlamat yang baik dalam kata putus. Mungkin selepa sini salah seorang yang akan bekerja dan seorang lagi sebagai usahawan sepenuh masa. Mungkin juga suami isteri mahu lakukan secara bersama-sama. Beli buku-buku pengurusan kewangan. Hadir mana-mana seminar atau bengkel kewangan peribadi mahupun untuk bisnes sebagai persediaan asas.

Juga boleh mendapatkan rundingan pakar kewangan untuk mendapatkan  sesi konsultasi yang khusus untuk capai matlamat kewangan yang diperlukan sebelum berhenti kerja.

5. Berbincang dengan pasangan.
Ambil satu ruang yang khusus berbincang dengan jelas apa matlamat untuk berhenti kerja dan apa perancangan selepas berhenti kerja. Cabaran sebelum berhenti kerja itu ada pelbagai, tetapi cabaran selepas berhenti kerja juga tidak dapat dijangka. Namun begitu sekiranya bersama-sama membuat persediaan sejak dari mula, ia sangat membantu untuk suami isteri bertoleransi dengan cabaran yang akan datang.

6. Minta pandangan rakan-rakan.

Jangan minta pandangan rakan-rakan yang masih bekerja. Tetapi dengar dan minta pandangan rakan-rakan yang sudah terlebih dahulu berhenti kerja 5 hingga 10 tahun ke hadapan. Mereka sudah pun melepasi tahap persediaan dan menikmati perasaan 'pekerja bebas sepenuh masa'.

Fokus kepada pandangan yang membina dan juga membuat penyesuaian berdasarkan masalah yang kita hadapi. Kerana  setiap orang tidak sama masalah kewangan dan juga persediaan.

7. Bebas hutang

Bebas hutang atau zero hutang adalah salah satu matlamat kewangan yang sangat baik. Sekiranya mampu mencapai zero hutang ketika masih lagi bekerja, maka ruang dan perasaan ketika menghantar notis perletakan jawatan itu adalah lebih lapang. Kita hanya fokus kepada sumber pendapatan, pelaburan dan tabungan sahaja. Tanpa perlu lagi memikirkan hutang piutang hidup kita jauh lebih tenteram.


8. Mulakan latihan menyimpan.

Walaupun impian bekerja dari rumah atau impian berhenti kerja kita melihat satu peluang yang seronok. Tetapi disiplin berkaitan kewangan perlu dimulakan sejak belum berhenti kerja. Jika ketika kita masih bekerja kita berada dalam 'zon selesa' kerana kita tahu berapa jumlah yang kita dapat setiap bulan. Tetapi apabila kita sudah tidak lagi bermajikan kita disarankan untuk lebih berhemah dan berjimat cermat.

Mulakan latihan menyimpan ini sejak dari kita masih bekerja lagi. Contoh membiasakan untuk mengumpulkan sejumlah modal untuk bisnes. Katakanlah kita peruntukkan RM100 sahaja dari pendapatan ketika masih bekerja. Maka kita simpan RM100 itu secara konsisten dalam tabung modal. JIka setahun kita mendapat RM1200, maka dalam tempoh tiga tahun kita akan mendapat RM3600. Untuk bisnes kecilan, RM500 hingga RM1000 adalah sangat cukup untuk memulakan bisnes kecil-kecilan. Mulakan disiplin ini sejak dari kita masih bekerja lagi.  Fokus kepada tabung modal, apabla kita mengambil wang dari tabung tersebut, kita mengantikannya semula.


9. Fokus untuk capai matlamat kewangan.

Salah satu matlamat utama sebelum bersedia menghantar notis perletakan jawatan ialah, kita tahu apa matlamat kewangan. Tidak kira sama ada mencapai zon bebas hutang, pelaburan, tabungan, pengurusan dan sebagainya, jadikan ia salah satu matlamat yang perlu diambil perhatian serius.

* * *

Semoga dengan perkongsian ini, suri bekerja yang berhasrat untuk berhenti kerja dan menjadi suri rumah dapat membuat keputusan yang terbaik. 

Boleh baca pengalaman mereka yang sudah berhenti kerja terlebih dahulu melalui ebook Yay! Mama Sudah Resign.




Jika buntu atau tiada idea mahu lakukan apa di rumah setelah berhenti kerja, boleh baca dulu ebook 101 Idea Home Based Bisnes.




Boleh Whatsapp 019 460 3094 untuk beli ebook ini. Link ebook akan diberi dalam 24 jam selepas bayaran diterima.

Selamat Hari Lahir, Saya!

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: Facebook

Alhamdulillah, hari ini Allah beri lagi peluang melihat kedatangan 14 Ogos, tarikh lahirnya saya ke dunia ini.



Walaupun saya tak sempat bertanya lanjut pada arwah mak bagaimana peri sakitnya mak pada saat saya dilahirkan, namun saya pasti pengorbanan mak untuk lahirkan saya tak terbanding dengan apa juga yang ada di muka bumi ini.

Saya sudah pun berada dalam kelab 30-an, dan tidak lama pun akan masuk ke kelab 40-an pula. Bila dengan anak-anak kecil sedang membesar, tak sedar pun masa berlalu dengan cepat setahun ke setahun.

Kalau dulu, setiap kali hari lahir saya suka dan harap ucapan-ucapan hari lahir dari mereka yang mengenali dan saya sayangi, meraikan hari ini, tapi kini, saya lebih senang mengenang kenangan sahaja.

Kalau ada pun ucapan ringkas, saya gembira juga 😊

Itu pun tahun ni, saya hampir terlupa! Maklumlah ada deadline sedang dikejar.

Apapun, saya bersyukur Allah masih panjangkan umur saya. Semoga diberi keberkatan umur, dimurah dan diluaskan rezeki, diberi kesihatan yang baik, dikurniakan suami yang terbaik, diberi anak-anak penyambung keturunan (semoga menjadi anak soleh), dimudahkan urusan sehari-hari, diberi peluang untuk tambah amal ibadat.

Insha Allah. Ameen.

Inspirasi Joseph Schooling

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: Google



Tiba-tiba sahaja meledak nama Joseph Schooling setelah beliau berjaya mengalahkan Michael Phelps dalam acara renang kuak kupu-kupu di Temasya Olimpik Rio 2016, sekaligus menyumbang pingat emas pertama untuk Singapura.

Pencapaian beliau bukan sahaja amat membanggakan Singapura malahan seluruh dunia. Siapa sangka negara sekecil itu mampu melahirkan seorang jaguh yang mengalahkan juara dunia?

Lebih menarik perhatian, bagaimana Schooling mampu mengatasi rekod dan mengalahkan idolanya dengan penuh terhormat dalam acara sukan paling berprestij pula.


Pasti ada sesuatu yang menarik dan luar biasa tentang Schooling yang mampu membuatkan beliau boleh capai hingga ke peringkat ini. Pada usianya 21 tahun, saya kira pencapaian beliau amat besar.

Berikut 7 fakta tentang Schooling yang saya dikongsikan oleh Astro Awani (astroawani.com).

* * *

7 fakta Joseph Schooling, 'ikan bilis Singapura' yang tewaskan Michael Phelps

Syafique Shuib, Astro Awani |  Diterbitkan pada Ogos 13, 2016 12:35 MYT

Nama Joseph Schooling terus menjadi hangat setelah perenang Singapura itu bukan sahaja memenangi pingat emas sulung untuk negaranya, tetapi beliau berjaya menewaskan perenang hebat Amerika Syarikat Michal Phelps.

Schooling memberikan persembahan memukau untuk memenangi pingat emas 100 meter kuak kupu-kupu pada Jumaat.

Kemenangan itu sekali gus mencatat rekod Olimpik 50.39 saat.

Berikut adalah 7 fakta menarik tentang Schooling.


1. Pendidikan

Joseph Schooling dilahirkan pada 16 Jun 1995 di Singapura.

Beliau menerima pendidikan awal di Singapura sebelum ke Amerika Syarikat (AS) untuk menerima pendidikan sekolah menengah.

Beliau kini merupakan seorang pelajar di University of Texas, di Austin, AS dan merupakan ahli pasukan Texas Longhorns, sebuah pasukan elit dalam kalangan pelajar universiti.

2. Inspirasi untuk bertanding di Olimpik

Menurut laporan Today Online, ketika masih kecil Schooling menanam impian untuk bertanding di tahap Olimpik setelah berborak bersama ahli keluarga yang lain tentang datuk saudaranya, Lloyd Valberg, yang mewakili Singapura dan bertanding di temasya Olimpik pada tahun 1948 dalam acara lompat tinggi.

3. Bertemu Michael Phelps

Kemenangan di Rio bukan pertemuan kali pertama antara Schooling dan Phelps.

Akhbar The Straits Times melaporkan kedua-dua perenang itu pernah bertemu di China sebelum temasya Olimpik di Beijing pada tahun 2008.

Ketika itu Schooling berusia 13 tahun dan menganggap Phelps sebagai idola.

Susulan kemenangan di Rio, nama Joseph Schooling terus trending di media sosial dengan ucapan tahniah.

4. Latihan di Amerika Syarikat

Setelah bertemu Phelps, Schooling membuat keputusan untuk berlatih di Amerika Syarikat.

Ibu bapa beliau mengambil Sergio Lopez sebagai jurulatih.

Lopez pernah menang pingat gangsa di temasya Olimpik di Seoul pada 1988 namun lebih terkenal sebagai jurulatih yang hebat.

Lopez memberi fokus kepada teknik berbanding berbanding membina otot.

5. Pencapaian hebat

Schooling mula memenangi pingat untuk Singapura bermula dengan temasya Sukan SEA pada 2011 di Indonesia.

Beliau sekali gus layak untuk bertanding di temasya Olimpik pada 2012 di London. Namun, beliau gagal untuk melayakkan diri dalam pusingan separuh akhir.

Beliau memenangi pingat perak dalam acara 100 meter kuak kupu-kupu di sukan Komanwel yang berlangsung pada 2014 di Glasgow.

Beliau memenangi pingat gangsa di acara World Championships di Kazan, Rusia pada 2015.

6. Khidmat Negara

Pada 2013 ibu Schooling, May, berjaya untuk mendapatkan penangguhan untuk anaknya dari latihan Khidmat Negara yang merupakan wajib kepada semua lelaki rakyat Singapura.

Tempoh ini akan tamat pada 31 Ogos 2016, iaitu selepas temasya Olimpik di Rio.

7. Kebanggaan negara

Susulan kemenangan di Rio, nama Schooling terus trending di media sosial dengan ucapan tahniah.

* * *

Antara poin penting yang dapat saya perhatikan daripada 7 fakta ini, betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam menentukan kejayaan anak. Ibu bapanya telah memberi persediaan dan pendedahan sejak awal untuk beliau sampai ke tahap ini. Mencari jurulatih yang bagus dan memberi pendidikan yang baik. 

Beliau mendapat latihan yang sewajarnya, berpeluang dan layak menyertai kejohanan besar dan saya pasti dari situ beliau mendapat banyak pengalaman dan menggunakannya sebagai senjata pada Olimpik kali ini. Sebenarnya, beberapa bulan sebelum ini juga beliau sudah berjaya mengalahkan Phelps dalam satu kejohanan lain. Boleh lihat di SINI. Ini menunjukkan beliau berpotensi melakukannya sekali lagi, dan dibuktikannya pada Jumaat lepas.

* * *

Satu lagi perkara menarik tentang Schooling yang dikongsikan di Facebook National Reading Movement tentang buku-buku yang menjadi inspirasi Schooling. 


Bob Schaller’s ‘Michael Phelps: The Untold Story of a Champion’  details Phelps’ journey and struggles from age group swimming to the Olympics.
(Buku tulisan Bob Schaller, Michael Phelps: The Untold Story of a Champion' menerangkan perjalanan dan rintangan Phelps dalam sukan renang sejak kecil hingga Olimpik.)



Daniel Smith’s ‘How to Think Like Bill Gates’ recounts how Bill Gates overcame adversities to make Microsoft a success.
(Buku tulisan Daniel Smith, How To Think Like Bill Gates mengisahkan bagaimana Bill Gates mengatasi kesukaran untuk membina kejayaan Microsoft.)



Saya dapat simpulkan, untuk mengalahkan pesaing anda:

1. Kaji dan kenal mereka lebih mendalam. 

2. Baca buku-buku yang memberi motivasi daripada mereka yang telah berjaya untuk merangka strategi kejayaan anda pula. 

* * *

Betapa indah kenangan Schooling dapat bertemu Phelps pada tahun 2008, indah lagi kenangan beliau mengalahkan idolanya pada tahun 2016 :)



Semoga kisah kejayaan Schooling ini dapat menjadi motivasi dan inspirasi untuk kita berjaya dalam bidang masing-masing. 



Rutin Harian Seorang WAHM

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: Akademi Bekerja Di Rumah

Alhamdulillah, pagi ini Allah kurniakan tenaga dan kudrat untuk selesaikan kerja-kerja rumah tangga setelah beberapa hari dalam minggu lepas, jadual saya agak huru-hara dek sekeluarga kurang sihat.

Sejak awal Ogos, saya mencabar diri saya untuk ubah jadual harian dengan semua kerja rumah seperti memasak, membasuh baju dan mengemas perlu disiapkan sebelum anak bangun. Sebenarnya suami memang sudah lama cadangkan begitu tapi kadang-kadang saya ada juga mengelat!

Jadi, setakat hampir 2 minggu ini saya praktikkan rutin begitu, saya dapati urusan harian jadi lebih lancar dan mudah. Saya pun kurang stres.

Apa kebaikannya wahm selesaikan kerja rumah sebelum anak bangun?

1. Bila anak bangun, makanan sudah tersedia. Ibu tak perlu kelam kabut baru nak masak. Kalau anak saya, bangun saja memang dah lapar. Kalau mereka merayu-rayu masa tengah masak, saya nak masak pun jadi serabut.

2. Masak untuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam sekaligus. Kalau tak masak, beli di luar tu cerita lain lah ya. Tapi kalau wahm yang memasak, mudah begini. Tak perlu banyak kali masak, banyak kali mengemas dapur. Lapar saja, makanan pun dah ada.

3. Kurang stres bila nak layan anak sebab sinki dan bakul baju kotor dah kosong. Kalau tak, sakit saja mata tengoknya. Atau kalau sempat buat pun sekerat jalan saja. Mana taknya, sekejap abang buli adik, sekejap adik panjat kerusi. Saya nak buat kerja pun tak tenang dan tak siap-siap. Paling stres bila baju dah siap basuh tapi tak sempat sidai. Tak suka baju bau berkepam!

4. Setelah urusan rumah selesai, baru senang hati nak masuk soho dan buat kerja sendiri pula. Kerja terjemahan, menulis dan urusan bisnes. Selalunya pukul 11  pagi ke atas. Tapi kalau kerja rumah siap lebih awal dan anak belum bangun, boleh fokus kerja lama sikit.

5. Kurang penat melakukan kerja rumah, sebab kerja 'berat' dah dilakukan sebelah pagi sewaktu tenaga masih banyak. Pastikan sarapan diambil untuk beri tenaga. Minum saja pun ok. Macam saya, menjelang petang saya dah letih. Saya lebih senang rehat dan layan video dengan anak-anak. Atau membaca bahan bacaan ringan.

Menjadi wahm walaupun masanya fleksibel tetapi tetap perlu disiplin. Cuma waktunya tidaklah tetap. Terpulang keadaan masing-masing, sebab kita saja yang faham keadaan diri dan kemampuan kita. Cuma janganlah sampai satu kerja pun tak selesai ya!

Kalau rasa buntu dan hilang arah, boleh baca ebook Yeay! Mama Sudah Resign dan ebook Super Wahm Super Mom sebagai inspirasi.



Untuk membeli ebook-ebook ini, boleh terus hubungi saya:

Hifzaila
Pengurus Online ABDR
019-460 3094


Penterjemah Part Time

Teks: Hifzaila Hafni

Kerja editor di rumah ini, adakalanya tidak dijangka. Ada pasang surutnya juga.

Jika ditawarkan sesuatu kerja, lazimnya projek tersebut sangat penting dan perlu disiapkan dalam waktu yang singkat. Di sinilah sebenarnya peranan editor bebas, untuk bantu mempercepat proses penerbitan.

Menjadi editor di pejabat suatu ketika dahulu, saya juga sering mencari editor bebas bila berlaku lambakan kerja atau pertukaran jadual. Editor perlu membahagikan kerja supaya projek boleh disiapkan dalam tempoh yang diberikan. Jadi sedikit sebanyak saya memahami sebab editor bebas ditawarkan kerja dan kenapa perlu bergerak pantas.

Alhamdulillah semalam, saya ditawarkan satu projek penterjemahan. Setelah agak lama tidak mengambil tawaran begini, saya agak teruja. Dan amat bersyukur Allah beri peluang ini, di saat saya amat memerlukannya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar.

Ada masanya, tawaran kerja editing atau terjemahan kurang. Dan bayarannya juga bukan dilakukan sejurus selepas kerja selesai. Disebabkan itu, saya juga lakukan bisnes online untuk mengisi masa dan menampung belanja.

Menjadi editor di rumah, pastinya berbeza dengan editor di pejabat. Yang pasti, work station saya berubah-ubah mengikut keselesaan saya. Ada masa di meja, ada masa bersila di lantai. Waktu bekerja juga amat fleksibel. Saya bebas melakukannya tak kira waktu. Cuma perlu lebih berdisiplin supaya kerja yang diberikan dapat disiapkan mengikut waktu.

Sebelum ini, saya agak risau untuk menerima tawaran kerja menulis, editing atau terjemahan kerana bimbang tak dapat seimbangkan waktu kerja dengan urusan rumah tangga. Namun kini, saya terima sebagai cabaran. Dalam masa yang sama melatih diri menjadi kental dan tabah untuk menjayakan misi wahm.

Ebook Super WAHM Super Mom 

Wahm juga boleh berjaya walaupun pejabatnya di rumah dan dikelilingi staf cilik :)

Insha Allah.


Jana Pendapatan dari Rumah dengan Penulisan

Teks: Hifzaila Hafni

Salah satu bidang yang boleh diceburi oleh mereka yang bekerja di rumah adalah penulisan.

Kerja-kerja menulis bahkan tidak terhad dilakukan di rumah sahaja, boleh sahaja dilakukan di mana jua yang kita selesa bekerja. Ianya juga sesuai bagi mereka yang sukakan waktu kerja yang fleksibel.

Bidang penulisan amat luas, setiap individu yang suka menulis atau berminat untuk jadikan bidang penulisan sebagai punca pendapatan dari rumah boleh cuba yang berikut:

1. Menulis blog.
Antara yang mudah untuk dimulakan serta memerlukan kos yang rendah. Bina blog dan mula menulis. Ada yang menulis untuk berkongsi pengalaman sebagai panduan atau rujukan orang lain. Mungkin ada kisah atau pengalaman yang sesuai diterbitkan sebagai ebook atau buku pada masa akan datang.

2. Menulis artikel laman web/majalah yang berkaitan.
Bagi mereka yang suka menulis artikel berfakta, boleh cuba hantar artikel kepada laman web atau majalah yang berkaitan dengan topik artikel anda. Begitu juga jika pandai menulis cerpen atau karya kreatif. Cuba hantar sampel karya, jika sesuai pihak laman web atau majalah akan pertimbangkan untuk terbitkan. Cuma imbuhan untuk setiap artikel/karya yang diterbitkan terpulang kepada pihak laman web atau majalah. Mungkin ada, mungkin tidak. Namun boleh menjadi platform terbaik untuk mengetengahkan bakat penulisan.

3. Menulis ayat iklan.
Juga disebut copywriting. Menulis iklan bukan kerja mudah. Banyak syarikat mengupah pihak lain yang mempunyai kepakaran menulis ayat iklan bagi bisnes/produk mereka. Jika dilakukan dengan serius, bidang ini mampu memberikan pulangan yang agak lumayan. Tapi anda mungkin perlu hadir kelas menulis ayat iklan yang 'power' dan mampu menarik minat orang membeli produk tersebut. Atau boleh baca dan belajar cara-cara menulis ayat iklan yang berkesan daripada otai-otai copywriting.

4. Menterjemah.
Jika berminat dengan bidang ini, anda boleh hadir ke bengkel atau kelas penterjemahan yang dianjurkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia atau Dewan Bahasa dan Pustaka, contohnya. Bila anda mempunyai sijil atau kelayakan lebih mudah dan meyakinkan klien yang ingin mendapatkan khidmat anda. Jika anda mempunyai kemahiran dalam bahasa asing, bidang ini harus dicuba. Bidang penterjemahan antara bidang yang memberi peluang pendapatan yang baik tetapi memerlukan disiplin dan fokus yang agak tinggi.

5. Penyuntingan.
Penyuntingan lazimnya dilakukan in-house tetapi ada juga rumah penerbitan yang memerlukan penyunting (editor) bebas. Bidang ini selalunya dilakukan oleh editor yang berpengalaman untuk membantu mempercepat proses menerbitkan buku. Berbeza dengan penyunting tesis, bidang tersebut lebih spesifik dan memerlukan kemahiran dalam bidang pengajian yang berkaitan.

6. Membaca pruf.
Sebuah buku atau tesis memerlukan 'mata kedua' untuk membacanya. Proses ini juga amat berkait rapat dengan penyuntingan dan memerlukan mereka yang ahli dalam bidang tersebut. Bidang ini mampu menjadi pendapatan sampingan bagi mereka dalam kalangan pensyarah dan mereka yang terlibat dalam penulisan ilmiah. Bagi buku tajuk umum, biasanya dilakukan oleh editor di rumah penerbitan tersebut.

7. Menulis buku.
Ramai yang mencuba menulis buku sekarang ini. Banyak kisah dan ilmu yang boleh dikongsikan dan disebarkan kepada orang ramai. Jika anda berminat atau ada kisah anda yang boleh mendapat manfaat ramai, boleh cuba menulis buku. Hadir bengkel penulisan, belajar menulis dan berkenalan dengan mereka yang terlibat dalam bidang ini.

==========================

Langkah pertama yang paling efektif untuk melatih diri menulis adalah dengan menulis blog.

Belajar bina blog daripada asas, langkah demi langkah hingga selesai.

Buntu atau tak tahu cara nak mula, boleh mula dengan hadam dan khatam ebook Belajar Asas Blog ini.

Ditulis oleh Puan Masayu Ahmad, bekas wartawan Karangkraf yang juga merupakan pengasas Akademi Bekerja Di Rumah. Kini aktif menjalankan kelas asas blog penulisan untuk beri bimbingan awal kepada mereka yang ingin menceburi bidang penulisan.

Dapatkan ebook ini dengan PERCUMA bila mendaftar kelas asas blog anjuran ABDR atau boleh lakukan pembelian ebook ini dengan harga RM50.

Boleh hubungi:
Hifzaila
Pengurus Online ABDR
019 460 3094

Tiada Lagi Cuti Kecemasan Bila Anak Kurang Sihat

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Salah satu kebaikan menjadi seorang wahm adalah bila anak-anak kurang sihat.

Ibu tak perlu risau dan serba salah nak hantar anak ke taska/pengasuh, dan suami juga tak perlu berfikir-fikir sama ada dia atau isteri yang perlu bercuti kecemasan.

Anak-anak saya, keduanya batuk dan selsema sejak semalam. Kalau dulu sewaktu bekerja, memang saya dah berbelah bahagi, berkira-kira sama ada bangun pagi Isnin nanti anak akan pulih dan sedia dihantar ke taska atau saya terpaksa EL.

Yang pasti, jika perlu EL, jasad di rumah tapi fikiran ke tempat kerja mengenangkan kerja dan tanggapan orang lain. Betapa negatifnya pemikiran saya waktu itu, padahal anak yang kurang sihat perlu diberi perhatian sepenuhnya.

Keadaan itu sudah berlalu dan saya juga sebolehnya tak mahu kenang semula. Peluang yang saya ada sekarang, lebih baik saya gunakan sebaiknya.

Aktiviti bisnes juga masih boleh berjalan seperti biasa. Update iklan, tulis blog, balas pm dan ambil order. Cuma ada ketika mungkin ambil masa lebih sedikit berbanding hari biasa.

Seperti yang dijangka, pagi ini memang menjadi-jadi juga batuk dua beradik ni. Selsema berkurang sedikit. Yang adik macam biasalah akan jadi sedikit manja dan nak mengempeng. Saya juga memang dah jangka, jadual saya hari ni akan sedikit terganggu.

Namun, sempat juga mengemas SOHO dan masak makan tengah hari. Tapi dalam kebanyakan masa, sama ada si adik nak berdukung atau nak mengempeng sahaja. Jadi aktiviti saya memang terbatas sedikit. Dan masa yang ada, terpaksa buat kerja dengan pantas dan cergas.

Anak yang kurang sihat, biarpun pada zahirnya nampak sihat tapi jika berlarutan, risau juga. Namun kadangkala dengan kehadiran ibu atau bapa boleh membuatkan anak cepat sembuh.

Anak saya, kalau dalam keadaan macam ni, saya akan masakkan sup dan bubur nasi. Sup ayam, kalau ada. Kalau tidak sup ikan atau daging. Atau sekurang-kurangnya sup telur. Mereka selalunya akan berselera sedikit. Sup pun yang direneh sahaja tanpa minyak dan saya akan lebihkan bawang putih.

Tak makan banyak tak mengapa, asalkan ada makanan masuk ke perut. Kalau tak makan risau masuk angin, masalah lain pula.

Jika keadaan tak berubah, saya akan mulakan ubat. Jika tidak, saya lebih suka beri mereka minum lebih banyak air kosong, beri madu dan sapu minyak panas sahaja selain pastikan mereka cukup rehat dan tidur. Mandi pun, saya guna air suam, untuk bantu longgarkan kahak dalam badan. Lepas tu sapu dada, belakang dada, tapak kaki dan betis dengan minyak telon. Kalau rajin, saya buatkan minyak bawang putih untuk disapu. Semasa tidur malam, pakaikan stokin atau selimutkan kaki serta perlahankan kipas. Kalau perlu, saya beri ubat cair kahak/batuk. Kahak tadi sama ada akan dimuntah keluar atau keluar bersama najis. Kalau bagi madu pun boleh untuk keringkan kahak anak.

Walaupun sedikit kurang sihat, mereka masih aktif bermain. Jadi saya kurang risau. Cuma perlu pantau jangan sampai demam. Jadi kena sediakan termometer dan ubat punggung kalau tiba-tiba suhu badan naik mendadak.

Semoga anak-anak baik sahaja. Ibu wahm, EL sendiri nampaknya.

Perkongsian Saya Bekerja Di Rumah di Majalah Mingguan Wanita

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Artikel pertama saya di Mingguan Wanita.

Dalam majalah Mingguan Wanita terbaharu, isu 1707, keluaran untuk 5-11 Ogos 2016, terselit perkongsian saya sebagai ibu yang bekerja di rumah.

Artikel tersebut dikongsikan dalam kolum Panduan Bekerja Di Rumah yang dikendalikan oleh Puan Masayu Ahmad, pengasas Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR). Saya merupakan salah seorang ahli akademi sejak 2014.

Cerita saya tentang menjadi ibu yang pernah bekerja dan terpaksa berhenti, kemudian bekerja semula, namun akhirnya mengambil keputusan berhenti sekali lagi - saya kongsikan dalam artikel ini.

Saya turut berkongsi apa yang saya lakukan setelah berhenti kerja dan bekerja dari rumah.

Sesungguhnya pengalaman menjadi suri bekerja di rumah ini sangat berharga dan mahal buat saya. Biarpun kisah hidup saya tak seperti yang saya rancang dan bayangkan, saya bersyukur kerana Allah sebenarnya tetapkan itulah yang terbaik buat saya.

Saya harap dengan perkongsian kecil ini, dapat memberi inspirasi dan panduan bagi mereka yang memerlukan.

Sudi-sudikan untuk mendapatkan naskhah MW di kedai buku terdekat untuk baca perkongsian saya dengan lebih lanjut.

Semoga bermanfaat!

* * *

Terima kasih kepada tim ABDR kerana dengan ukhuwah inilah, saya berpeluang muncul di majalah Keluarga (Mei 2016) dan Mingguan Wanita (Ogos 2016).

Salam sayang,
Hifzaila
Pengurus Online ABDR

Perlukah Isteri Berhenti Kerja?

Teks: Hifzaila Hafni

Perlukah isteri berhenti kerja?

Minggu lepas, dua kali melintas status begini di Facebook saya.

Kebetulan pula, kedua-dua status dimuat naik oleh jurufoto yang saya kagumi hasil kerja mereka. Kedua-dua mereka juga mempunyai isteri yang mempunyai kerjaya yang stabil dan hebat yang pada pandangan orang kebanyakan, betapa rugi sang isteri berhenti kerja sedangkan berupaya membantu ekonomi keluarga.

Alasan untuk berhenti kerja, jurufoto A minta isterinya sama-sama urus bisnesnya yang semakin berkembang. Jurufoto B pula, mahukan sentuhan isteri sendiri dalam mendidik dan membesarkan anak-anak.

Dalam kes mereka, bukan isteri langsung tidak bekerja selepas itu, cuma waktu bekerja jadi lebih fleksibel dan mempunyai kebebasan untuk membawa anak bersama ke tempat kerja. Kepakaran mereka masih diperlukan, cuma di tempat yang berbeza, dengan lebih banyak masa bersama keluarga - sambil bekerja. Work in flexi hours.

Jadi, bukanlah isteri berhenti kerja semata-mata, cuma berubah arah dengan fokus lebih kepada keluarga dan membantu bisnes suami (dalam kes isteri mereka berdua).

Dalam kes saya pula, saya sendiri yang ingin berhenti kerana tak sanggup berulang-alik ke tempat kerja yang jaraknya tidak jauh tetapi perlu mengharungi kesesakan jalan raya yang amat meletihkan - setiap hari. Saya benar-benar penat dalam perjalanan. Tambahan pula dengan bebanan kerja yang saya rasakan semakin tak mampu ditanggung. Saya semakin hilang fokus di tempat kerja apabila anak semakin membesar dan bertambah. Disebabkan itu, saya nekad menghantar surat berhenti biarpun keadaan kewangan kami belum betul-betul stabil. Alhamdulillah suami setuju walaupun sedikit keberatan.

Namun saya percaya rezeki ada pada anak-anak. Dan saya juga percaya pada rezeki suami. Dalam masa yang sama, saya teruskan bisnes online yang sudah saya mulakan sejak bekerja untuk menampung sedikit sebanyak kewangan keluarga.

Memang tidak mudah. Tapi sekurang-kurangnya kurang kerisauan tentang anak yang dijaga oleh orang lain. Taska anak saya alhamdulillah ok saja. Cuma saya lebih puas jika dapat membesarkan mereka sendiri, sekurang-kurangnya 6 bulan pertama. Maklumlah tempoh masa ini bayi amat memerlukan ibu untuk menyusu.

Memang tidak semua ibu mendapat peluang begini. Dan jika terpaksa bekerja juga bukanlah suatu yang perlu dikesali atau berasa bersalah.  Setiap orang rezekinya berbeza.

Apapun, bagi saya sendiri, saya rasa lebih tenang kerana hilang satu bebanan bekerja di pejabat. Fokus saya sekarang adalah mendidik anak-anak, terus belajar menulis dan mengembangkan bisnes yang ada. Insha Allah.

Semoga segala urusan kita semua dipermudahkan oleh Allah.

Cara Kekal Tenang Sepanjang Hari

Selesaikan tugas berat dahulu di awal pagi.

Alhamdulillah pagi ini, Allah beri kesempatan saya siapkan semua kerja-kerja rumah sebelum anak-anak bangun. Saya memang sudah berniat untuk selesaikan sebanyak mungkin urusan rumah tangga sebelum saya masuk soho saya.

Bulan baru, semangat juga baru.

Bangun pagi, selepas suami dah siap gerak ke tempat kerja, saya terus mandi dan solat Subuh. Selesai solat, sempat zikir panjang sedikit dan baca surah Yasin. Waktu pagi sahaja yang lazimnya saya dapat peluang begini, sebab anak masih tidur. Dan saya cuba selesaikan urusan kerohanian saya sebelum jam 7 pagi.

Bermula jam 7 pagi, saya basuh baju dan siapkan sarapan. Saya perlu pastikan saya bersarapan dahulu untuk beri tenaga. Pagi saya banyak kerja fizikal. Jika tidak, saya akan menggigil kelaparan. Cukup sarapan roti, kurma dan air panas.

Kemudian, lebih kurang 7.30 pagi, mula buka semua tingkap bilik. Selain untuk pengudaraan, untuk menjemput rezeki awal pagi. Juga saya suka lihat cahaya matahari pagi masuk ke bilik. Berpagi-pagian.

Saya kemudian teruskan dengan mengemas dapur dan siapkan bahan-bahan memasak. Saya cuba untuk konsisten masak awal pagi untuk makan tengah hari dan malam. Mudah dan dah tak perlu fikir untuk masak banyak kali dalam sehari. Menu hari ini; sup ayam, ayam masak pedas dan bayam goreng. Selesai lauk untuk makan tengah hari dan malam.
Bila anak dah mula bangun, pertama sekali saya bagi sarapan dulu kemudian mandi. Kemudian saya biarkan mereka bergelumang dengan mainan dan buku, saya teruskan perjuangan menarah gunung baju pula.

Sejurus siap, si kecil mahu lelap mata, sudah pasti mahu mengendeng dengan saya. Maka dapatlah saya baring dan rehat sekejap.

Alhamdulillah seronok melihat anak-anak bermain walaupun ada ketika bergaduh juga. Saya rasa lega melihat kain baju sudah siap dibasuh dan disidai. Juga tenang dan aman bila terfikir yang makanan untuk hari ini juga telah tersedia.

Masa yang berbaki hari ini, mahu selesaikan hutang tertunggak, tetapkan target bulan baru, kemas kini akaun, sambung kerja-kerja menulis dan menterjemah.

Semoga dipermudahkan urusan semua ibu yang bekerja di rumah.

Salam sayang,
Hifzaila