Rutin Harian Suri Rumah Dulu-Dulu

Bila balik ke rumah mentua, saya selalu perhatikan rutin harian mak mentua saya dalam menguruskan rumah. Saya sememangnya kagum dengan rumah mentua yang sentiasa bersih dan kemas. Tetamu boleh datang bila-bila masa, tuan rumah tak perlu risau rumah tidak berkemas. Keadaan begini saya kira agak sukar untuk ibu-ibu generasi sekarang, yang mana kalau tetamu nak datang, barulah kelam kabut nak mengemas rumah (saya juga begitu).

Mak mentua saya seorang suri rumah. Menjaga sendiri kesemua 8 anaknya. Dengan latar belakang keluarganya yang juga pengemas, saya tak hairan trait itu diwarisi oleh mak mentua saya. Dan kini saya perhatikan trait tersebut diwarisi oleh suami saya.

Memang beruntung sangat sebab saya bukan jenis orang sebegitu.

Kembali kepada rutin mak, bangun pagi seawal jam 5 atau 5.30 pagi, mak akan terus mandi dan solat Subuh. Kemudian masukkan baju kotor dalam mesin basuh. Sambil menunggu baju dibasuh, mak akan siapkan sarapan abah.

Penting ya siapkan sarapan suami biarpun hanya secawan air. Suami sangat menghargainya.

Abah mentua saya dah bersara daripada pasukan bomba, tapi orang tua yang biasa bekerja, selepas dah bersara pun tetap nak bekerja. Abah jadi pengajar di sekolah memandu. Jadi sebelum abah pergi kerja, mak akan siapkan oat dan ubat kencing manis abah siap-siap. Kadang-kadang mak sediakan bekal, kalau abah minta.

Selepas abah dah gerak ke sekolah memandu, mak akan siram pokok-pokok yang ditanamnya. Mak memang rajin menanam. Biarpun tinggal di rumah teres, tak menghalang mak untuk wujudkan kebun bandar mak sendiri. Sebelum ini, sewaktu tinggal di kuarters juga mak menanam banyak pokok bunga. Kini, mak banyak tanam pokok herba yang sering kita guna di dapur. Antaranya daun pandan, daun kunyit, daun kari, daun kesum, cili padi dan serai. Pokok durian belanda pun mak cuba tanam juga depan rumah.

Selepas selesai menyiram pokok, mak akan menyapu halaman rumah dan di dalam rumah. Kemudian kalau baju dah siap dibasuh, mak akan terus sidai baju pula.

Mak tak boleh tengok baju bertimbun tak berbasuh. Setiap hari mesti kena basuh baju. Dan kalau mak nak ke mana-mana juga hari itu, mak akan pastikan urusan baju selesai dahulu. Mak juga selesa menyidai baju sendiri, mak ada KPI untuk sidai baju, tak boleh sebarang anak atau menantu sidai baju kat rumah mak. Tapi kalau nak tolong sidai tu, boleh saja. Perhati cara mak sidai. Ikut caranya, mak ok saja.

Selepas itu, mak akan berhenti rehat sekejap untuk sarapan. Sambil-sambil mak akan tengok tv, rancangan kegemarannya yang telah direkod sebelumnya. Adik atau anak buah akan tolong rekodkan mana-mana cerita yang mak nak tengok. Ada filem, drama bersiri atau telefilem. Mak hanya akan tengok tv bila kerja dah siap, bila mak dah benar-benar lapang.

Itulah yang beza dengan kita, tengok tv dahulu baru siapkan kerja. Sebab tu kerja tak siap-siap sebab dah terjebak. Dan kita pula, bukan sekadar tv, dengan telefon lagi. Kena betul-betul disiplin untuk bahagikan masa.

Itulah sebahagian rutin harian mak. Selepas selesai urusan sebelah pagi, mak akan teruskan dengan memasak, lipat kain dan lain-lain kemudiannya.

Saya ada juga cuba praktikkan mana yang boleh, tapi masih tak dapat tandingi kecekapan mak siapkan kerja. Mungkin pengalaman mak besarkan anak ramai membuatkan mak sudah terbiasa buat kerja dengan efisien.

Pada saya, banyak yang ibu muda sekarang boleh belajar dengan ibu dulu-dulu. Tambahan pula dengan lebih banyak kemudahan yang ada seperti mesin basuh, pengisar, periuk elektrik dan sebagainya amat membantu menjimatkan masa dan tenaga. Maka kita dapat tumpukan kepada perkara yang lain pula seperti bisnes (kalau yang berbisnes), homeschool anak-anak dan sebagainya.

Salam sayang,
Hifzaila

3 Doa Power untuk Dibaca Setiap Pagi

Teks: Hifzaila Hafni

Saya berkesempatan dengar slot Dato' Dr Mohd Fadzilah Kamsah di radio Ikim beberapa hari lalu.

Banyak ilmu yang dikongsikan, tapi yang paling menarik perhatian saya adalah 3 doa amalan beliau setiap pagi.

Beliau amalkan membaca Doa Pagi, Doa Pembuka 12 Pintu dan Bismillah Lima.

Saya pun mula cari doa-doa ini di internet dan bila saya baca maksud doa-doa ini, saya faham kenapa DMFK amat sarankan kita amalkannya setiap pagi.

Saya sertakan di sini ketiga-tiga doa tersebut untuk rujukan.

Semoga bermanfaat.

Salam Jumaat,
Hifzaila

Jadilah WAHM yang Berdikari

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Alhamdulillah, selesai ambil stok nasi arab dan sambal hitam petang ini. Dan bertambah syukur dapat COD nasi arab pada seorang pelanggan setia yang amat memerlukannya untuk menjamu keluarga yang akan datang beraya di rumahnya malam ini.

Pelanggan yang satu ini sejak minggu lepas sudah buat tempahan. Tapi disebabkan minggu ini baru stok sampai, dia terpaksa tunggu. Alhamdulillah di saat dia perlukan, Allah izinkan saya hantarkan untuknya on time.

Walaupun saya terpaksa bergerak sendiri, ambil stok dengan ditemani anak-anak, alhamdulillah juga semua urusan berjalan lancar.

Selalunya bergerak dengan suami, tetapi pada hari bekerja ni terpaksalah berdikari. Yang penting, jangan leka dan perhati anak rapat-rapat, pesan suami.

Saya jual nasi arab?

Ya, selain jadi freelancer, saya ada juga menjual produk-produk makanan. Bolehlah tambah duit poket.

Musim puasa dan raya lazimnya permintaan tinggi sikit. Dapat juga rezeki lebih.

Saya jual nasi arab dan kuih raya. Bulan puasa tempoh hari, ada juga jual dendeng daging dan sambal hitam. Tahun-tahun sebelumnya, saya ada jual pekasam daging juga.

Macam-macam saya jual kan? Tapi yang pasti mesti jual makanan sebab apa yang saya makan dan sedap, baik sebarkan dan kongsi. Orang lain pun dapat rasa sama. Saya pun tumpang gembira kalau dapat puaskan hati orang yang membeli.

Walaupun untung/komisen yang saya terima tidaklah mewah, tapi saya seronok.

Seronok belajar berniaga. Seronok dapat mudahkan urusan orang dengan produk kita. Seronok bila orang cakap sedap. Bertambah seronok kalau orang repeat order.

Semua ini pengalaman berharga untuk saya. Biarpun berniaga kecil-kecilan, tapi besar dan mahal pengalaman yang saya dapat.

Wahm sekalian, pada zaman sekarang, walaupun berada di rumah, kalian tetap ada peluang untuk jana pendapatan sendiri. Pilih bidang yang sesuai dengan diri dan kemahiran yang ada. Banyak membaca, banyak berkawan dengan mereka yang berpengalaman luas, insha Allah setiap orang berpeluang dan berpotensi.

Salam sayang,
Hifzaila

Anda Tahu Jenis-jenis Laksa?

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Antara topik yang saya suka kongsi atau tulis adalah makanan.

Saya juga suka memasak biarpun sering kali tak menjadi atau tak menepati rasa yang sepatutnya. Janji setiap kali saya masak, saya akan belajar banyak benda baru.

Dan walaupun masakan saya yang ringkas sahaja, tapi saya puas hati sebab dapat sediakan sendiri. Selain dapat mengawal kuantiti garam dan gula. Di samping menjaga kebersihan makanan itu sendiri.

Artikel saya di The Vocket saya menulis tentang laksa. Saya juga telah senaraikan jenis-jenis laksa utama yang terdapat di Malaysia dan merupakan kegemaran ramai.

Jemput baca tau! Link di bawah.

Sebagai salah seorang penggemar laksa, saya sangat seronok menulis tentang topik ini. Dapat juga saya menambah ilmu tentang laksa. Tentang resipi, cara memasak dan beza setiap jenis laksa.

Boleh baca lanjut tentang laksa Johor, Kelantan, Terengganu, Penang, Kedah, Sarawak dan laksam di laman web The Vocket.

Boleh klik link di sini ya.

Laksa sebenarnya amat dekat di hati saya. Sejak kecil, arwah mak memang sering masak laksa terutamanya jika buat sambutan hari jadi anak-anak. Mak akan masak lebih dan kami akan jemput kawan-kawan dan jiran datang makan. Seingat saya tiada kek atau sambutan besar-besaran, sekadar makan laksa itu sahaja. Namun, itu sudah cukup buat anak yang diraikan tu gembira.

Masa kecil dulu, mak juga sering bagi tugas perisi (asingkan isi dari tulang) ikan rebus pada saya. Kini, setiap kali saya perisi ikan rebus, mesti melintas kenangan ini dalam minda. Betapa saya rindu masakan mak saya. Memang mak dah lama pergi tapi kenangan bersamanya akan hidup sampai bila-bila.

Selamanya peminat laksa,
Hifzaila

Bercinta dengan Al Quran

Teks: Hifzaila Hafni

Memetik status Facebook Puan Husna Haron, jurulatih Formula Masa:

Masa yg cukup = masa yg berkat.

Bila banyak perkara yg boleh dilakukan dlm masa yg singkat.

Tapi kalau tak cukup masa.. Dan kelam kabut..
Hati2.. 

Kenapa rezeki masa tidak diusahakan..

Sedangkan nak jemput rezeki wang.. Rezeki kesihatan.. Rezeki yg lain.. Perlukan rezeki masa dulu..

Moga kita disalurkan kepada ilmuwan yg benar utk explain further...surah Al Ahqaf ayat 35.

==========================

Saya baru saja follow Puan Husna, sekitar 2 bulan lepas, untuk tambah ilmu tentang pengurusan masa dengan memahami dan ber'kawan' rapat dengan Al Quran.

Melalui perkongsian beliau, saya mula ubah cara saya baca AlQuran. Selama ini, saya banyak membaca sahaja, kurang faham terjemahan dan selalu target sehari habiskan berapa muka surat.

Tanpa penghayatan.

Tanpa pemahaman.

Baca, tapi tak dapat apa-apa.

Sepanjang bulan Ramadhan lepas, saya cuba ubah, dengan bukan hanya membaca, tetapi cuba fahami dan hayati terjemahan Al Quran tu sekali.
Walaupun ada bahagian yang saya kurang faham maksud sebenarnya tapi ada juga ayat yang 'straight forward'. Dan benar, kadangkala kita memang terjumpa ayat yang betul menjawab persoalan kita.

Allah menjawab dalam Al Quran, tinggal kita nak jumpa atau tidak.

Kini, saya mahu lebih fokus untuk faham isi Al Quran itu sendiri dan bukan sekadar membaca dan capai target berapa muka surat yang perlu dibaca sehari, semata-mata.

Jika anda juga ingin membuat perubahan dalam hidup dengan Al Quran tapi buntu nak mula, boleh follow Facebook Puan Husna Haron. Banyak ilmu yang boleh dipelajari.

Salam sayang,
Hifzaila

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...