Artikel Pertama di The Vocket

Teks: Hifzaila Hafni

Salah satu daripada beribu-ribu impian saya adalah untuk melihat hasil penulisan saya diterbitkan. Tak kisah sama ada diterbitkan secara fizikal atau online.

Impian itu tercapai apabila artikel yang saya sumbangkan kepada The Vocket, dipilih untuk diterbitkan secara online pada 25 Jun 2016.

The Vocket adalah media sosial bermisi yang berkongsi berita-berita menarik dan sensasi, yang turut menjadi trending atau viral.

Artikel yang saya sumbangkan bertajuk '6 Tip Masak Sendiri Tanpa Berpenat di Dapur'.

Sememangnya ia menjadi satu pengalaman yang bermakna untuk saya, biarpun hanyalah sekecil cuma. Dan dari artikel pertama ini juga, saya banyak belajar untuk membaiki gaya penulisan dan cara menulis artikel berfakta dengan lebih baik dan tersusun.

Topik-topik yang suka saya kongsikan adalah berkisar kepada makanan, anak-anak, kecantikan dan tips memudahkan kerja berdasarkan pembacaan dan pengalaman saya sendiri.

Semoga hasil tulisan saya yang masih belajar ini dapat memberi impak positif dan bermanfaat untuk orang lain.

Untuk membaca artikel saya, KLIK DI SINI.

Terima kasih kerana sudi membaca.

Apa Kenangan yang Mahu Kita Tinggalkan untuk Anak?

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Seingat saya, semasa bersahur sewaktu mak ayah masih ada, antara menu kami sekeluarga adalah papadom, telur masin dan minyak sapi yang dimakan dengan nasi. Ada juga lauk-pauk lain tetapi memori saya kurang jelas.

Yang pasti, 3 makanan itu.

Menu sahur saya kini?

Overnight oat pada kebanyakan hari. Nasi amat jarang dimakan waktu sahur.

Betapa berbeza menu sahur saya dulu dan sekarang. Tetapi memori yang terkesan pada saya sampai sekarang bukan sekadar makanan tetapi kenangan bersama mak dan ayah.

Terkadang saya terfikir, itu kenangan yang ditinggalkan oleh mak ayah saya. Apa pula kenangan yang akan saya tinggalkan untuk anak-anak saya?

Adakah makanan yang apabila anak-anak lihat akan mengingatkan mereka kepada ibu mereka ini?

Adakah mereka akan merindui masakan saya?

Apakah kenangan yang saya tinggalkan untuk anak-anak saya pula?

Jika gulai telur ikan, bihun sup tumis, nasi lemak, sambal ikan bilis petai dan laksa masakan mak terpahat dalam memori saya, adakah anak-anak saya juga akan memahatkan perkara yang sama?

Juga sambal ikan bilis dengan kacang dimasak kering, serunding daging yang mak saya akan bekalkan pada kakak setiap kali mahu pulang semula luar negara.

Sudah tentu saya tak mahu anak-anak saya hidup dengan memori makanan segera dan terproses (walaupun ada masanya terpaksa juga), jadi sayalah yang perlu ubah atau tentukan 'memori' mereka sedari mereka kecil.

Biarlah ada kenangan mereka, walaupun sedikit, seperti mug cake yang ibu mereka ini buat juga walaupun tak pandai, kenangan ikan bilis kicap, sambal ikan bilis, kuah pindang, laksa, mi goreng kicap dan nasi lemak koboi tersimpan dalam memori mereka bila masing-masing sudah meningkat dewasa.

Ibu tak perlu pandai, tapi perlu rajin memasak, pada pendapat saya. Practise makes perfect. Anak akan ingat masakan ibu yang penuh kasih sayang biarpun ringkas dan tak sempurna atau sesedap beli di kedai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...