Resipi Sup Telur dan Kentang

Setelah episod anak sakit hampir berakhir, ni umminya pula yang sakit.

Saya ke klinik semalam, doktor kata tonsil bengkak. Rupanya sakit tekak, batuk, selesema yang saya alami sejak Isnin tu, berpunca daripada tonsil itulah. Doktor bagi ubat dan suruh rehat secukupnya. Jika tak pulih, nanti datang klinik semula.

Oklah, tinggalkan bab sakit saya. Dah makan ubat, insya Allah baik nanti tu. Hari ni saya nak kongsi resipi. Seperti biasa, resipi yang mudah dan ringkas dengan menggunakan bahan-bahan yang sentiasa ada di dapur ibu sekalian :)

Resipi sup telur dan kentang!

Sup telur dan kentang



Nak masak ni, mula-mula sekali hiris bawang putih dan bawang merah. Kupas dan potong kentang bentuk kiub. Ambil telur daripada peti ais. Pecahkan sebiji ke dalam mangkuk.

Panaskan sedikit minyak zaitun. Tumiskan bawang putih dan bawang merah hingga layu dan wangi. Kemudian, masukkan stok ayam atau air. Agak-agaklah kuantiti air tu, lebih sedikit pun tak apa sebab bila masukkan telur nanti, kuah akan memekat. Dah mendidih sikit, masukkan kentang. Waktu ni, kalau nak masukkan lobak merah pun boleh, kalau nak. Masak hingga kentang empuk.

Perasakan dengan garam atau serbuk ayam/ ikan bilis. Masukkan secubit lada sulah. Kacau sebati. Kemudian, saya masukkan cendawan dan tomato sikit dalam ni. Sedap.

Kemudian masukkan telur. Jangan dikacau nanti telur hancur dalam kuah sup. Kalau nak tambah telur lagi, biar yang pertama tadi masak dahulu (perhatikan kuning telur kalau dah mengeras, dah masak lah tu).

Didihkan sikit lagi. Kemudian, tutup api. Dah boleh makan. Sendukkan nasi dalam mangkuk, tuangkan kuah sup.

Jom makan!


Kisah Avokado @ Alpukat

Memang biasa sejurus sampai di rumah setiap petang, anak saya akan menyusu dahulu. Ya, dia masih lagi menyusu badan, alhamdulillah masih ada rezeki dia.

Selepas menyusu, kalau anak saya tak tertidur, saya akan beri dia makan yang ringan-ringan dulu ataupun apa-apa snek; supaya dia tak terlalu lapar sementara nak menunggu saya masak.

Macam semalam, anak saya makan avokado. Saya dan suami selalu juga beli buah ni. Satunya sebab baik untuk tumbesaran anak, duanya sebab anak saya suka makan, tiganya mudah nak dimakan (kadang-kadang abah ummi pun tumpang makan sama). Selalu kami beli sebiji-sebiji, tapi kali ni suami saya beli 3 biji sekaligus dalam satu paket.

3 biji avokado Hass. RM20. Di Hero Market, Kota Kemuning.

Avokado Hass

Harga sebiji avokado selalunya RM3-6 bergantung kepada jenis dan kualiti (memang mahal). Tapi saya dan suami pernah beli sebiji RM1.98 di Giant, waktu tu memang promosi nak habiskan stok. Itulah pertama kali kami mencuba avokado. Sejak itu memang kalau ada kesempatan, akan beli.


Rupa avokado yang tengah masak

Avokado, nak tau sama ada dah sedia dimakan atau belum, yang masih elok atau rosak, boleh kenal melalui warna kulitnya dan dengan menekan pada pangkal buah. Warna kulit avokado yang elok, hijau tua. Yang dah nak rosak, berwarna coklat.

Avokado yang sedia untuk dimakan, bila ditekan pada pangkalnya, lembut. Yang keras maksudnya kena tunggu sehari dua untuk masak (ripening). Dan avokado ni, kalau dah masak, elok terus makan, sebab cepat rosak. 


Pada paket tu, ada arahan untuk pastikan keadaan avokado, sama ada dah masak atau belum.

Avokado yang dah sedia dimakan

Sebelum ni, saya beli avokado yang bijinya besar. Kali ni, bijinya kecil saja (maksudnya isi lebih banyak). Dan isinya pun nampak cantik :)

Buah ni, ada cara nak potongnya. Tapi bukanlah susah. Cuba ikut macam dalam video ni.


Cara mengendalikan avokado


Selain sedap dimakan begitu saja, selalunya avokado dilenyekkan, dimasukkan dalam sandwic, dibuat jus (jus alpukat tu jus avokado lah), dibuat guacamole (sejenis dip) atau dipotong kiub dan dimasukkan dalam salad. 

Untuk info nutrien yang boleh dapat daripada avokado, boleh baca di sini.

Petua adik promoter avokado Giant: Nak sedap, bila dimakan begitu saja, cecahkan dengan gula merah atau madu (untuk kurangkan rasa muak).



posted from Bloggeroid

Edisi Buah - Prun, Mangga dan Epal

Bila tak sihat, selera makan pun kurang. Walaupun makanan sedap, kadang-kadang hanya mampu jamah sedikit saja. Tapi anak bujang saya ni, selera makan dia boleh tahan juga walaupun tak betul-betul sihat lagi. 

Dia masih lagi batuk, cuma tak seteruk sebelum ini. 

Semalam, suami saya masakkan bubur ayam. Berselera dia makan, hampir semangkuk habis. Sebelum tu kami bagi dia cuba makan prun, mangga dan epal. Prun saja yang dia terima. Mangga - agaknya tak tahan masam. Epal - mungkin tak nak mengunyah. Atau pun sebab prun tu abahnya yang suapkan...mangga dan epal umminya yang suap. Kadang-kadang apa yang abahnya makan atau suapkan semua sedap belaka. Hai la anak.

Mangga
Kredit: trymasak.com

Prun
Kredit: sunsweet.com.my

Epal merah
Kredit: Wikipedia

Buah-buahan dah tentu sangat baik untuk kesihatan anak, begitu juga untuk orang dewasa. Cuma kadang-kadang kita terlepas pandang fungsi buah. Selain sebagai penyumbang vitamin C, buah-buahan juga merupakan sumber fiber yang penting untuk mengelakkan sembelit.

Prun, selain dimakan kering begitu, boleh juga dimasukkan dalam mufin, kek atau salad

Kek prune
Kredit: bbc.co.uk

Mangga masak, sedap dimakan begitu saja atau boleh juga dibuat jus, lassi atau puding.

Puding mangga
Kredit: food-4tots.com

Epal, boleh dibuat pai, atau boleh juga dimakan dengan sedikit taburan serbuk kayu manis

Pai epal
Kredit: photo-dictionary.com

Semalam, suami saya belikan beberapa lagi jenis buah yang ada sebahagiannya saya pun tak pernah rasa lagi. Esok saya kongsikan buah apa yang istimewa sangat tu ya :)


Croup pada Kanak-kanak

Alhamdulillah anak saya dah discaj dari hospital dan balik rumah semalam. Diagnos daripada doktor bagi keadaan anak saya ialah croup dan sedikit tonsilitis.

Croup tu sakit apa?

Croup adalah pembengkakan dan penyempitan peti suara, salur udara dan saluran pernafasan. Keadaan ini sering berlaku pada kanak-kanak kerana peparu dan salur udara yang belum cukup matang, untuk melawan serangan oleh virus pada kawasan ini.

Croup
Kredit: Seattle Children's Hospital

Macamana nak tahu anak kita diserang croup?

Batuknya berbunyi kasar dan keras (barking). Bunyi batuk begitu berlaku sebab salur pernafasannya yang makin sempit dan menekan peti suara. Macam nak sesak nafas dan semput. Kalau anak batuk macam ni, cepat-cepat bawak ke hospital takut saluran pernafasan terhalang dan sesak nafas lebih teruk.

Macam anak saya, pada Sabtu malam tu, dia tak boleh tidur lena. Baring sekejap, batuk. Dan berterusan. Bila dia menangis, lagi kuat batuk, lagi sakit tekak dia. Padahal Sabtu petang tu, kami dah ke klinik, dah ambil ubat. Diagnos doktor, tekak mungkin luka. Doktor bagi ubat titis ke dalam tekak dan ubat demam sebab masa tu suhu badan dia 38 C.

Tapi setelah makin teruk dengar batuknya, suami suruh siap nak bawa ke Hospital KPJ Klang. Tak boleh nak tunggu lagi dah sebab batuknya memang bunyi dah lain macam. Tak pernah dia batuk macam tu. Terus ambil barang yang mana patut, sebab tentu-tentu kena tahan di wad nanti. Alhamdulillah hospital tak jauh, dalam 15 minit dah sampai. Dan tak ramai sangat orang di Unit Kecemasan.




Suami daftarkan anak, saya tunggu di kerusi. Jururawat yang melintasi saya, terus panggil masuk ke bilik rawatan sebab dia nampak anak macam sesak nafas bila batuk-batuk. Selepas ditimbang berat, bawa ke katil dan doktor bertugas datang.

Masa tu, anak saya demam sampai 39.2 C, doktor arahkan supaya diberi ubat punggung. Kemudian setelah bersoal-siasat macamana dan apa yang berlaku, doktor arahkan anak saya diberi rawatan guna nebuliser (pengewapan) untuk kurangkan bengkak.

Mula-mula kuat juga dia menangis, kemudian makin kurang agaknya sebab dah mula rasa lega. Dos yang awal jururawat yang wapkan, dos yang terakhir, doktor minta suami saya buat supaya anak saya lebih bertenang dan kurang menangis. Alhamdulillah dia lebih tenang bila abahnya sendiri yang wapkan.

Nebuliser
Kredit: intersurgical.co.uk

Tak lama lepas tu, pakar paedatrik datang. Dr Rosni Jamalludin. Pakar yang sama merawat anak saya sebelum ini. Jadi beliau tahu serba sedikit rekod kesihatan anak saya. Beliau memeriksa tekak anak saya, dan tunjukkan pada saya juga. Katanya, saluran pernafasan sempit dan merah sebab bengkak, sebab tu batuknya berbunyi begitu.

Dan ini merupakan jangkitan virus, berbeza dengan tonsilitis, yang disebabkan oleh bakteria dan dirawat dengan antibiotik. Jangkitan berlaku bukan sekadar pada tekak tapi hingga ke dalam (windpipe). Tonsililitis berlaku di tekak (yang saya faham). Dan rawatan nebuliser yang diberikan juga berbeza daripada rawatan untuk buang kahak, kaedah yang sama tapi menggunakan bahan yang berbeza.

Perbezaan jangkitan bakteria dengan virus pada tekak.
Kredit: tabletsmanual.com

Alhamdulillah setelah menunggu lebih sejam, baru ditempatkan di wad. Maka, bermulalah episod berkampung di hospital...

Komen: Setakat ini, saya dan suami puas hati dengan servis hospital ini. Doktor dan jururawat kebanyakan peramah dan ok. Dan pernah seketika hospital ni tak ada elektrik. Pelik kan? Tapi mujur ada lampu kecemasan dan elektrik disambung semula dalam 20 minit :)



Berkampung di Hospital

Semalam anak saya masuk wad. Teruk batuknya dan demam. Maka berkampung lah saya dengan suami di Hospital KPJ Klang hujung minggu lepas :-(

Anak-anak kalau dah sakit, selalunya tak berselera makan tapi anak saya memang nak makan, cuma tak boleh nak makan saja sebab tekaknya sakit. Dia cakap 'nak' bila tengok nasi tapi bila dah masuk mulut, terbatuk2 sebab sakit.

Hampir 2 malam di hospital, alhamdulillah anak saya boleh makan dan berselera nampak makanan. Sarapan semalam, bijirin dengan susu, habis dimakan dan minta tambah lagi. Makan tengah hari, nasi putih stim dengan ikan tenggiri masak kicap dan kacang pis yang saya tak pasti masakannya apa. Macam kacang pis campur susu/krim begitu. Anak saya taknak kacang pis tu. Saya pun tak lalu nak makan...

Suami saya ada belikan chicken chop juga masa tengah hari tu. Jadi, anak saya makan sikit ayam dan kentang lenyek. Makan malam yang disediakan hospital, nasi putih stim, filet ikan goreng rangup dan butiran jagung dengan kacang merah.

Dapat juga idea baru menu anak bila duduk kat hospital ni. Cuma ada yang dia nak, ada yang dia tak nak. Tapi sekurang-kurangnya saya boleh cuba menu yang dia suka semasa di sini :-)

Sarapan hari ni, saya pilih roti dengan mentega dan jem serta telur rebus. Harap-harap nak lah anak saya makan.

Semoga anak saya cepat sembuh dan dapat discaj secepat mungkin. Walaupun selesa di wad dengan semua tersedia, tapi di rumah juga tempat yang paling selesa.


posted from Bloggeroid

Sajian Ikan Bilis

Ikan bilis.

Salah satu sumber makanan yang mudah didapati dan ada di kebanyakan dapur kita. Selain daripada boleh dijadikan pelbagai lauk, ikan bilis juga ialah salah satu sumber kalsium selain susu dan bahan tenusu lain. Jadi, ibu yang mengandung dan menyusu, elok juga makan ikan bilis ni untuk ganti bahan tenusu. Tapi, ikan bilis ni masin...jadi kena kawal juga pengambilannya.

Di pasar raya sekarang, macam-macam jenis ikan bilis ada. Pilihan saya selalunya ikan bilis siap kopek. Memang mahal sikit tapi berbaloi dan menjimatkan masa. Ataupun ikan bilis yang halus tu - ikan bilis jepun ke namanya. Goreng garing atau dimasukkan dalam sayur sedap tu.

Ikan bilis goreng bawang.
Sambal ikan bilis.
Sambal kering tempe, tauhu dan ikan bilis.
Ikan bilis masak taucu.
Pindang ikan bilis.
Ikan bilis goreng garing.
Jemput-jemput ikan bilis.
Bubur nasi ikan bilis dan sawi.

Kalau stok bahan basah dah habis di rumah, antara lain ikan bilis lah yang saya cari. Selain dijadikan lauk, ikan bilis juga ialah perasa yang sering digunakan (macam kiub ikan bilis).

Ikan bilis, sebelum dimasak seeloknya dibuang kepala dan perut. Lebih bersih.

Anak saya, antara kegemarannya, bubur nasi ikan bilis. Biasanya ikan bilis tu ditumbuk halus atau dicincang. Ada juga ibu yang buat serbuk ikan bilis. Bila nak makan, tabur je atas bubur anak. Lagi senang.

Serbuk Ikan Bilis

Bahan:

Ikan bilis (direndam seketika atau beberapa jam, kemudian ditoskan)

Cara nak buat:

1. Panaskan kuali.
2. Masukkan ikan bilis. Goreng tanpa minyak (sangai).
3. Sangai hingga garing.
4. Angkat dan sejukkan.
5. Kisar ikan bilis sehingga halus.
6. Simpan dalam bekas. Sedia untuk dimakan.

Selain ditabur atas bubur, boleh gaul dengan nasi, atau masukkan dalam sup.

Petua praktikal: Goreng banyak-banyak, simpan buat stok. Bila-bila masa nak guna, ambil saja.

Resipi Telur Mata dengan Kacang Panggang

Selalunya bila hampir ke hujung minggu ni, dah kering idea ummi nak masak apa untuk anak bujang dan suami. Kalau dah tak ada idea, saya selalu akan tanya idea suami sebab dia boleh cadangkan menu yang dia nak makan. Kalau tak, saya masak ikut apa yang saya nak makan dan apa yang saya fikir anak saya nak makan :)

Jadinya, semalam, lauk basah dah habis. Maka beralih ke antara satu lauk yang menjadi kegemaran kebanyakan orang - telur. Telur ni pun kadangkala macam kentang juga, lauk di waktu kecemasan dan cepat nak dimasak. Juga boleh dipelbagaikan jenis masakan.

Hasil makan malam semalam - telur mata dengan kacang panggang diiringi sayur campur goreng.

Saya tak pernah makan telur mata masak dengan kacang panggang ni sehingga kahwin, suami yang perkenalkan. Kalau makan berasingan, dengan roti dan sosej macam ni, memang selalu.

Contoh English breakfast
Kredit: stock.xchng

Tapi dijadikan lauk dan dimakan dengan nasi, memang tak biasa. Tapi bila dah beberapa kali buat (senang pula tu), menu ni dah jadi antara menu kegemaran di rumah.


Telur Mata dengan Kacang Panggang

Bahan-bahan:

Telur
Kacang panggang dalam tin
Bawang merah (dimayang)
Bawang putih (dihiris)
Bawang besar (dipotong bulat)
Cili hijau

Cara nak masak:

1. Goreng telur. Ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak. Tumis bawang merah dan bawang putih.
3. Masukkan kacang panggang beserta kuah tomatonya sekali.
4. Kacau sebati, kecilkan api.
5. Masukkan bawang besar dan cili hijau. Gaul rata.
6. Tutupkan api.
7. Curahkan kacang panggang ke atas telur. Siap.

Telur mata
Kredit: stock.xchng

Kacang panggang
Kredit: theguardian.com

Cili hijau, kalau tak masukkan pun tak apa. Tapi kalau masukkan pun, rasanya tak terlalu pedas. Saya tak masukkan air, sebab taknak kuahnya terlalu berair. Tapi kalau nampak kering sangat, boleh saja tambah air sikit.

Saya cuba suapkan kat anak, kacang panggang tu, tapi diluahnya balik. Tak kena selera dia agaknya. Jadi saya dengan suami lah yang beria-ia makan. Nasib baik dia nak meratah sayur campur dan makan nasi sikit-sikit. Nak makan sendiri lah katakan :)

Petua praktikal: Telur mata nak diganti dengan telur dadar pun boleh. Lagi cepat.

Buku Mama, Saya Lapar... oleh Wardina Safiyyah

Dalam merancang dan menambah ilmu tentang pemakanan anak ni, sumber saya bukan sahaja daripada internet, tapi juga daripada buku. Salah satu buku yang menjadi rujukan saya tentang pemakanan anak adalah buku yang ditulis oleh Wardina Safiyyah - Mama, Saya Lapar...

Selain banyak tips dalam menangani masalah pemakanan anak, terdapat juga bab tentang penyusuan ibu dan resipi menarik yang dikongsikan.

Saya dah lama tahu tentang buku ni, dan memang nak beli. Tapi tak juga ke kedai buku. Hinggalah satu hari, saya borak-borak dengan Zenty, kawan baik saya, bagus buku ni katanya. Akhirnya, saya belilah secara online, melalui MPH Online. Kadang-kadang belian secara online ni lebih murah. Dan buku ni sampai ke rumah pun cepat.

Wardina Safiyyah - Mama, Saya Lapar...
Dalam buku ni, selain pengalaman Wardina menguruskan pemakanan anak-anak beliau, ada juga tips, panduan dan nasihat daripada pakar pemakanan dan pakar penyusuan. Saya rasa buku ni agak lengkap bagi ibu-ibu muda (macam saya) untuk merancang pemakanan anak dari mula makan makanan pejal hingga masuk sekolah. 

Pada saya, buku ini mungkin lebih dekat dengan saya, berbanding buku pemakanan anak-anak lain yang ditulis oleh pakar pemakanan Barat. Pendekatan yang digunakan berbeza daripada apa yang kita ada di sini, dan kadangkala resipi yang diketengahkan tidak menepati citarasa orang kita atau Asia, melainkan kita mengubah sedikit resipi tersebut mengikut citarasa kita. Berbanding resipi dan tips dalam buku ni, yang mana kebanyakan situasi dan resipi yang dikongsikan sesuai dan praktikal untuk kita di sini.

Selain maklumat yang banyak, susun atur buku juga sangat menarik dan berwarna-warni. Kita tak bosan nak membaca dari mula hingga habis :)

posted from Bloggeroid

Resipi Bebola Ayam Homemade

Suka makan bebola? Pernah cuba buat sendiri?

Nak membuat bebola ayam sendiri tak susah sebenarnya, tambah lagi kalau bagi yang ada chopper blender di rumah. Mudah dan terjamin kebersihan serta halalan toyyiban. Saya pun tak pernah buat sebelum ni, tapi terinspirasi daripada buku Wardina, ada resipi bebola ikan. Jadi saya guna resipi yang sama, cuma tukar bahan ikut apa yang ada di dapur saya.

Kalau nak cuba, boleh jenguk cara macam di bawah ni. Sebenarnya, ni percubaan kedua saya, versi tambah baik daripada percubaan pertama.

Bebola Ayam Homemade

Bahan-bahan:

Isi ayam (bahagian dada, senang sikit tak perlu nak debone)
Sayur campur beku (lobak merah + kacang pis + jagung)
Tepung gandum (tepung jagung sepatutnya)
Telur
Garam
Lada sulah
Daun bawang (dihiris)

Cara nak masak:

1. Kisar isi ayam dengan menggunakan chopper blender.
2. Masukkan sayur campur beku dan kisar lagi.
3. Masukkan tepung sikit-sikit. Teruskan kisar.
4. Masukkan telur. Kisar lagi.
5. Kalau nampak berair, boleh tambah tepung lagi, juga sikit-sikit. Kisar.
6. Tambah garam, lada sulah, hirisan daun bawang.
7. Ambil adunan, bentukkan bebola.
8. Rebuskan bebola dalam air mendidih.
9. Bila bebola dah terapung, boleh angkat dan ketepikan.

Bebola ni boleh dibuat sup atau hidangan pasta. Suami dan anak saya semalam meratah bebola ni dengan pasta. Untuk lebih praktikal, buat banyak-banyak, sejukkan dan masukkan dalam bekas, simpan dalam peti sejuk. Nak masak, ambil saja.

Petua Masterchef: Masa kisar ayam, masukkan sikit lemak ayam supaya bebola lebih 'moist'.

Bebola Ayam Homemade

Kentang yang Universal

Salah satu makanan yang paling anak saya suka - kentang. Saya kira kebanyakan kanak-kanak pun suka kentang, orang dewasa pun sama.

Kentang goreng.
Kentang lenyek.
Kentang dalam sup ayam.
Kurma ayam letak kentang.
Kentang bakar berkeju.
Sup kentang dan telur.

Antara menu-menu kentang.

Kentang salah satu makanan yang kita boleh pelbagaikan cara masakannya. Nak goreng, nak rebus, nak bakar, nak masukkan dalam hidangan lain pun boleh. Boleh dikatakan hidangan kentang adalah universal. Dan kentang juga antara bahan wajib yang ada di dapur saya. Anak saya berselera sikit kalau bubur ada kentang. Kadang-kadang boleh dibuat lauk waktu kecemasan.

Kentang ada pelbagai jenis, dan saya pernah terbaca dalam satu majalah masakan, setiap jenis kentang tu ada kekuatannya sendiri untuk hidangan yang tertentu berdasarkan rasa dan kandungan kanjinya. Insya Allah lain kali saya kongsikan tentang kentang dan masakan yang sesuai mengikut jenisnya.

Khasiat kentang, antaranya tinggi kandungan serat, baik untuk kesihatan kulit (kandungan vitamin C) dan baik untuk otak. Jadi, amat baik untuk perkembangan dan tumbesaran anak. Cuma kena kawal pengambilannya nanti anak obesiti pula.

Petua buku: Kentang adalah sumber terbaik dalam pembentukan zat besi dalam darah. Zat besi penting dalam penghasilan sel darah merah.



Makan dalam Perjalanan

Hujung minggu lepas, balik kampung di Sepang. Walaupun dekat, bila dengan anak kecil ni, kadang-kadang siapkan barang-barang macam nak balik beraya pulak.

Selalunya, biarpun dekat saja destinasi, suami saya selalu ingatkan bawa bekal sikit untuk anak makan dalam perjalanan. Kalau tiada bekalan dari rumah, kami akan singgah beli di stesen minyak atau 7-Eleven. Bukan apa, mungkin dalam perjalanan nanti kami tak sempat berhenti atau anak dah lapar sebelum sampai ke tempat yang dituju. Jadi, kami akan selalu standby makanan yang ringkas sebagai lapik perut.

Kali ini, sambil singgah stesen minyak untuk isi minyak kereta, suami saya beli Gardenia Delicia Waffles - Fresh Egg Vanilla. Kadang-kadang beli roti krim, biskut atau mufin - yang mana mudah nak makan dan dikendalikan semasa kereta bergerak. Dan air masak, memang sentiasa ada dalam beg tangan saya. Anak saya ni kuat minum air masak.

Kalau kita sempat sediakan apa-apa makanan dari rumah, contohnya nasi goreng atau sandwic, untuk anak yang lebih besar mungkin sesuai. Bagi anak yang masih  menyusu badan, boleh saja nurse on the go dan kalau yang minum susu formula, saya kira ibu sudah siap bancuhkan satu botol yang sedia untuk diminum.

Walau apa pun caranya, pastikan anak kita dapat makan walaupun sedikit sebab anak kecil kan cepat lapar dan mudah mengamuk dan meragam bila lapar. Jadi, dalam beg tangan ibu-ibu selain barang sendiri, terpaksa selitkan snek!

Resipi Bubur Nasi Wan

Bubur nasi memang sinonim dengan anak-anak, kan? Dan bubur nasi juga antara salah satu makanan terawal yang diperkenalkan sejak bayi sudah mula mengambil makanan pejal.

Saya terpaksa mengaku di peringkat awal anak saya belajar makan makanan pejal, saya memang tak pandai masak bubur nasi. Maksud saya, bubur nasi untuk bayi. Sentiasa tak menjadi. Asyik salah teknik, seterusnya satu periuk bubur masuk tong sampah.

Hinggalah satu hari, mak mertua saya masakkan bubur nasi untuk cucunya ni. Laju sungguh anak saya makan, dan memang sedap pun bubur nasi tu. Sebenarnya satu keluarga pun tumpang makan sama sampai licin!

Bubur Nasi Wan

Resipinya mudah saja, dan sejak saya masak bubur sebagaimana mak mertua saya (anak saya panggil nenek dia Wan) masak, insya Allah habis semangkuk juga anak saya makan. Tapi mula-mula tu tak menjadi juga, rupanya jenis beras yang diguna tak sama menyebabkan hasil dan rasa bubur juga berbeza.

Resipi Bubur Nasi Wan

Bahan-bahan:

Beras wangi (basuh dan ditoskan)
Air
Isi ayam (dicincang)
Bawang besar / bawang merah (dimayang)
Bawang putih (dihiris)
Kentang (diparut/ dipotong dadu)
Lobak merah (diparut/ dipotong mancis/ dipotong bulat)
Mentega/ Marjerin

Cara nak masak:

1. Cairkan mentega, masukkan bawang-bawang. Tumis hingga layu dan naik bau.
2. Masukkan ayam cincang, biar masak sebentar.
3. Masukkan beras yang telah ditoskan, gaul rata.
4. Masukkan air.
5. Masukkan kentang dan lobak merah. Kacau.
6. Tutupkan periuk. Kacau sekali-sekala. 
7. Bila bubur hampir pekat, kacau lagi supaya beras hancur. 
8. Perasakan dengan garam (kalau anak dah diperkenalkan dengan garam).

Gambar di atas adalah bubur nasi versi ummi, yang ditambah dengan brokoli. Nak tambah sayur lain pun boleh, tak ada masalah. Nak ganti ayam dengan protein lain pun boleh (ikan atau daging). 

Petua mak mertua: Kentang dan lobak merah tu, parutkan saja. Cepat masak.




Kenapa Tajuk Pemakanan yang Dipilih?


Itulah antara soalan yang ditanya cikgu blog saya sewaktu saya senaraikan lima cadangan tajuk blog; yang mana empat daripadanya berkisar tentang pemakanan.

Saya bukanlah seorang yang berlatarbelakangkan bidang pemakanan, tapi saya minat bab ini. Cita-cita saya dulu salah satunya nak jadi ahli dietetik tapi arwah ayah saya tak setuju saya ambil bidang tu di universiti. Jadinya tinggal minat sahajalah. Selain minat, saya juga rasa penting untuk kita ambil tahu apa yang kita makan dan apa yang kita perlu atau tak perlu makan. Kadang-kadang kita rasa kita makan sedikit saja, tapi yang kecil boleh beri impak yang besar dalam badan kita.

You are what you eat.

Saya mula belajar mengira kalori sewaktu nak mengawal berat badan dulu sebelum kahwin. Dan kemudian, pengetahuan tentang kalori dan amalan diet yang betul semakin berkembang bila saya terpaksa masuk kelas diabetes disebabkan saya mengalami Gestational Diabetes Mellitus (GDM), iaitu diabetes semasa mengandung. Kelas tersebut menekankan cara pemakanan yang betul bagi ibu-ibu GDM dan kami dibekalkan satu booklet panduan pemakanan untuk merancang diet yang betul sepanjang tempoh mengandung. Banyak yang saya belajar dan saya mengaku ada sebahagian amalan tu masih lagi saya ikut, sebab dah biasa.

Kini, bila dah ada anak, yang sudah mula pandai meneroka makanan, saya lebih-lebih lagi mencari maklumat berkaitan makanan dan saya rasa seronok tengok menu dan resipi menarik ibu-ibu lain yang mereka dikongsikan.

Saya memang berniat untuk memasak sekerap yang boleh di rumah supaya anak dan suami saya makan makanan homemade. Tapi kadang-kadang terdapat juga kekangan masa dan situasi yang menyebabkan kami terpaksa beli makanan luar, tetapi perlulah pandai memilih menu untuk anak juga. Pilih dengan berhemah, begitu.

Disebabkan inilah, blog ini akan berkongsi tentang panduan praktikal pemakanan anak. Tentang bagaimana ibu-ibu tetap dapat memberi makanan yang terbaik untuk anak walaupun sekadar menu ringkas dan mudah; tetapi dalam masa yang sama praktikal buat ibu-ibu yang berkerjaya dan sibuk. Jika kita terpaksa membeli makanan di luar sekalipun, pilih jenis makanan yang bersesuaian dengan anak. Yang penting praktikal dan terkawal.

Anak saya pernah alami kekurangan berat, jadi saya dan suami cuba macam-macam cara untuk menaikkan selera dan minatnya untuk makan. Alhamdulillah ada yang menjadi, ada juga yang tidak. Kami sama-sama masih lagi belajar untuk pancing minatnya untuk makan dan dalam masa yang sama mendapat semua nutrien yang diperlukan untuk tumbesarannya. Mujur suami saya kreatif dan bijak membaca selera anak kami. Setakat ini, alhamdulillah.

Saya mengharapkan apa yang saya akan kongsikan berdasarkan pengalaman saya tentang pemakanan kepada anak ini dapat memberi input yang positif kepada ibu-ibu lain. Saya juga banyak belajar daripada ibu-ibu yang lebih berpengalaman di luar sana. Walaupun dengan ilmu yang sedikit, sama-samalah kita kongsikan.

Semoga bermanfaat. Insya Allah.


Selamat Berkenalan

Assalamualaikum & selamat berkenalan.

Saya Hifzaila, tapi lebih senang dipanggil Zaila sahaja (sama pula nama dengan cikgu blog saya ni - Zaila Mohamad). Seorang ibu yang mempunyai anak baru seorang berumur 1 tahun 3 bulan. Alhamdulillah. Bersuamikan rakan sekelas di kolej dan sudah berkahwin lebih 2 tahun. Asal saya dari Pulau Pinang, tetapi kini menetap di Shah Alam. 

Saya, lepas graduasi, bekerja sebagai editor buku-buku rujukan sekolah. Hinggalah selepas melahirkan putera sulung, saya bercuti hampir setahun menjaga anak, menguruskan rumah tangga dan bekerja 'freelance' dari rumah. Semasa anak saya 10 bulan, saya masuk bekerja pejabat semula sehingga kini. Walaupun sudah hampir 5 bulan bekerja 'office hours' begini, saya masih ingin kembali bekerja di rumah seperti dulu, yang mana saya bebas menentukan jadual saya sendiri tanpa terikat kepada komitmen pejabat melainkan bos di rumah sahaja (suami saya). 

Menulis blog sudah menjadi amalan saya sejak dulu lagi. Saya memang gemar berkongsi hal-hal yang saya lalui setiap hari dan pandangan saya terhadap sesuatu perkara dengan kawan-kawan yang sudi singgah di blog. Cuma apabila sudah berkeluarga dan mempunyai anak ni, cerita saya banyak berkisar tentang perkembangan sehari-hari sahaja. Tujuan menulis hanyalah untuk simpanan sendiri dan buat kenangan. 

Sebenarnya saya terinspirasi menulis blog daripada minat membaca blog Encik Ahmad Izham Omar, yang sewaktu itu masih lagi CEO di 8TV. Kini beliau ialah CEO Prime Works Studios (Media Prima). Tulisan santai beliau kelakar dan menarik untuk dibaca. Bila dah selalu baca tulisan beliau, saya pun mula rasa nak menulis juga. Saya bermula di Friendster, seterusnya Wordpress dan kini Blogspot. 

Saya memang suka menulis, tetapi saya fikir biarlah menulis sesuatu yang bermanfaat untuk orang lain juga. Kadang-kadang kita belajar hidup bukan dari buku sahaja, belajar daripada pengalaman lebih berharga. Biar pengalaman sendiri atau pengalaman orang lain. Dan inilah rekod pengalaman saya; dicatat dalam blog ini.

Saya, sebagaimana ibu-ibu lain yang mempunyai anak kecil, memang mengambil berat tentang pemakanan anak-anak. Bermula daripada saat anak menyusu, memulakan makanan pejal hingga seterusnya; memerlukan seseorang ibu itu menambah pengetahuan, meneroka ilmu dan memilih corak pemakanan yang sesuai bagi setiap peringkat tumbesaran anak-anak.

Saya mengaku saya kurang ilmu dan tidak bersedia sepenuhnya ketika pertama kali menyusukan anak dan memulakan makanan pejal kepadanya. Terkial-kial mencari maklumat. Disebabkan itu, saya cuba untuk lebih banyak membaca tentang pemakanan kanak-kanak dan berusaha memberikan yang terbaik untuk anak saya.

Ibu-ibu, lebih-lebih lagi yang bekerja, tidak semua yang sempat nak sediakan makanan sendiri kepada anak setiap hari. Saya faham dan saya juga melaluinya. Bagi yang mampu, tahniah. Yang tidak, perlu pandai memilih makanan luar atau alternatif lain untuk anak. Jadi melalui blog ini, saya akan berkongsi cara saya dan suami menguruskan hal pemakanan anak secara praktikal iaitu yang sesuai dan mudah bagi ibubapa yang sibuk dan berkerjaya.

Saya belum menjadi ibu yang terbaik, tetapi tetap cuba memberikan yang terbaik. Saya harap dengan perkongsian pengalaman saya ini, saya dapat belajar dan meneroka dengan lebih jauh lagi tentang pemakanan anak dengan ibu-ibu yang lebih berpengalaman daripada saya. 

Sama-samalah kita berusaha memberikan pengalaman pemakanan yang indah dan terbaik untuk anak-anak kita membesar dengan sihat dan kuat! 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...