Minyak Sapi & Nasi Minyak Ringkas

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Saya tak mempunyai begitu banyak kenangan buka puasa dan sahur semasa kecil, entah saya kurang pasti memorinya hilang ke mana.

Yang diingati hingga kini, sahur dengan minyak sapi dan telur goreng.

Makan di awal pagi, biasa kita mahu yang ringkas dan pantas sahaja. Biarpun hanya nasi panas, digaul bersama sedikit minyak sapi, berteman telur dadar atau telur mata kerbau, aromanya sudah cukup membangkitkan selera. Sesekali dimakan bersama ikan masin atau papadom.

Ya, dulu-dulu kita tak ada memikirkan sangat minyak sapi tak bagus atau lebih baik elak nasi putih semasa sahur, yang kita tahu kita makan untuk berpuasa waktu siangnya.

Sebenarnya minyak sapi yang diguna tidaklah banyak, sekadar 1 teh sahaja sudah memadai. Bila bergaul dengan nasi panas, harum minyak sapi sangat menyelerakan.

Saya bersahur di rumah adik di awal Ramadan lalu. Sahurnya, dia makan nasi putih digaul vanaspati diiringi telur dadar.

Rindu betul bersahur begini. Saya pun sempat habiskan sepinggan nasi.

Rupanya ada alternatif kepada minyak sapi iaitu vanaspati. Vanaspati ialah lemak sayuran manakala minyak sapi bersumberkan haiwan (lembu). Kedua-dua bahan ini banyak digunakan dalam masakan India.


Semalam, untuk melepaskan kerinduan, saya beli setin kecil minyak sapi QBB. Hajatnya mahu dibuat makan sahur. Tapi sudahnya semalam saya buat nasi minyak ringkas. Bertambah-tambah anak makan. Seronok tengok sebab Fuaad jenis sedikit cerewet makan.

Untuk nasi minyak ringkas yang saya buat semalam, ini resipinya kalau mahu cuba.

Nasi Minyak Ringkas


Bahan-bahan:


2 sudu minyak sapi
2 cawan beras, dicuci dan ditos
1/2 labu bawang besar India, dihiris halus
3 ulas bawang putih, dihiris halus
1 kulit kayu manis
2 buah pelaga
3 bunga cengkih
1 bunga lawang
Sedikit garam
2 1/2 cawan air

Penyediaan:


1. Panaskan minyak sapi, tumiskan bawang besar dan bawang putih hingga harum.
2. Masukkan kulit kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih dan bunga lawang.
3. Masukkan air dan garam, kacau rata.
4. Masukkan beras, kacau sekejap. Biarkan nasi masak dengan api perlahan.
5. Air nasi dah hampir kering, buih-buih atas nasi sudah hilang, tutupkan periuk.
6. Tutup api selepas 2-3 minit. Kemudian buka penutup dan karihkan nasi bahagian atas supaya masak sekata. Tutup semula. Nasi boleh dihidang selepas 10-15 minit.


Nasi ini sesuai dinikmati semasa berbuka, atau jika ada tetamu tiba-tiba datang, sebab cepat dan mudah nak dibuat. Kalau ada kismis, boleh juga masukkan sebagai hiasan.

Selamat mencuba!