Mak Anak Tiga

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Tak dinafikan sejak beranak tiga, saya memang mudah naik angin. Mudah sungguh darah mendidih. Lantang sungguh jadinya suara.

Masakan tidak, tiga anak, tiga kerenah, tiga fiil dan tiga macam kisah.

Jika dulu masih mampu berlemah berlembut, kini kalau masih mampu sekalipun, dalam keadaan mengetap bibir menggenggam kuat lima jari penumbuk menahan sabar.

Fuaad yang menginjak usia enam, sudah mampu jadi teman bersembang. Teman berdebat dan berhujah. Kenapa itu kenapa ini? Ummi perlu lebih bijak untuk menjawab.

Faheem yang sudah berusia tiga, agresif, aktif. Masih pelat bercakap. Manis bila bermood baik. Masam kelat geram bila mood ke laut. Kalau kenyang, cukup rehat tidurnya, sihat badannya, segalanya lancar. Jika tidak, bertabahlah dengan tangisan yang sukar ditenangkan. Dia Allah hantar sebagai ujian. Ujian untuk kami bina sikap sabar dan tenang. Kebanyakan ketika masih tewas. Mencuba terus lagi supaya Allah kurniakan kekuatan untuk didik anak aktif ini.

Faathiya makin hampir ke usia dua. Bakal tiba ke penghujung tempoh penyusuan. Ligat dan lasak, betapa laju kaki berjalan. Pantas belajar. Tak cerewet makan. Kesayangan semua atas status puteri tunggal. Peneman ummi.

Lelah sungguh membesarkan anak kecil. Usia rapat-rapat pula.

Terbaca tadi kisah seorang ibu yang belum bersedia menerima cahaya mata ketiga, dek anak pertama masih kecil dan anak kedua masih menyusu.

Saya faham benar. Been there done that.

Bukan kita tak sayang atau jauh sekali menolak rezeki, cuma situasi belum cukup membenarkan. Namun digagahi jua teruskan kandungan dan berdoa semoga semuanya baik belaka dan Allah berikan hikmah terbaik buat keluarga dan diri kita sendiri.

Menyenang dan menyedapkan hati di saat anak buat perangai dan menguji hati dan iman, dengan bersyukur Allah kurniakan mereka ini dalam hidup kami.

Sedang ramai lagi yang ingin merasa pengalaman mengandung, morning sickness, sakit kontraksi, proses melahirkan, berpantang dan membesarkan darah daging, kita sudah melaluinya berkali-kali. Walaupun perit, diganjarkan setiapnya pahala. Syukur juga atas semua pengalaman itu.

Ada anak, ujian. Tiada anak juga ujian. Apa saja yang berlaku kita mohon Allah tidak memberatkan kita dengan sesuatu yang tidak kita mampu tanggung dan hadapi. Semoga semuanya menjadi asbab kita ke syurga.

Gambar adalah petikan cara didikan Tun Mahathir dan Tun Hasmah, yang diambil daripada buku biografi Tun Hasmah sendiri, Nama Saya Hasmah terbitan Alaf 21. Sebagai rujukan sendiri dan sesiapa yang membaca.