Ramadan Kareem 1439H/2018

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Salam 1 Ramadan.

Alhamdulillah diberi peluang untuk berjumpa lagi dengan bulan puasa tahun ini. Semoga dikurniakan kesihatan yang baik untuk teruskan hingga akhir dengan jaya.

Suami dan anak tadika bercuti hari ini.

Sesudah sahur dan Subuh, langsung dua beranak tu ke pasar.

Hasil 'tangkapan' di pagi 1 Ramadan, ayam segar, petola, lobak putih, terung panjang, tempe, tofu telur, sawi batang putih dan kacang bendi.

Buat Faheem dan Faathiya yang kurang sihat, niatnya hari ini mahu siapkan sup ayam dengan petola dan cendawan.

Buat kami yang berpuasa, cadangnya ayam bakar atau goreng. Ayam sudah siap diperap bersama serbuk kunyit, garam, serbuk rempah kari dan rempah kurma.

Entah apa rasanya, pertama kali cuba kombinasi perapan rempah begini. Siap diperap, simpan dalam peti sejuk. Sedia digoreng menjelang Maghrib nanti.

Panaskan sambal kosong lebihan masa buat nasi lemak tempoh hari.

Cukuplah juadah berbuka, ayam bakar/goreng, sup ayam petola cendawan dan sambal.

Hari ini hari pertama Fuaad belajar puasa. Semoga baik-baik sahaja.