Pasca Pilihan Raya Umum 14

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Berdiskusi tentang politik, pemimpin negara, pilihan raya dan yang seumpamanya, antara momen dengan arwah ayah yang paling saya rindukan.

Paling selesa berbincang bab politik dengan ayah. Mendengar pandangannya, pendapatnya tentang senario politik, sejarah dan isu semasa. Boleh tanya atau cakap apa saja tanpa ada rasa serba salah.

Kalaulah ayah masih ada.

Pilihan raya umum ke-14 tahun 2018 ini memang mengukir sejarah terbesar apabila pakatan yang telah lama menjadi kerajaan akhirnya tumpas setelah lebih 60 tahun diberi mandat.

Terkejut juga tapi itulah kuasa rakyat.

Kerajaan pimpinan Barisan Nasional akhirnya tumbang kali ini dan terpaksa beri laluan kepada kerajaan Malaysia Baharu oleh barisan kepimpinan Pakatan Harapan yang akan dikemudikan oleh negarawan yang tak asing lagi, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Secara peribadi, jauh dalam hati saya, sedih, teruja, gembira bercampur-baur juga.

Kejatuhan BN begini, beri impak juga pada saya.

Sebagai seorang yang membesar dalam keluarga UMNO, sedikit sebanyak sebak juga bila kesudahan pada PRU14 ni begini rupa.

Tapi itulah, UMNO zaman ayah dah tak sama dengan zaman anak-anak ayah. Kalau ayah ada lagi zaman ni, mesti sedih.

Kebanyakan yang menolak kerajaan lama sebab dah tak tahan. Paling tak tahan pada ketua kerajaan lepas.

Bila dia tak rasa nak berundur, masih lagi seronok nak pegang kuasa sedangkan rakyat tertindas, menikmati hasil mahsul negara untuk temolok sendiri - rakyat mana yang tak marah dan sakit hati.

Tapi itulah, Malaysia ni kira elok lagi mampu singkirkan ketua kerajaan korup melalui pilihan raya, sistem demokrasi. Dengan aman dan tenang.

Yang setia berjuang, bekerja dengan betul dan jujur sebenarnya masih wujud dalam UMNO. Dan pada mereka inilah kita harapkan dapat pulihkan imej dan kembalikan perjuangan yang asal.

Yang mulut puaka dan sombong, cakap ikut sedap hati saja, mengata orang sesuka hati, menyerang peribadi ni, buang sajalah.

Pada kerajaan baharu yang diterajui PH, kita harapkan ekonomi negara dapat pulih kembali dan rakyat kurang terbeban dengan benda yang bukan-bukan.

Dalam masa yang sama, nak tengok prestasi pembangkang juga.

Seronok ikuti update isu dalam negara sekarang ni selain lebih cakna dengan sejarah.