Ayah dalam Kenangan

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Ayah saya orangnya berprinsip. Biar hilang pangkat, jawatan tak mengapa asalkan prinsip terbela.

Ayah juga, berkeyakinan tinggi orangnya. Cuma ada masanya keyakinan diri yang tinggi sahaja tidak memadai tanpa memahami asas sesuatu perkara  sepenuhnya. Atas sebab itu, beberapa kegagalan berlaku sepanjang hidupnya.

Ayah suka menggembirakan orang. Lebih lagi budak-budak. Pernah ayah tak lupa belikan biskut Chipsmore untuk seorang daripada cucu saudara setiap kali berziarah ke rumahnya. Anak cucu jiran, biasa dibelikan kuih atau kandi.



Kehilangan ayah memberi impak agak besar. Hilang suntikan motivasi, keyakinan diri jatuh menjunam. Keberanian menghadapi sesuatu cabaran makin menurun. Saya percaya asbab sudah tiada ayah untuk mendoakan.

Hilang kekuatan terbesar, penyokong tegar.

Hari-hari akhir ayah tak boleh bersuara dek saluran oksigen yang dimasukkan ke dalam mulut. Hanya renungan mata sewaktu dalam ambulans dalam perjalanan pulang ke rumah dari hospital yang berkata-kata, seolah mengatakan,

"Jaga diri baik-baik, ayah pergi dulu, ayah sayang semua."

Ayah kembali ke rahmatullah pada senja 31 Mei 2006, sesudah azan Maghrib.

Tenanglah dia di sana, semoga diampunkan dosa dan dirahmati rohnya sentiasa.

12 tahun sunyi yang tak dapat digambarkan.