12 Ramadan

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Lagi 20 minit sebelum Fuaad mula kelas, abahnya beritahu tak sempat balik dan hantar dia ke tadika.
Tengah dalam mesyuarat. Maka kalutlah saya nak bersiap sedia. Mujur Fuaad dah pandai siapkan diri sendiri. Mandi sendiri, pakai baju sendiri, kemas beg, pastikan kopiah dan tag nama dibawa bersama walaupun ada ketika perlu diingatkan juga.

Si kecil berdua, angkut sahaja. Cuma baby carrier ada dalam kereta, terpaksalah saya dukung Faathiya. Sebelah tangan mendukung, sebelah lagi memimpin tangan Faheem.

Mujur si kecil berdua tu banyak beri kerjasama dan Fuaad pun tolong bantu tengokkan Faheem. Yang mencabarnya, tengah hari tu panas agak terik juga, kasihan anak-anak. Saya dah kalut-kalut, lupa nak ambil topi atau apa-apa kain penutup kepala. Yang penting sempat sampai tadika sebelum loceng berbunyi.

Alhamdulillah sempat sampai 3 minit sebelum loceng dibunyikan. Itupun sempat lagi Fuaad berdrama air mata, tak mahu masuk kelas tapi nak ikut ummi balik.

Semacam ada satu fi'il, bila saya yang hantar ke tadika, mesti menangis nak ikut balik. Kawan-kawan dia pun beriya tanya, acik kenapa Fuaad menangis? Dah sudah, acik pun tak tahu kenapa, nak.

Tapi alhamdulillah selepas loceng berbunyi, cikgunya pujuk dan bawa masuk kelas. Saya dan di kecil berdua balik semula dalam panas terik ceng ceng.