Jadual Ibu Suri Rumah Bekerja

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Sedang menunggu kain baju dikeringkan dalam mesin basuh. Sambil tu menyusu anak. Alhamdulillah, menjelang 1 tahun 6 bulan, si kecil masih direzekikan menyusu badan. Semoga berterusan hingga umur 2 tahun.

Sepanjang minggu ini, alhamdulillah serasa aman tenang sikit kepala bila dapat selesaikan kebanyakan kerja rumah seawal pagi, sebelum anak-anak bangun.

Isnin dan Selasa lepas berpuasa sunat. Cuba biasakan diri menjelang Ramadan nanti. Alhamdulillah, kebanyakan kerja lebih mudah dan tersusun. Rabu dan Khamis berehat sekejap, insya-Allah nanti sambung puasa lagi. Sebanyak mana yang mampu.

Rutin harian di rumah, selalu mahu buat jadual sendiri asyik tak menjadi. Sudahnya ikut rutin mak mentua (yang mana sesuailah).

Jam 6.30 ke 7.00 pagi, masukkan baju ke dalam mesin basuh.

Lepas tu kemaskan dapur. Basuh pinggan yang berbaki kalau ada, panaskan lauk-pauk, susun pinggan mangkuk yang dah kering, sarapan ringkas.

Kemudian teruskan dengan sapu lantai, kemas mainan dan buku anak, lipat kain.

Target setiap hari, jam 10.00 pagi dah siap sedia untuk ajar anak. Ada hari ajar Iqra', ada hari ajar membaca, ada hari ajar menulis. Cukup setengah jam, lebih kurang jam 11 ke 11.30 pagi, mula masak makanan tengah hari pula. Biasa lauk untuk makan malam sekali. Jadi saya tak perlu masak berkali-kali.

Penat! Huhu.

Tengah hari, suami biasa akan balik makan. Kemudian Fuaad akan ke tadika. Jadi, waktu petang biasanya saya boleh rehat sekejap.

Boleh buat kerja freelance, tonton drama Korea, baca majalah atau buku. Kadangkala tidur sebentar kalau Faheem dan Faathiya tidur. Boleh recharge tenaga.

Sememangnya bila kerja rumah atau urusan keluarga diselesaikan dahulu, kerja lain seperti bisnes atau kerja sampingan akan jadi lebih mudah insya Allah.

Namun, terpulang juga bagi setiap ibu. Boleh rancang ikut keperluan masing-masing. Kalau mampu, urusan mengemas boleh diberi upah pengemas mingguan. Kain baju kotor boleh dihantar dobi atau dobi sendiri di kedai.

Yang penting, ibu bekerja di rumah dapat selesaikan urusan rumah tangga dan juga bisnes. Tiada jadual tetap, yang ada hanyalah panduan dan sesuaikanlah mengikut situasi sendiri.