Ulasan Kelas Asas Blog dan Penulisan (Puan Sharifah Maryam)

Tahniah Puan Maryam kerana telah selesai tugasan untuk Kelas Asas Blog dan Penulisan.

Sebanyak 44 entri telah siap ditulis dalam jangka masa yang ditetapkan.

Puan Maryam mendaftar kelas ini setelah berhenti kerja dan ingin serius menulis, di samping menjana pendapatan dari rumah melalui blog.

Ikuti ulasan kelas daripada beliau.

----

Alhamdulillah berakhir sudah penulisan sesi cabaran 44 entri selama 20 hari yang di anjurkan oleh Akademi  Bekerja Di Rumah (ABDR). Terima kasih kepada Puan Masayu yang sudi beri tunjuk ajar kepada saya berkenaan penulisan asas blog. Tidak dilupakan juga Puan Hifzaila yang memperkenalkan akademi ini. Walaupun sebelum ini saya sudah memiliki blog, tetapi saya kurang arif menulis dengan betul dan kadang-kadang hanya mengambil sumber info dari website lain sahaja.

Catatan kehidupan harian adalah sangat dititiberatkan dalam kelas ini. Perlu ada buku catatan hidup. belajar menulis cerita hidup setiap hari supaya kita dapat memahirkan diri dalam penulisan. Dengan penulisan, bermacam-macam pengalaman, aktiviti harian serta apa sahaja yang terlintas dipikiran kita boleh dicatat dan dijadikan sebagai sumber inspirasi penulisan.

Tidak dinafikan, saya bukan jenis yang pandai mencatat dengan kemas. Buku nota tidak pernah tersusun cantik. Mesti ada langkau-langkau atau catatan bercampur. Apapun cara kita catat tidak penting, yang penting hasil penulisan serta ideal yang menarik untuk terus menulis.

Dalam kelas ini juga, saya diajar bagaimana setiap hari perlu ada disiplin untuk menulis catatan setiap hari. Supaya kita sentiasa ada idea untuk menulis. Menulis mengajar saya untuk terus berjuang memantapkan diri dalam pelbagai seperti aspek kekeluargaan, pendidikan anak-anak serta berkongsi ilmu untuk menambah pendapatan sampingan keluarga.

Pemulaan menulis sememangnya banyak penggunaan bahasa percakapan sendiri serta gaya penulisan ejaan yang ringkas. Setelah dibiasakan menulis dan diberi tunjuk ajar, penggunaan bahasa yang betul dan tulisan penuh menjadi lebih mudah untuk saya menulis. Membuat catatan harian menjadikan saya lebih peka untuk setiap keadaan yang berlaku dalam kehidupan harian supaya dapat dicatat dan diceritakan balik dalam blog.

Seronok juga bila berada didalam kelompok surirumah. Dapat juga bertukar-tukar maklumat serta membaca coretan blog mereka. Tidak terasa sunyi atau rendah diri kerana tidak bekerja di pejabat dan berjawatan tinggi. Pelbagai bentuk pengalaman yang saya jumpa bila berada didalam ABDR ini. Tambahan pula Puan Masayu yang sememangnya memberi komitmen yang tinggi untuk saya berjaya menulis mengikut target dan matlamat yang hendak dicapai.

Setakat ini dahulu ulasan saya mengenai kelas blog ini. Sekian Terima kasih kerana sudi baca coretan saya.

-----

Berkenalan dengan Puan Sharifah Maryam di blog beliau:  http://puansharifahmaryam.blogspot.com