Program Housewives Enhancement and Reactivate Talent Scheme (HEARTS) 2018

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Mendapat jemputan ke sesi Taklimat dan Temuduga bagi program HEARTS minggu lepas merupakan peluang yang saya tunggu selama hampir 2 tahun.

Pada mulanya saya fikir sudah bukan rezeki saya atau program ini sudah ditamatkan, jadi saya tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi. Hinggalah menerima emel jemputan ke sesi ini awal tahun 2018, saya bersyukur rupanya program ini masih ada dan saya terpilih.

Bermula dengan memberi pengesahan kehadiran melalui emel atau telefon, kemudian setiap peserta diberi info lanjut tentang sesi taklimat dan temuduga serta dokumen yang perlu dibawa.

Dokumen yang diperlukan:
1. Salinan kad pengenalan
2. Salinan sijil nikah/sijil cerai
3. Gambar pasport
4. Sijil akademik (Diploma dan ke atas)

Taklimat tersebut telah dijalankan di Wisma Human Resources Development Fund (HRDF), Damansara Heights, Kuala Lumpur.


Pendaftaran Sesi Taklimat

Pendaftaran peserta bermula seawal 8.00 pagi. Saya tiba sekitar 8.30 pagi dan tengok dah ramai peserta yang dah beratur untuk mendaftar.

Selesai mendaftar, peserta diberi satu nombor dan beg cenderahati daripada HRDF. Nombor yang diberi berfungsi sebagai 'angka giliran' untuk temuduga. Jadi, peserta yang mendaftar awal akan jalani temuduga terlebih dahulu.

Saya dapat nombor 19. Ok juga tak terlalu lama tunggu.

Lepas tu semua peserta ambil tempat dalam dewan dan tunggu taklimat bermula.


Taklimat dari HRDF

Wakil HRDF, Puan Farani memberi maklumat ringkas tentang program. Latar belakang, tujuan dan objektif program HEARTS dijalankan.

Program ni bermula dengan pengambilan pertama tahun 2013. Diperkenalkan khusus untuk suri rumah yang berpendidikan tetapi tidak bekerja.

Zaman sekarang kan ramai yang memilih untuk berhenti kerja penuh masa dan fokus pada keluarga atau buat bisnes/kerja online tanpa terikat dengan majikan dan waktu kerja tetap.

Program ini direka supaya suri rumah berpendidikan boleh jana pendapatan dengan kemahiran dan pengetahuan yang ada, diberi latihan yang ditaja oleh kerajaan.

Syarat untuk mohon program ini:
1. Wanita berumur 25 hingga 60 tahun
2. Berkahwin atau ibu tunggal
3. Mempunyai pendidikan Diploma atau ke atas
4. Tidak bekerja secara aktif


Jenis Latihan yang Ditawarkan

Sebenarnya program ini ada 8 jenis latihan namun tahun ini hanya 3 jenis latihan ditawarkan iaitu:

1. Translation, Editing, Proofreading
2. E-commerce
3. Social Media Management

Setiap peserta hanya perlu pilih 1 jenis latihan sahaja.


Modul Latihan

Program ini ada 3 modul. Modul 1 dan 2 adalah modul motivasi selama 2 hari. Diikuti Modul 3 (latihan yang dipilih).

Setiap peserta wajib hadir Modul 1 dan 2 untuk teruskan ke Modul 3.


Taklimat Translation, Editing, Proofreading oleh ITBM

Latihan ini dijalankan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Bagi Translation, kelas intensif berjalan selama 10 hari. Kelas Editing selama 4 hari dan kelas Proofreading selama 2 hari.

Semua kelas dijalankan di bangunan ITBM sendiri di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Peserta perlu hadir semua kelas untuk layak dapat sijil.

Antara kelas yang menjadi pilihan ramai peserta namun pihak HRDF akan menyaring dan memilih mengikut kelayakan dan kuota yang ada.


Taklimat E-commerce

Kelas berlangsung selama 4 hari dan dikendalikan oleh sebuah syarikat yang membekalkan servis latihan.

Peserta akan diajar untuk berjual secara online dengan menggunakan platform e-commerce.

Peserta akan didedahkan juga dengan teknik fotografi, copywriting dan membangunkan laman e-commerce sendiri.


Taklimat Social Media Management

Kelas berlangsung selama 6 hari. Peserta akan didedahkan dengan pelbagai platform social media dan menggunakannya sebagai medium menjana pendapatan.

Manfaatkan social media bukan sekadar sembang tapi sembang yang mendatangkan duit.

Penggunaan Facebook, Instagram dan sebagainya akan dimaksimumkan untuk membuat jualan.

Selain teori, peserta juga perlu buat secara praktikal dan belajar memperolehi hasil dari jualan.


Sesi Temuduga

Setelah selesai semua taklimat oleh HRDF dan pihak pembekal latihan, rehat sekejap.

Pihak HRDF sediakan minum pagi. Ada nasi lemak (sedap ya ampun) dan kuih-muih.

Lepas tu terus sambung ke sesi temuduga. Bermula dengan orang yang dapat nombor angka giliran 1 dan seterusnya.

Temuduga berjalan serentak 2 orang. Jadi cepat sikit habis.


Soalan semasa Temuduga

1. Apa yang dilakukan sekarang. Sama ada langsung tidak bekerja (stay at home mom), bekerja sambilan atau berbisnes online.

2. Kesesuaian latar belakang dengan jenis latihan yang dipohon.

Temuduga santai-santai saja untuk pastikan setiap peserta memilih jenis latihan yang betul dan sesuai. Bukan macam temuduga kerja tu ya.

Alhamdulillah sesi temuduga saya berjalan lancar dan ambil masa dalam 5 ke 10 minit sahaja. Lepas temuduga, dah boleh terus balik. Kemudian tunggu saja emel dari HRDF maklumkan keputusan temuduga.


Bawa Baby Bersama

Disebabkan anak masih menyusu dan suami menjaga lagi 2 orang anak, jadi saya bawa saja baby bersama.

Alhamdulillah dipermudahkan dan anak pun tak banyak meragam bahkan sangat memberi kerjasama.

Boleh saja bawa baby asalkan kita boleh kawal. Masa taklimat ni boleh lah, tetapi masa kelas nanti terpaksalah orang lain jagakan.


Permohonan program HEARTS

Saya kurang pasti bila sesi pengambilan seterusnya namun suri rumah yang berminat boleh saja terus mohon. Pihak HRDF akan saring dan pilih dan akan jemput bila mereka ada dana untuk jalankan program ini. Mana tahu ada rezeki kan.

Boleh ke link INI dan daftar ya.