5 Sebab Ibu Berhenti Kerja Dan Bekerja Dari Rumah

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Kebelakangan ini jumlah ibu yang berhenti kerja dan bekerja dari rumah semakin meningkat.

Saya salah seorang daripadanya.

Berhenti kerja tidak bermaksud berhenti membuat apa-apa pekerjaan melainkan ada isu tertentu seperti kesihatan atau keluarga. Namun, berhenti daripada bekerja 9 to 5 dan terikat dengan orang lain.

Saya berhenti kerja kerana tak tahan berulang alik dari rumah ke pejabat yang agak jauh. Perlu keluar rumah seawal pagi dan pulang lewat petang. Tambah lagi, ada masa kerja saya perlu overtime dan datang kerja hari Sabtu.

Saya mula fikir dengan anak sudah dua orang (waktu itu) dan makin membesar. Kerja begini sudah kurang sesuai untuk saya, lantas saya membuat keputusan untuk berhenti dan bekerja dari rumah.

Antara sebab lain ibu berhenti kerja atau terpaksa membuat pilihan tersebut, pada pandangan saya:

1. Komitmen kerja yang banyak mengorbankan keluarga contohnya masa. Ibu perlu balik lewat atau datang kerja di hujung minggu. Tiada masa untuk bersama keluarga.

2. Ahli keluarga atau diri sendiri sakit. Ada anak, suami atau ahli keluarga terdekat yang perlu dijaga. Kerap ambil cuti pun majikan tak suka juga.

3. Suami mampu sara kos hidup. Ada suami berkemampuan untuk sara keluarga, jadi isteri diminta berhenti kerja dan urus rumah tangga.

4. Mahu menjaga anak kecil sendiri. Tidak mudah memberi anak kepada pengasuh atau dihantar ke taska. Ada ibu yang sanggup berkorban kerjaya untuk menjaga dan mendidik anak sendiri.

5. Ingin menukar haluan. Mahu bekerja dengan waktu sendiri, tidak terikat dengan bos, melibatkan diri dengan bisnes.

Walau apa jua sebab berhenti, itulah yang terbaik. Orang mungkin tak faham keputusan kita. Yang penting kita tahu apa yang sesuai untuk diri kita dan keluarga.

Dan, ibu yang berhenti kerja boleh juga kembali bekerja jika keadaan memerlukan. Ibu boleh kerja dengan waktu yang fleksibel atau bekerja beberapa jam sahaja sehari. Bergantung pada majikan.