Pengalaman Hantar Anak Sulung ke Tadika

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Tahun ini tahun pertama anak ke tadika. Dan hari ini, sudah masuk tiga hari dia berpisah sekejap dengan ummi, abah dan adik-adik untuk belajar benda baru.

Tahun lepas, bila disebut sekolah, dia risau sangat. Mesti menangis dan nak ummi jaga kat sekolah. Waktu itu, tak boleh sebut fasal sekolah, satu hari muncung sedepa, merajuk tak nak sekolah.

Tiba ke penghujung tahun lepas, perlahan-lahan cerita pasal sekolah lagi. Pergi daftar pun bawa dia sekali bagi dia biasa dengan persekitaran sekolah. Ada juga sikit-sikit risau dia belum hilang tapi dah kurang merajuk.

Uniform tadika pun sengaja digantung awal bagi dia semangat. Bawa ke kedai buku dan alat tulis, bagi dia pilih sendiri beg dan bekas pensel yang dia suka.

Hari pertama dan kedua sekolah, tunjukkan gambar sepupu-sepupu yang dah mulakan sesi. Bertambah teruja dia. Daripada murung risau tak nak sekolah, alih-alih hari pertama sekolah, dia siap tak nak balik!

Dia nampak seronok dengan kawan baru, persekitaran baru, saya andaikan dia amat bersedia untuk hadapi cabaran dan pengalaman pertama dalam hidup dia ni. Cabaran selepas ini ke sekolah rendah pula.

Sebagai ibu, memanglah kita ada rasa yakin tak yakin, boleh ke anak kita beradaptasi dengan suasana baru, ok ke cikgunya, ok ke kawan-kawannya, mudah terima pelajaran ke tidak, pandai ke tak nak makan minum, urusan ke tandas - bermacam yang seorang ibu fikirkan.

Tapi hakikatnya, saya fikir, ibu sendiri perlu percaya pada keupayaan anak. Anak boleh berdikari dan diberi tunjuk ajar. Dan bila dia di sekolah, dia dikawal selia oleh cikgu.

Kita harapkan dia dapat menerima ilmu dengan baik, belajar bergaul dengan orang lain dan menjadi contoh yang baik kepada adik-adik.

Mudah-mudahan.

Update hari kedua: bekal yang dibawa sepertimana ummi beri, begitu jua dibawa balik (tak disentuh). Kopiah bertukar dengan kawan.

Begitulah.