Ke Arah Hidup Minimalis

Teks: Hifzaila Hafni

Saya perasan ramai juga kawan-kawan saya yang berkongsi dan merancang untuk menjadi minimalis dalam hal rumah.

Sumber: travellingminimalist.com


Mahu rumah yang nampak lebih luas, teratur, tidak serabut dengan banyak barang dan menggunakan barang yang penting sahaja.

Berdasarkan pengalaman saya sendiri yang gemar mengumpul barang biarpun tidak digunakan lagi, berubah menjadi seorang yang minimalis agak mencabar.

Tapi kini memang saya boleh katakan kami mula amalkan konsep minimalis di rumah. Mujur suami jenis yang pandai mengemas, jadi konsep ini lebih mudah diaplikasikan.

Selepas beberapa siri pindah rumah, kami sedar bahawa rupanya ada banyak barang yang tak guna kami simpan. Ada juga barang yang tak perlu ada pun, tak berguna. Dan ada barang yang kuantitinya lebih dan tak disentuh pun. Tak termasuk lagi barang rosak yang selayaknya perlu dibuang kalau nak baiki pun tak berbaloi.

Ya, barang rosak pun kadangkala masih disimpan dan tak dilupuskan berbulan-bulan. Huhu.
Sebenarnya lambakan barang di rumah, jika disusun rapi dan teratur, tiada masalah. Yang jadi masalah bila tidak disusun dan menyempitkan ruang.

Jadi antara langkah yang boleh dibuat adalah:

1. Kemaskan satu-satu bilik dulu. Bilik stor/bilik baca/bilik tidur. Dah siap satu bilik baru gerak ke bilik lain pula.

2. Siapkan beg plastik sampah besar. Asingkan barang yang masih boleh diguna dengan barang yang dah rosak, buruk. Yang rosak buruk, buang terus dalam plastik sampah. Yang masih elok boleh dimasukkan dalam kotak atau beg besar.

3. Barang yang dah bertahun-tahun tak disentuh, tak digunakan mungkin boleh pertimbangkan untuk buang, jual semula, kitar semula atau bagi pada orang lain.

4. Tip untuk jual semula barang. Barang yang elok tapi tak guna boleh dijual semula di Cash Converter atau BST (Buy, Sell, Trade). Biasanya set pinggan mangkuk, cawan, barangan elektrik, perhiasan rumah, peralatan rumah yang berkeadaan baik tetapi kita tak gunakan boleh dijual di sini. Tapi mereka beli dengan harga murah saja. Namun dari segi kita, kita dah let go barang dan ada lebih ruang. Mana tahu barang yang kita jual bermanfaat untuk orang lain pula.

5. Tanya adik beradik atau saudara mara kalau ada yang berminat dengan barang yang kita mahu let go. Perabot, set pinggan, cawan, buku, barangan elektrik. Boleh diberi sahaja atau dijual dengan harga murah. Rumah kita lebih ruang, boleh juga dapat wang.

6. Kain baju jika terlalu banyak, perlu hati kental untuk sort dan buat keputusan sama ada didermakan atau dibuang (kalau dah rosak). Kalau mak mentua saya, kain batik/pelikat/t-shirt lama dibuat kain buruk atau alas kaki. Makcik-makcik saya biasa beri saya baju kurung yang mereka dah tak pakai atau tak muat. Baju yang masih elok tapi tak pakai atau terlalu banyak, ada kedai yang mahu ambil. Saya pernah jumpa satu kedai bundle yang terima baju terpakai.

7. Mainan anak. Kadang-kadang kita tak perasan barang yang satu ini boleh memenuhkan ruang. Biasanya mainan yang rosak pun masih disimpan atau ada mainan yang anak dah tak main sebab dah ada mainan lain atau dah meningkat usia. Ambil satu hari, sort mainan dengan anak. Pilih yang masih elok dan buang yang dah rosak. Yang elok jika dah tak mahu boleh bagi pada sepupu atau kawan, boleh juga dijual semula pada harga murah atau didermakan.

Begitulah antara langkah yang boleh dilakukan ke arah hidup minimalis. Semua orang boleh lakukan cuma perlu kental untuk letgo barang yang sebenarnya kita tak perlu.