Disiplin Rutin Harian Di Rumah

Teks: Hifzaila Hafni

Masa mak saya ditahan di wad dan ayah saya perlu teman mak, saya dan adik tumpang tidur di rumah sepupu.

Yang saya perhatikan betapa gigihnya isteri sepupu saya ini, dia akan bangun seawal 4 atau 4.30 pagi dan membasuh baju. Dia bekerja, jadi banyak juga urusan rumah yang dia selesaikan sebelum keluar bekerja.

Pada waktu itu, saya hanya terfikir kenapa perlu bangun seawal itu untuk basuh baju? Tapi baru sekaranglah saya faham, betapa rutin harian begitu amat penting diatur dengan betul dan yang penting disiplin.

Sumber: Counseling Theraphy


Yang bekerja, yang suri rumah - sama sahaja. Sendiri yang tentukan jadual, kemampuan dan tugasan yang perlu disiapkan setiap hari. Tak perlu ikut orang lain sedangkan kemampuan dan keadaan kita berbeza.

Selain daripada contoh baik isteri sepupu saya ini, saya juga banyak belajar daripada ibu mentua.
Seawal jam 5.30 pagi, langsir sudah diselak. Alas kaki semuanya sudah diangkat untuk memudahkan kerja menyapu nanti.

Setelah mandi dan solat Subuh, terus bergerak ke dapur untuk siapkan minum pagi abah dan mengemas dapur. Kemudian masukkan baju ke dalam mesin. Sementara menunggu, menyapu lantai. Luar dan dalam. Siram pokok tanaman. Selesai semua ni, baju pusingan pertama sedia disidai. Mula pusingan kedua pula.

Sambil itu, panaskan lauk semalam jika berbaki. Simpan susun semua pinggan di rak tepi singki ke rak besar. Jerang air. Isi air dalam jag dan botol-botol. Isi air sejuk dalam peti ais.
Kalau baju belum siap spin, duduk sekejap ambil nafas. Kemudian sambung sidai baju pusingan kedua.

Dah selesai urusan baju, baru bersarapan. Nescafe panas segelas kegemaran. Kadang dengan roti, biskut. Atau nasi semalam dengan lauk berbaki. Atau nasi goreng. Jika ada anak datang singgah, ada nasi lemak dan kuih. Kadang beli putu mayam ada mamak naik motor lalu depan rumah.

Masa sarapan, masa rehat. Tengok tv dan luruskan pinggang. Juga rehatkan kaki yang bengkak jika banyak gerak dan berdiri.

Produktif betul.

Kita yang muda kadangkala rasa tak mampu, tapi sebenarnya itu atas kebiasaan yang lama-lama jadi rutin dan tabiat. Tua pun, sebab dari muda dah terbiasa, kerjanya tetap sama. Rutinnya berjalan seperti biasa.

Kagum dengan ibu bekerja dan suri rumah yang disiplin dan konsisten dengan kerja rumah. Didoakan saya dan semua yang membaca ini juga sedikit sebanyak dapat tempias mereka ini. Aminnn.