Bisik Pada Langit

Teks: Hifzaila Hafni

Ingatkan kuat sangat dapat tahan air mata, tapi tidak. Gugur juga akhirnya.



Tidak dapat tidak, sedikit sebanyak sebak menusuk juga bila menonton naskhah ini. Apa lagi hampir sama dengan kisah keluarga sendiri.

Memori lebih 20 tahun dahulu muncul kembali.

Seperti Hajar, arwah kakak juga kemalangan dan menghembuskan nafas akhir sewaktu belajar di seberang laut.

Seperti Hajar, arwah kakak juga hanya tinggal beberapa bulan lagi untuk pulang ke Malaysia.

Seperti Hajar, arwah kakak juga mengambil peluang menjelajah dunia asing sebelum back for good.

Seperti ayah Hajar, arwah ayah juga sangat tertampar dengan pemergian tiba-tiba anak perempuan kesayangan.

Seperti ayah Hajar, arwah ayah juga menaruh setinggi harapan anak pulang berkhidmat pangkat tinggi dan menyara keluarga.

Seperti ayah Hajar, arwah ayah juga nampak tenang tapi dalam hatinya Allah sahaja yang tahu betapa luluh saat menerima jenazah anak. Apatah lagi arwah mak baru sahaja dikebumikan 9 bulan sebelum itu.

Masakan tidak berjurai air mata bila jalan ceritanya hampir sama dengan pengalaman sendiri. Allahu.

Ya, kisahnya tentang kasih sayang bapa yang berbeza antara anak-anak. Namun lebih sarat dengan adab Islam yang penuh santun dan halus.

Adab dengan ibu bapa walaupun berbeza pendapat.

Adab apabila menerima perkhabaran baik, buruk dan berita kematian.

Adab menegur antara suami dengan isteri.

Adab antara adik-beradik bila berlaku perselisihan.

Manusia tak kira usia, tua sekalipun ada silapnya juga. Namun tidak pernah terlambat untuk berubah, hanya jika dia yang mahu.

Sesungguhnya kamu bukanlah anakku, tetapi amanah yang diberi padaku.

Semoga Allah ampunkan dosa dan mencucuri rahmat ke atas roh-roh ayahanda Ahmad Hafni, bonda Muzainah dan kanda Hifzana. Al Fatihah.

Bisik Pada Langit.
Kabir Bhatia.
November 2017.