Suri Rumah Profesional: Jutawan Di Rumah

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Sebak, termotivasi, bersemangat.

Itu antara yang saya rasa sewaktu dan setelah selesai membaca naskhah ini.

Ya, tajuknya sahaja sudah memberi inspirasi. Tambahan pula bagi saya yang sememangnya menyandang gelaran suri rumah kala ini. Namun, satu yang saya perasan, walaupun tajuknya adalah Suri Rumah tetapi perkongsian dalam buku ini sesuai dibaca oleh Suri Bekerja juga. Bahkan suri bekerjalah yang amat disarankan untuk baca.

Isi kandungannya bukanlah meminta semua ibu berhenti kerja, tidak sekali-kali begitu. Dan kalau ibu yang bekerja baca buku ni sekalipun bukan juga bermakna dia akan terus berhenti kerja juga. Keperluan berhenti atau bekerja bergantung kepada kerjaya dan keluarga masing-masing. Penulis hanya memberi pandangan dan berkongsi pengalaman dirinya sendiri.

Melahirkan 5 anak cemerlang akademik dan hafazan Al Quran dah tentu bukan mudah. Tapi ia boleh dilakukan dengan cara yang tertentu. Disertakan panduan ringkas melahirkan generasi PROFAZZ (Professional Huffaz) dalam buku ini.

Namun apa yang lebih menarik hati dan sebak saya membacanya bila mana peranan suri rumah atau ibu bekerja di rumah ini sangatlah besar daripada apa yang saya bayangkan, begitu juga impak kepada perkembangan keluarga dan anak-anak yang sangat signifikan.

Berdasarkan pendapat dan pengalaman penulis sendiri, sangat berbeza cara didikan ibu bekerja dengan ibu suri rumah. Boleh baca lanjut dalam buku ini.

Mungkin ada yang berpandangan tak patut bahawa semua ibu perlu jadi suri rumah. Ya, memang tak patut dan penulis juga tidak mengatakan begitu. Dalam kerjaya dan dalam keadaan yang tertentu, seorang ibu atau wanita masih perlu bekerja atau menyumbang kepakarannya. Begitu juga jika ibu perlu melengkapkan keperluan diri dan anak-anak, bagi kes ibu tunggal atau kehilangan suami.

Agak melegakan hati juga membaca buku ini hingga helaian terakhir. Idea baru tercetus, motivasi meningkat dan inspirasi mendatang. Sesungguhnya ibu suri rumah ada sisi lain yang adakalanya dipinggirkan atau terlepas pandang namun besar peranannya.

Walau apa pun, tetaplah juga saya sokong apa juga gelaran kawan-kawan sekarang. Sama ada bekerja atau suri rumah, atau suri rumah bekerja, setiap kita ada alasan tersendiri.

Jangan hanya terikut orang atau trend.

Naskhah yang segar dan sejuk hati bila dibaca. Ke arah melahirkan generasi  soleh dan solehah. Generasi PROFAZZ. Insya Allah.

Tajuk: Suri Rumah Profesional: Jutawan Di Rumah
Penulis: Puan Hjh Siti Nadzrah Sheh Omar
Penerbit: Profazz Media
Harga: RM37