Mencari Idea Menulis

Teks: Hifzaila Hafni

Nak menulis tapi tiada idea.

Idea sebenarnya boleh datang dalam pelbagai bentuk dan cara. Ada penulis yang galakkan seseorang keluar mengembara atau sekurang-kurangnya keluar bergaul dengan masyarakat untuk mendapat stori.

Itu dari segi skop yang besar.

Untuk skop yang lebih kecil, khusus bagi mereka yang baru nak mencuba menulis, konsisten setiap hari, cikgu blog saya sarankan supaya mula berkongsi catatan harian dan catatan pengalaman. Pasti dalam satu hari ada kisah dan ibrah yang boleh dikongsi jika diamati.

Masih juga blur nak menulis, skrol gambar dalam galeri telefon. Pilih satu gambar dan tulis satu stori mengenainya. Apa saja. Entah-entah berjela stori padahal berdasarkan satu gambar sahaja.

Pun masih tak boleh nak reka satu stori?

Cari kata hikmah atau quote di internet. Pilih satu yang kita suka atau berkenan dan buat ulasan mengikut pandangan kita sendiri. Atau mungkin yang berkaitan dengan pengalaman kita sendiri yang boleh dijadikan panduan atau ingatan untuk orang lain.

Namun, hakikatnya cara paling mudah untuk dapat idea menulis adalah dengan MEMBACA.

Baca apa saja bahan. Pasti akan bertambah ilmu, perspektif atau mengubah hala tuju. Bila membaca sesuatu pasti kita juga punya pendapat sendiri sama ada menyokong atau membantah dengan apa yang dibaca. Kan dah ada idea bahan penulisan di situ? Buat ulasan, siap satu stori.

Jadi, tulislah!