Tulis dan Terbit Ebook Pertama

Teks: Hifzaila Hafni

Berada dalam tim terbit ebook pertama, suatu pengalaman berharga buat saya. Memang ada niat juga mahu turut serta menjadi penulis yang punya ebook sendiri, jadi inilah masanya cuba praktik dan realisasikan.

Doakan. Insya Allah.

Biarpun masih banyak dan masih terlalu jauh untuk layak bergelar penulis dalam erti kata sebenar, tapi dengan pengalaman, pengetahuan yang sedia ada yang saya fikir bermanfaat untuk dikongsikan atau disebarkan, membuatkan saya ingin terus menulis.

Berbekal semangat guru blog penulisan dan ebook, ditambah dengan semangat membara rakan-rakan seangkatan, semoga ia berjangkit kepada saya sekaligus meningkatkan keyakinan saya untuk hasilkan dan terbitkan ebook pertama.

Doakan ya kawan-kawan.

Menulis merupakan salah satu cabang menjana pendapatan bagi suri rumah. Belajar menulis blog, menyusun konten dan menjual ebook melalui kelas online. Mahu daftar Kelas Asas Blog dan Penulisan sesi Oktober 2017, boleh emel terus ke hifzaila@hotmail.com.

Meredakan Marah Pada Anak

Teks: Hifzaila Hafni

Sejak bergelumang dengan 3 anak yang sedang membesar ni, sesungguhnya sangat mencabar dan menguji kesabaran saya.

Saya cepat naik angin.

Saya mudah marah.

Paling sedih, mudah benar piat telinga atau cubit anak.

Suara meninggi, lantang 'sekolahkan' anak bila tersilap.

Saya bukan lagi saya yang dulu, yang sanggup mengepal-ngepal tangan, menggigil menahan marah seorang diri daripada menghambur amarah pada anak.

Saya tak pasti apa yang menyebabkan perubahan saya tapi saya memang tak suka keadaan macam ni tapi ada masanya kesabaran saya benar-benar diuji.

Alhamdulillah selalu juga muncul nasihat-nasihat keibubapaan yang positif di wall FB saya. Semacam faham saja input yang saya perlukan. Sedikit sebanyak mengubat emosi saya yang tercalar.

Tak ada mak ayah yang suka nak marah anak selalu. Tapi malangnya pada waktu tertentu apatah lagi masa anak buat perangai, mak ayah rasa itu cara yang paling baik (padahal menyesal lepas tu).

Memang tak mudah nak kawal emosi dan amarah. Dan syaitan memang suka sangat lah tambah minyak dalam api. Biar lagi marak.

Pernah terbaca, semasa rasa nak marah pada anak, diam sekejap dan cuba tahan atau tangguhkan. Istighfar banyak-banyak dan ucapkan a'uzubillahiminaisyaitonirrojim. Jangan biar syaitan ambil kesempatan atas kita. Atau bergerak ke tempat lain. Kalau masa nak marah di ruang tamu, ubah lokasi ke dapur. Biar reda sikit marah.

Ya, anak perlu dimarah juga kalau memang bersalah. Tapi cara marah tu yang kadang-kadang kita tersilap. Saya juga selalu begitu.

Semoga Allah ampunkan saya dan kita semua dan sentiasa berikan ruang untuk kita ubah cara didikan pada anak-anak.

Menjadi Suri Rumah yang Ikhlas

Teks: Hifzaila Hafni

Saya pernah mengalami fasa menjadi ibu bekerjaya dan juga ibu suri rumah. Memang bagi pengalaman berbeza dan saya rasa dah cukup banyak kaum ibu dok bahas pasal isu ibu bekerja versus ibu suri rumah ni. Jadi, I rest my case.

Kalau dah nama ibu, dengan segala kepenatan mengurus kerjaya dan rumah tangga, dengan kerenah anak-anak memang mudah bagi naik angin. Kadang tu sikit hal pun nak marah, benda kecil pun nak sentap. Anak-anak atau suami mungkin tak perasan apa yang ibu rasa atau terasa, tapi bila mulut muncung sedepa, muka merengus, sesiapa buat silap sikit kena marah dengan suara tinggi terus sambung dengan bebelan pula. Tak termasuk lagi kalau si ibu dok melampiaskan rasa marah atau tak puas hati dengan berhempas-hempas periuk belanga, pinggan mangkuk di dapur.

Ibu yang bekerjaya, separuh harinya sudah penat di pejabat, bila balik rumah kadang mahu berehat saja tapi faham sajalah, selalunya terus meluru ke dapur atau melayan anak-anak yang seharian merindu ibu. Ibu suri rumah pula, biarpun berada depan anak sepanjang masa, letih juga dan mahu juga masa untuk diri sendiri biarpun sekejap namun lazimnya payah juga mahu dapat.

Disebabkan kepenatan dan keletihan inilah, bila ibu merasakan ahli keluarga yang lain bersenang-senang berehat tak membantu sedikit habuk pun, sedangkan dia juga mahu berehat - maka berlakulah kerja-kerja yang kurang ikhlas di situ.

Masak, cuci pinggan atau cuci baju semuanya menghempas-hempas. Ada yang diam tapi sound effectnya masya Allah. Ada yang sudahlah dengan dentuman periuk belanga, mulut pun sama naik membebel dan tak puas hati dengan semua orang.

Saya juga alami benda yang sama. Waktu itu kita memang tengah marah, tengah tak puas hati dan macam-macam perasaan bercampur-baur. Terpaksa buat kerja rumah atau rutin harian dalam masa yang sama menjaga juga perasaan sendiri dan mengorbankan penat badan sendiri.

Ibu akan rasa puas hati sekejap saja dengan bertindak macam ni. Hakikatnya, dia juga kecewa bersikap begitu. Bayangkan juga suami dan anak-anak yang melihat, masing-masing rasa serba salah namun tak tahu nak bereaksi bagaimana.

Apa yang ibu boleh buat bila rasa terbeban sangat dengan urusan rumah tangga?

Tarik nafas dalam-dalam. Bawa diri sekejap, jauh dari orang lain. Duduk dalam bilik ke, balkoni ke atau mana-mana ruang yang kita rasa selesa nak bertenang. Kalau nak menangis, menangis sajalah biar rasa lega. Menangis bukannya salah. Kalau segan dengan ahli keluarga, masuk menangis dalam bilik air, terus ambil wuduk. Insya Allah boleh reda sikit marah.

Anggap ini ujian untuk kita. Memang susah nak terima juga bila tengah marah, tapi ujian Allah begitulah. Sesuai dengan keupayaan hambaNya. Allah nak latih kita sabar.

Saya pun selalu saja hilang sabar. Selalu juga rasa ringan tangan pada anak. Kadang-kadang terlepas juga suara petir halilintar. Masih cuba baiki. Masih cuba. Dan terus cuba baiki nada suara.

Satu yang saya fikir, anak akan jadi seperti mana kita tunjukkan. Kita selalu marah, tak mustahil anak membesar jadi pemarah perengus juga. Mahu anak jadi soft spoken? Hmm kita sendiri tahu jawapannya.

Kena balik batang hidung sendiri. Sama-sama kita baiki skil mendidik anak setiap hari dan jadi ibu yang disenangi ahli keluarga.

Dah takmau dok hempas-hempas periuk belanga. Tak selesai masalah pun. Bising pulak tu!