Reviu Buku: Mayang Sari, Kisah Benar yang Tahyul

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Nak kata buku ini seram dan bercerita tentang hantu? Tidaklah.

Ok tipu sikit kalau kata tak seram langsung tapi memang bukan cerita hantu. Saya hanya seram, bila dengan detailnya adik penulis, Jon, bercerita tentang 3 ekor makhluk yang dia humbankan ke dalam buyung. Juga bab bagaimana rupanya hantu raya, pelesit dan lintah bayan.

Meremang juga bulu roma. Kebetulan pula bab tu saya baca waktu malam lepas anak-anak dah lena. Memang feeling sungguh lah.

Hal-hal ghaib dan tahyul ni kadang-kadang kita hanya percaya bila berlaku sendiri pada kita atau orang terdekat kita biasanya. Walau sebanyak mana kita tak mahu percaya, hakikatnya benda-benda halus ni memang wujud dan memang ada orang yang ada macam-macam niat atau tujuan dia buat sihir ni.

Membaca naskhah ni buatkan saya teringat pada arwah mak saya dan pengalaman saya sendiri. Dan bila saya telusuri halaman demi halaman, ada juga beberapa insiden yang saya boleh kaitkan dengan apa yang kami juga pernah alami.

Dulu-dulu punya cerita. Bukannya faham sangat, kecil lagi pun. Dan agak naif kot nak cuba hadam.

Namun perkongsian penulis membuatkan beberapa kegusaran dan kekelabuan saya tentang perkara yang berlaku dahulu makin hilang. Ada satu dua perkara yang penulis rungkaikan saya dapat relate dengan apa yang pernah berlaku.

Dan usai di halaman terakhir, makin cerah pemahaman saya tentang hal sihir menyihir.

Tapi satu yang menyentuh hati saya selain kisah sihir, kisah bagaimana ibu bapa penulis berusaha sungguh-sungguh mencari rezeki dengan menjual kuih. Dalam dihimpit pelbagai insiden yang kalau diikutkan memang bagi patah semangat lah, tapi mereka tetap redah dan harungi. Jalan terus orang kata walaupun sihir tu mengganggu hidup. Gigih!

Apapun, saya sangat berterima kasih pada penulis yang sanggup membukukan pengalaman berharga dan sangat personal ini. Sememangnya bukan mudah dan saya amat hargai kesudian beliau untuk berkongsi.

Bukan senang nak cerita bab-bab ni pada orang luar. Rasa untung pulak jadi antara pembaca terawal.

"Sapa kena sapa tau".

Terima kasih Puan Anie Alja.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...