Mak Dalam Kenangan

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: The Walton Centre

Mak saya itu, anak tunggal. Yatim piatu, tok dan tok wan saya Allah jemput agak awal juga yang saya tak pasti sewaktu umur mak berapa. Yang saya tahu, mak dijaga saudara-mara dan disebabkan itu mak dan saya serta abang dan adik amat rapat dengan tok-tok saudara dan hampir semua sepupu mak. Saling menjaga dan ambil tahu.

Mak saya, cikgu. Cikgu Bahasa Inggeris. Buku atau bahan bacaan dalam BI adalah biasa di rumah. Saya kira pendedahan awal menjadikan kami tidak kekok dengan buku. Jadi tak hairanlah kan kalau saya pun jual buku. Hehe



Allah pinjamkan mak kepada saya selama 12 tahun sahaja. Syukur diberi peluang menjaga mak hingga akhir hayat. Banyak pengalaman yang tak dapat dipadam sepanjang menjaga mak dari satu hospital ke satu hospital.

Mak memang fighter.

Walaupun dengan rambut yang kian menipis, tubuh yang makin susut -- mak tetap positif.

Jika orang lain masuk hospital sebab sakit dan keluar dengan sihat, mak pula sebaliknya, akibat rawatan kemoterapi. Jauh dalam hati saya, tak mau mak pi hospital. Sebab setiap kali nak balik, mak lemah dan nampak lebih sakit daripada mula datang. Tak macam orang lain.

Tapi begitulah. Apalah sangat yang budak 12 tahun faham dengan non-Hodgkin lymphoma dan rawatan kemo yang perlu diulang-ulang mengikut jadualnya.

Yang dia tahu, maknya sakit kuat. Perlu makan ubat tahan sakit yang paling mahal waktu itu, perlu dirujuk kepada beberapa orang pakar. Pelbagai hospital.

Berulang-alik ke hospital perkara biasa. Tidur di wad juga biasa.

Bancuh susu mak, suapkan minum, lap badan, memapah tubuh kurus mak ke bilik air dan bantu mak urus diri, sudah jadi rutin sejak umur 11.

Sesekali, kalau terima surat atau telegram dari kakak yang belajar jauh di luar negara, mak akan menulis balas dengan panjang lebar jika mak kuat sikit. Kakak dan mak memang rajin menulis dan bercerita.

Jadi, bukan pelik juga kalau kerajinan itu menurun kepada saya. Rajin menulis.

Kan.

Biarpun mak hanya sempat lihat keputusan UPSR saya sahaja. Walaupun mak tak sempat lihat saya menerima ijazah, mendapat pekerjaan pertama, berkahwin -- tapi saya tahu mak lebih bahagia di sana.

Tenanglah mak bersama ayah, kakak dan abang saya di syurga. Kami anaknya bertiga ini juga akan menyusul entahkan bila.

HAPPY BIRTHDAY, MAK.

Kalau mak ada, tahun ni mak genap 70 tahun.

Semoga Allahyarhamah Muzainah Zakaria ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan diampunkan semua dosa-dosanya.

Anak mak yang rindu mak sesungguhnya,
13.7.2017
2249
Sepang
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...