Buku untuk Cikgu

Teks: Hifzaila Hafni

16 Mei 2017, Hari Guru Malaysia.

Dulu-dulu saya ingat lagi, selalu tunggu waktu ni untuk dengar cikgu menyanyi. Yang lagu 'kami guru Malaysia, berikrar dan berjanji...' itulah tu. Maklumlah, bukan senang nak dengar cikgu menyanyi dulu.

Hari Guru masa zaman saya dulu, biasa saja ada persembahan guru dan murid. Seingat saya tak ada nak bagi hadiah-hadiah.  Zaman sekarang, sampai boleh jadi isu kan. Zaman dah berubah.

Sempena hari istimewa untuk guru ni, meh saya kongsikan sinopsis buku-buku inspirasi yang berkaitan guru.

1. Seteguh Tekad, Prof Dr Sidek Baba, Alaf 21


' Kembara hidup penuh liku seorang ilmuan berjiwa besar '

Sinopsis buku:

Seteguh Tekad menyelami kehidupan anak kelahiran Melaka ini mendaki tangga-tangga kejayaan. Sebuah rentetan pengalaman hidup yang menekankan aspek motivasi dan berupaya merangsang jiwa agar sentiasa bersemangat kental.

Profesor Dr. Sidek Baba, tokoh pendidikan yang berjiwa besar ini mengajak anda menilai erti sebuah kehidupan yang amat perlu diisi dengan ilmu. Yang pasti, setelah menutup helaian akhir autobiografi ini, anda akan terdorong untuk membuat perubahan dalam diri. Selamat membaca, mudah-mudahan anda akan dapat mengambil iktibar daripada perjalanan hidup ikon umat Islam.

Prakata oleh SN A. Samad Said. 

Prof menjadi tetamu slot Inspirasiku di Ikim.fm pagi tadi. Kalau terlepas, boleh dengar ulangan hari Ahad, pukul 10.15 pagi.

Boleh dapatkan di Hif Bookstore.


2. Bukan Salah Cikgu, Azmira Amran, Kopi Press



"Wacana tentang sistem pendidikan yang dikupas dengan baik untuk bacaan masyarakat, ibu bapa dan sangat bagus dibaca oleh guru-guru dan pihak yang terlibat dalam polisi pendidikan.

Dan menariknya, sistem pra sekolah di Malaysia yg menepati fitrah anak-anak kecil, sebelum usia 7 tahun,seakan-akan mengikut cara di Finland, seperti yang diterangkan dengan jelas dalam bab sistem pendidikan Finland.

Apa yang penting, seperti saranan penulis, kita semua mesti benar-benar bersedia untuk menerima perubahan, dan berubah. Tapi, untuk mengubah persepsi, mindset, budaya masyarakat bukanlah suatu yang mudah malah mengambil masa yang lama. Ya, untuk sistem pendidikan di Malaysia agak mustahil menjelang 2020 pun akan berubah. Cuma kesedaran masyarakat sudah ada. 

Sistem di Finland ternyata tidaklah kompleks, seperti di negara lain termasuklah negara kita. Dan mengenai PISA & TIMSS turut diulas dalam buku ini. Pendedahan dalam buku ini boleh disifatkan membuka mata saya sebagai pembaca."

- Maisarah Mohd Pauzi, review dari Goodreads.

Boleh dapatkan terus di Kopi Press.


3. Cikgu Kelas Sebelah, Fadli Salleh, Komrad Buku



Sinopsis buku:

Orang kata, jadi cikgu zaman sekarang tidak seronok seperti dulu lagi. Terlalu banyak beban, terlampau banyak tekanan. Kalau kau cikgu, pandai-pandailah mencari keseronokan sendiri. Agar semangat tidak hilang, agar cinta terhadap profesion terus membara.

Aku mahu mengajar dengan gembira dan mahu murid belajar dengan seronok. Jadi ini yang sering aku lakukan. Aku suka bermain watak seorang kawan kepada murid. Watak guru di luar daripada kebiasaan. Watak yang paling kurang, menyeronokkan aku dan memberi semangat untuk terus bertahan di arena yang makin mencabar.

Saat kau bersama murid, sebenarnya masih sama seperti dulu-dulu. Kau dan murid. Di dalam kelas, kaulah Raja. Kalau kau raja yang bijak, kau tadbirlah negeri kecil kau dengan bijaksana. Persetankan segala bebanan yang menunggu. Saat melangkah masuk kelas, ingatlah. Kau Raja!

Jom join aku jadi guru di luar daripada kebiasaan. Jom jadi 'Raja' di dalam 'Negeri Kecil' yang penuh dengan kegembiraan.
 

Boleh dapatkan di Komrad Buku

===

Selamat Hari Guru untuk semua pendidik. 

Guru Pembina Negara Bangsa!