Apek Ikan dan Mamak Roti

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: malaysianmeanders.blogspot.com

Di perumahan baru ini, banyak mengingatkan saya pada zaman kanak-kanak dan kampung halaman.

Jika sebelum ini, kami tinggal di kawasan taman perumahan di bandar dan pangsapuri, bila berpindah ke kawasan yang sedikit jauh dari bandar, agak berbeza perasaan dan persekitarannya.

Saya sangat teruja melihat ada lori ikan yang masuk ke taman ini setiap hari. Bukan satu, malahan ada dua lori!

Petang-petang, ada mamak roti naik motor lalu depan rumah. Lewat petang, ada motor aiskrim. Memang meriah dan saya suka keadaan ini. Memang mengimbau zaman kecil dulu.

Bezanya, masa di kampung dulu, akan ada apek jual ikan yang menaiki basikal. Penuh bakul di belakangnya dengan bahan basah dan kering. Ikan, sayur dan segala macam. Orangnya kurus sahaja tapi kuat bertenaga bawa beban seberat itu dengan hanya berbasikal. Satu kampung dirondanya dan selalunya mak saya akan tahan dia di depan rumah untuk 'shopping'. Sesekali, apek akan minta nak beli daun kesum atau daun laksa yang tumbuh merimbun di tepi rumah kami. Tapi mak saya kata ambil sahajalah. Banyak sangat pun. Sebab hubungan baik itu, kadang-kadang apek selalu juga ambil order mak. Yelah kadang-kadang mak order kat apek, ketam atau telur ikan mayong untuk dibawa keesokan harinya.

Seronok dapat peluang merasai lagi pengalaman begini. Anak-anak pun seronok tunggu lori ikan lalu depan rumah. Nak memborong pisang! Apek tu pun boleh tahan juga peramahnya. Orang lama kan. Dekat 20 tahun dah katanya berjual di taman ni.

Kalau mamak roti tu, lagilah anak-anak teruja. Rambang mata nak pilih roti dan gula-gula. Setakat ni, saya dan suami memang dah berkenan sungguh dengan roti tu. Datang daripada kilang bakeri yang tak jauh dari sini. Roti krim, roti kelapa, roti manis semuanya sedap belaka. Kalah roti jenama popular hehe.



Kami ni memang betullah bercitarasa kampung. Teruja sungguh. Hampir setiap hari tahan mamak roti tu. Anak-anak pun dah berlari ke pagar nak panggil uncle bila dah dengar bunyi hon.

Dengan nostalgia yang sedikit ni, dapat juga mengubat rindu saya pada arwah mak dan kampung halaman. Bila kita dah makin bertambah usia, bukannya kita mahu benda-benda yang hype sangat (sekurang-kurangnya pada sayalah). Cukuplah rasa tenang dan jauh sedikit dari kota yang sibuk dan hidup sekadarnya sahaja.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...