Perpustakaan Mini

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: AMP Taskican

Dua hari lepas, encik Poslaju hantarkan barang. Buku yang saya pre order dah siap cetak. Buku parenting yang terlajak laris sangat tu - How To Talk So Kids Will Listen & Listen So Kids Will Talk Edisi BM.

Suami yang tolong ambilkan bungkusan sebab saya tengah tidurkan tuan puteri dalam bilik.

"Apa ni?" suami tanya.

"Buku" jawab saya.

"Hmmm. Buku lagi? Lepas ni ummi boleh buka library la untuk jiran-jiran"

"Haha. Boleh jugak"

Suami memang faham sangat passion saya pada buku. Isteri dia ni, tak perlu nak tayang beg tangan, baju, tudung, kasut; tak terliur sangat. Tapi jangan kalau buku. Selalu dia tak tahu pun celah mana saya dapat info buku sekian-sekian ni. Tup tup ada je sampai kat rumah.

Saya rasa seronok tengok banyak buku di rumah. Buku-buku tersusun. Macam-macam warna, macam-macam tajuk. Mujur suami pandai susun atur.

Dia pun sebenarnya kaki beli buku juga. Tapi selalunya saya yang habiskan baca buku yang dia beli. Tak apalah, mungkin satu hari nanti dia nak rehat-rehat membaca, buku dah tersedia banyak. Pilih saja nak baca mana satu.

Impian kami nak ada suatu bilik atau ruang untuk dibuat perpustakaan mini. Lengkap ada sofa dan kusyen besar, karpet sedap untuk baring atau duduk. Rak buku tinggi untuk muatkan semua buku pada satu tempat. Tepi tingkap untuk benarkan cahaya masuk. Ada meja kopi untuk menulis.

Biar ruang ini jadi tempat melepas lelah dan 'escape' dari dunia harian sebentar.

Kita bina impian dulu, mudah-mudahan ia akan jadi nyata.