Entri 8: Kelas Mengaji

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: Heboh News


Alhamdulillah, akhirnya berjaya daftarkan Fuaad ke kelas mengaji. Bermula minggu lepas, kelasnya seminggu sekali, setiap Ahad jam 11 pagi.

Kami hanya menghantarnya ke kelas mengaji Quran sahaja. Setakat ini, membaca dan kenal nombor saya ajarkan di rumah. Ikutkan abahnya, mahu saya sendiri yang ajar anak. Tapi itulah, tahun depan mahu tak mahu terpaksa juga masukkan dia ke tadika atau prasekolah. Risau juga kalau dia tak dapat sesuaikan diri bila masuk Tahun Satu nanti.

Berbalik kepada kelas mengaji. Saya ada survey di internet, kelas-kelas mengaji Quran yang ada di sekitar rumah. Ada satu pusat, kelasnya hari biasa dan hujung minggu. Ada satu pusat lagi, hujung minggu sahaja. Jadi kami pilih kelas hujung minggu sebab suami saya ada untuk hantarnya ke kelas. Kalau hari biasa, tak sempat sebab suami selalu balik kerja lewat.

Jadi hujung minggu lepas, pertama kalinya Fuaad ke kelas. Menangis juga mahu habiskan satu halaman Iqra', tapi nampaknya dia boleh 'pick-up' juga apa yang Ustazah ajar. Jam pertama tu mood terkawal lagi. Masuk jam kedua, dia dah mula jemu dan menangis. Sebab kali pertama, Ustazah bagi balik awal. Kesian pula tengok dia tersedu-sedu nak habiskan bacaan.

Tapi, untuk kebaikannya, terpaksalah kan biar dia belajar. Kalau tidak, sampai bila nak dalam zon selesa saja.

Hari biasa, saya mengajarnya di rumah. Ulang halaman yang sama dan mula halaman baru. Biasanya selepas maghrib. Satu sesi dalam 5 ke 10 minit saja. Cukuplah daripada tak ada langsung.

Bulu Iqra' yang digunakan

Biasanya saya akan minta dia ambil buku Iqra'nya dan duduk di depan saya. Tapi hari ini, dia sendiri ambil lalu duduk di depan saya.

"Ummi, nak ngaji"

Senyum saya dengar dia cakap macam tu. Harap-harapnya berterusan lah begitu. Semoga Allah mudahkan pembelajaran Quran Ahmad Fuaad. Insya Allah. Aameen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...