Entri 40: Diagnosis 3 Mortuari

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Saya minat cerita-cerita doktor. Cerita kerja doktor, hospital, penyakit.

Tengok buku ni, teringat tahun lepas. Sewaktu melintas gambar buku Diagnosis 3: Mortuari terbitan Dubook ni di Facebook, waktu tu buku ni baru lagi siap cetak.

Saya memang terdetik nak beli. Tapi iyalah, peniaga online kecil-kecilan macam saya ni, kenalah tunggu tabung penuh dulu baru boleh beli.

Tapi nak dijadikan rezeki, suami nampak gambar buku ni semasa 'tumpang' Facebook saya. Dia pula yang minat dan suruh saya order. Hihi. Memang pucuk dicita, ulam sayur buah semua mendatang lah!

Saya order terus daripada salah seorang penulisnya iaitu Dr Noor Hayati Yasmin. Siap bertanda tangan lagi. Seronok!

Buku Diagnosis 3 ini adalah kompilasi cerita 3 doktor yang tak lepas daripada berhadapan dengan kematian. Setiap kematian itu ada ceritanya tersendiri, yang mana kita yang hidup ini dapat ambil iktibar dan jadikan pengajaran. Buku yang ditulis oleh Dr Fahd Razy, Dr Noor Hayati Yasmin dan Dr Jack Naim ini, kalau rasa tak insaf, baik ulang baca sekali lagi dan hayati betul-betul.

Bahagian pertama buku, kisah mortuari daripada Dr Fahd. Saya suka semua kisah beliau. Isi cerita yang ingin disampaikan sangat berkesan dengan gaya penulisan yang santai tapi sentap. Dr Fahd menulis macam diari, kita rasa sangat dekat dengan situasi yang diceritakan. Dan pastinya pengalaman beliau sendiri.

Saya paling terkesan kisah ibu-ibu nak bersalin dalam bab 'Expect the Unexpected'. Terkedu saya baca kisah-kisah di Labour Room. Baru saya faham juga, kenapa nurse di Klinik Kesihatan yang check saya mengandung dulu hampir cuak tengok keadaan saya yang dah mula bengkak kaki dan tekanan darah naik sedikit pada minggu ke 36. Sikit lagi saya nak kena refer ke hospital.

Bila baca kisah yang ini, baru saya faham. Ibu hamil memang boleh nampak sihat sekelip mata je boleh pengsan. Jaga-jaga ya (pesanan untuk diri sendiri juga).

Seterusnya, bab disambung oleh Dr Noor Hayati. Gaya penceritaan Dr Hayati seperti novel medik. Ada diketengahkan isu home birth juga, yang saya kira isu yang amat baik diketengahkan.

Bahagian akhir ditulis oleh Dr Naim. Gaya cerita pun macam novel tapi dalam bab paling akhir, Dr Naim berkongsi kisah pengalaman beliau sendiri yang kehilangan sahabat karib, Dr Prasanth. Membaca bab akhir ini membuatkan saya terfikir betapa persahabatan itu merentasi bangsa dan agama. Dan satu pengajaran dari bab ini adalah 'do not judge the book by its cover'.

Kesimpulannya, Diagnosis 3 wajar dimiliki. Walau sebanyak mana kisah kematian dilaporkan setiap hari, yang berlaku dalam pelbagai situasi, tapi itu daripada kaca mata wartawan.

Kisah kematian daripada insan yang menjadi sebahagian daripada proses ini - saya kira lebih dekat dan menyentuh hati.

Bak kata Dr Fahd, berselisih dengan Izrail.

Cuba baca. Cuba selami. Cuba hayati. Anda takkan rugi. Malahan memberi ingatan bahawa setiap kita pasti mati.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...