Entri 25: Keputusan SPM

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: Literacy Educators Australia

Saya menduduki SPM pada tahun 1999 dan mengambil keputusan pada tahun berikutnya, 2000.

Semasa keputusan keluar, saya sedang menyambung pelajaran di Tingkatan Enam, di sekolah bersebelahan. Jadi pada hari yang dinantikan itu, saya hanya berjalan kaki sahaja ke sekolah kerana saya tinggal di asrama.

Sebagai pelajar yang pencapaian sederhana, saya sendiri tidaklah meletakkan apa-apa harapan tinggi terhadap keputusan yang akan saya terima. Namun, saya tetap berharap saya mendapat Gred 1 dengan kredit pada semua subjek.

Berdebar juga jumpa cikgu kelas waktu nak ambil keputusan. Setiap pelajar akan duduk berhadapan dengan cikgu, dengan slip keputusan diterbalikkan. Bila dah duduk dan bertukar khabar, cikgu akan serahkan slip dan pelajar sendiri akan buka dan lihat keputusan masing-masing.

Sejurus slip dibuka, mata laju memerhati kalau-kalau terjumpa P7, P8 atau F9.

Alhamdulillah tiada.

Paling teruk saya dapat adalah C5 untuk subjek Fizik, Biologi dan Matematik Tambahan, dan ini memang sudah dijangka. Saya mendapat 4A - subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik Moden dan Pendidikan Islam. Subjek lain tu, kredit je lah.

Keseluruhannya, saya mendapat Pangkat 1 dengan 13 agregat.

Batch saya (SPM 1999) merupakan batch terakhir yang menggunakan sistem agregat. Tahun selepas itu hingga kini, kejayaan diukur dengan bilangan A.

Syukur dengan keputusan tersebut, saya layak sambung pelajaran ke Matrikulasi, dalam bidang Sains Hayat.

Hari ini, calon-calon SPM 2016 pula yang mengambil keputusan masing-masing. Rupanya sudah 17 tahun berlalu.

Keputusan SPM bukanlah segalanya. Cemerlang atau tidak, kehidupan selepas itu yang lebih menentukan. Apa jua keputusan, jalan terus sahaja. Insya Allah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...