Entri 15: Buku Fajar Menyingsing di Ashby Road

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Saya tak sangka di muka-muka surat terakhir saya membaca buku ini, air mata saya bergenang.



Dan terus terang saya akui, sepanjang proses membaca buku ini juga, saya menahan sebak.

Arwah ayah saya, Ahmad Hafni Hj Hashim merupakan salah seorang pelajar STAR Batch Kedua. Seterusnya, adik saya Muhammad Hifzaili, adalah pelajar Batch 41.

Arwah Pakngah saya, Hj Muhammad Hj Hashim, adalah salah seorang tenaga pengajar terawal di sekolah tersebut.

Dulu, saya cuma kenal STAR sebagai sekolah ayah, adik dan pakngah saya sahaja. Tetapi selepas khatam buku ini, baru saya faham yang sekolah ini rupanya lebih daripada itu, bahkan sangat penting dan bermakna dalam sejarah pendidikan negara!

Hebat sebenarnya STAR ni.

Melalui buku ini barulah saya tahu --

Apa itu Penyata Razak dan signifikannya kepada pendidikan orang Melayu,

Siapa sebenarnya Tun Hamdan bin Sheikh Tahir, yang sebelum ini hanya saya kenali sebagai TYT Pulau Pinang sahaja,

Dan...

Siapa di dalam 'circle of friend' ayah saya, yang selama ini saya hanya kenal nama sahaja. Bila dah habis baca buku yang setebal lebih 480 muka surat ni, baru saya lebih faham kenapa ayah saya dan Starian lain amat akrab hingga usia tua dan akhir hayat mereka.

Buku ini adalah himpunan kisah pengalaman dan cerita pelajar rintis STAR, yang rata-ratanya budak kampung.

Datang dari seluruh negara termasuk Brunei.
Jika tidak kerana pemimpin yang berpandangan jauh dan berani membuat perubahan drastik pada masa itu, mungkin orang Melayu kebanyakannya terus kekal sebagai petani dan nelayan sahaja.

Terima kasih kepada BAPA Perdana Menteri kita sekarang yang membuka peluang pendidikan untuk anak Melayu supaya pandai berbahasa Inggeris dan mendapat pelajaran yang lebih tinggi.

Membaca buku ini, sejarah dapat, motivasi pun dapat.

Antara kisah yang saya paling kagum -- kisah hidup Tan Sri Datuk Dr Abdul Samad Alias dan Mej Jen Dato' Ghazali Ibrahim (B).

Bagaimana pengaruh seorang guru sangat besar kepada kejayaan mereka. Yang mana kata-kata dan tindakan guru tu kalau diucapkan atau berlaku pada zaman sekarang, mesti viral semalaya.

Nak tahu apa dia, kenalah baca ya.
Tak banyak sikit, terubat rindu pada arwah ayah saya bila ada namanya disebutkan di penghujung buku. Tumpang bangga sebab ayah dan adik berpeluang belajar di sekolah menengah Melayu pertama.

Kepada semua yang membaca hingga perenggan akhir ini, saya mohon sedekahkan Al Fatihah untuk arwah ayah dan pakngah saya. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

Hifzaila Hafni
Proud daughter, sister and niece to Starians

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...