Stres dengan Kerenah Anak, Amalkan Doa Ringkas Ini

Teks: Hifzaila Hafni

Berada di rumah 24 jam bersama anak-anak sebenarnya tidaklah seindah mana yang saya bayangkan sebelum ini. Saya cukup kuat bila masih anak satu. Bertahan sewaktu anak masuk dua. Kini terasa sungguh mencabar untuk kawal emosi bila anak sudah tiga.

Minggu lepas, saya kurang sihat jadi sedikit saja kesalahan anak pun terasa amat serius di mata saya. Maklumlah diri sendiri kurang rehat, tetapi masih perlu mengurus rumah tangga seperti biasa. Saya jadi cepat naik angin dan pemarah.

Bila saya marah, anak jadi lebih agresif, mereka juga marah sepertimana saya memarahi mereka dan sukar menerima arahan malahan semakin berani menjawab dan melawan.

Saya memang putus asa juga. Saya rasa 'lost' sangat dan akhirnya saya menangis di depan anak-anak akibat tak tertahan dengan kerenah mereka serta anak kecil yang menangis mahukan perhatian.

Sampailah satu ketika saya berfikir sampai bila saya perlu jadi begini?

Emosi dan perlakuan anak sangat dipengaruhi oleh emosi dan perlakuan ibunya juga. Saya baru sedar hakikat ini. Jadi saya terfikir, untuk mengubah anak-anak kembali kepada sebelum ini yang mana mereka mudah mengikut arahan, tidak melawan cakap dan kurang marah-marah; sudah tentu perlu bermula daripada saya, ibu mereka.

Saya memang tak kuat. Dan jujurnya saya tak tahu bagaimana nak bermula. Sehingga Allah ilhamkan sesuatu pada suatu hari.

Ada sekali insiden marah si sulung. Geram sungguh saya dibuatnya. Nak kurangkan marah, saya masuk ke bilik untuk menyusu si kecil yang kebetulannya memang sudah meraung-raung mahu menyusu.

Si tengah ikut masuk ke bilik. Kemudian bermain-main di sekeliling saya. Sesekali dia akan terlanggar saya, itu tak mengapa. Saya risaukan dia terlanggar adiknya yang berads di pangkuan saya. Terlanggar kaki, kepala. Atau kadang dibalingnya mainan takut terkena pada adiknya. Saya amat rimas pada waktu itu, disuruhnya menjauh, manakan mahu dia turuti.

Saya hanya istighfar, berulang-ulang dengan suara yang tidak terlalu kuat, cukup dengar di telinga saya sahaja. Sebelum ini di dalam hati sahaja, seolah tidak berkesan mungkin kerana terlalu marah atau kurang keikhlasan. Jadi istighfar sahaja tidak cukup untuk saya. Agaknya tidak diucap dari hati.

Tiba-tiba hari itu Allah datangkan ilham. Ilham untuk baca Doa Nabi Yunus.

Doa ketika berada dalam kesusahan atau kesukaran.

Ya, doa yang sering diungkapkan sewaktu menahan sakit bersalin supaya dimudahkan urusan bersalin.

Jadi saya terfikir, apa salahnya cuba zikir doa Nabi Yunus ini? Keadaan sekarang pun hampir sama saja, berada dalam situasi sukar.

Maka saya pun bacanya berulang kali sehingga satu masa saya jadi tenang dan mampu mengawal emosi saya.

Lega. Tenang. Relaks.

Memang mujarab. Kesannya agak cepat dan membuatkan saya mampu mengurangkan tekanan sebelum itu.

Hasilnya, saya boleh bercakap dengan tenang pada anak tanpa jeritan dan marah-marah. Anak juga lebih terkawal emosi mereka.

Alhamdulillah. Sejak itu saya cuba untuk amalkan doa ini sewaktu tertekan dengan kerenah anak dan bila saya berada dalam situasi yang sukar.

Doanya memang mudah dan pendek sahaja, sebab ia agak berkesan untuk saya, saya fikir mungkin ada dalam kalangan kita yang boleh cuba cara ini juga bila berdepan dengan ragam anak-anak yang memeningkan kepala.

Sesungguhnya segala yang baik datang dari Allah, dan segala yang buruk datang dari diri saya sendiri.

Doa Nabi Yunus:
La ila ha illa anta, subhanaka inni, kun tu minaz zolimin.
posted from Bloggeroid
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...