Sakinah dan Mawaddah

Teks: Hifzaila Hafni

Pagi ini sedang saya siapkan cili kering untuk dikisar bersama bawang merah dan bawang putih, sambil-sambil itu pasang telinga dengar tazkirah Ustaz Muhammad Abdullah Al Amin di radio Ikim.

Saya terlepas dengar apa topiknya, tetapi berkaitan keluarga sakinah dan mawaddah, begitu. Namun, yang terngiang di telinga saya adalah 'kerja rumah (kerja memasak ke, saya kurang pasti), bukanlah wajib bagi isteri tetapi sebagai ihsan dan memberi mawaddah kepada sesebuah keluarga.

Elok benar topiknya dengan kerja yang saya sedang lakukan, nampaknya.

Ustaz ada berkongsi, katanya semasa membasuh beras, memasak -- selain zikir, boleh baca doa dan juga surah-surah daripada Al Quran. Semasa memasak, Ustaz sarankan membaca surah Al Kauthar supaya setiap ahli keluarga yang makan masakan tadi diberi kelembutan hati, bersikap baik. Isteri yang masak dengan mood yang baik, diiringi doa-doa lebih baik daripada dok membebel (ops!).

Satu lagi, kata Ustaz, berkat doa orang dulu yang doakan seluruh masyarakat, jadinya masyarakat yang terbentuk baik-baik belaka. Beliau beri satu contoh.

Ustaz bertanya seorang mudim, apa beza mudim dengan doktor yang mengkhatankan kanak-kanak ni?

Jawapan mudim "Ustaz, setiap kali saya mengkhatankan kanak-kanak ini, saya berdoa supaya dijauhkan kemaluan anak ini daripada zina dan segala maksiat yamg berkaitan dengannya."

Cuba lihat bagaimana orang dulu-dulu berdoa untuk masyarakat. Mungkin asbab doa sebegitu, berkatnya sampai. Masyarakat juga kurang bermasalah.

Boleh jadi salah satu faktorlah kan.

Apapun, saya bersyukur diberi kesempatan mendengar pengisian hari ini. Memang tepat sangat ke hati.

Selamat berhari Isnin!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...