Belajar Jual Produk Orang Dahulu

Teks: Hifzaila Hafni

Saya pada awalnya memang tak pernah sangka atau ingin terlibat dalam bisnes pun. Matlamat saya hanyalah mahu jana wang dengan kerja freelancing dan menulis blog sahaja.

Namun, ditakdirkan, dikelilingi ramai rakan bisnes, banyak pula peluang yang ada depan mata serta boleh dapat duit poket lebih cepat berbanding kerja freelance semata, membuatkan saya akhirnya terjebak juga.

Menjana wang semata-mata dari blog melalui trafik yang tinggi dan iklan sangat mencabar dan menuntut komitmen yang agak tinggi, di samping memerlukan sedikit kemahiran teknikal. Dulu, saya fikirkan mudah saja untuk jana wang dengan cara begini, tetapi dengan kemunculan semakin banyak blog dan janaan wang yang mengambil masa yang agak lama, mahu tak mahu saya perlu belajar berjualan.

Memilih produk juga sedikit sukar pada saya di awalnya. Tetapi akhirnya saya jalan sahaja, promosikan produk-produk yang ditawarkan oleh ABDR dan makanan tambahan Shaklee. Saya jalankan kedua-dua bisnes serentak.

Pernah juga terfikir untuk buat produk sendiri seperti pes kuah pecal dan ambil tempahan masak nasi arab tetapi bila dipertimbangkan, kami suami isteri tak mampu nak lakukannya. Melainkan sekadar suka-suka untuk saudara mara dan rakan terdekat sahaja.

Jadi tahun 2014 dan 2015 merupakan tahun yang agak aktif saya mulakan kedua-dua bisnes. Maklumlah sebagai persediaan bekerja di rumah nanti. Banyak bahan promosi dan sokongan yang diberi oleh leader. Juga banyak bimbingan dan tunjuk ajar. Yang tinggal untuk saya sebagai ejen, hanyalah promosikan dan kongsi sebarkan kebaikan produk yang dipasarkan.

Mudah kata, saya menjadi ejen dropship.

Kedua-dua bisnes saya mulakan dengan modal yang rendah. Saya tak perlu simpan stok dan tak perlu uruskan pengeposan. Dan kedua-duanya juga produk orang lain. Saya tolong jualkan dan dapat komisen. Inilah konsep dropship yang sering jadi pilihan mereka yang baru bermula berbisnes termasuk saya kerana risiko dan modalnya rendah.

Produk ABDR seperti kelas asas blog dan ebook, semuanya produk digital dan berada dalam talian sahaja. Produk Shaklee juga, saya hanya akan order bila menerima tempahan dan bayaran, di website Shaklee. Segala urusan stok dan pos, pihak Shaklee bereskan.

Jadi mudah untuk mulakan bisnes dengan belajar menjual produk orang dahulu atau memilih menjadi ejen dropship. Kita akan belajar promosi, gunakan FB page, Instagram dan lain-lain dengan bantuan, bimbingan dan sokongan oleh pihak yang tawarkan dropship.

Kita boleh tumpukan pada kebaikan produk dan pengalaman menggunakannya tanpa perlu fikirkan proses pengeluaran dan pembuatan yang memerlukan kos yang banyak. Sedangkan kita baru berjinak-jinak dan tiada modal tinggi.

Masuk tahun 2016, saya melibatkan diri dalam satu lagi cabang bisnes yang juga menjual produk orang. Produk ini lebih dekat di hati saya dan saya sangat seronok lakukannya. Tetapi dalam masa yang sama kedua-dua bisnes saya sebelum itu masih juga berjalan.

Saya kongsikan satu lagi cabang bisnes dropship yang sesuai untuk ibu-ibu cuba, dalam entri seterusnya ya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...