Ulasan Buku: Memulakan Bisnes Sendiri

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Buku Memulakan Bisnes Sendiri (MBS) ini ditulis oleh Puan Ainon Mohd, Pengerusi Syarikat-syarikat PTS. Kali terakhir buku ini dicetak adalah pada tahun 2007 dan dicetak semula pada tahun 2016 sebagai Edisi Kemas Kini.

Buku MBS ini merupakan buku terlaris PTS pada tahun 2006 dan harus menjadi bacaan wajib bagi bakal-bakal usahawan, tak kira dalam bidang apa yang diceburi. Dengan jumlah muka surat sebanyak 145 halaman dan bersaiz kecil, buku ini sangat handy, ringan dan mudah dibaca serta dibawa ke mana-mana.

Isi kandungan buku ini terbahagi kepada 11 bahagian, antara topik yang dibincangkan adalah Mitos Dalam Dunia Bisnes, Motivasi Memulakan Bisnes, Memilih Rakan Kongsi dan Perniagaan Gerai dan Restoran.

Penyampaian yang santai, lebih kepada perkongsian pengalaman dan pemerhatian Puan Ainon sendiri menjadikan buku ini agak ringan dibaca dan mudah difahami.

Buku MBS ini berbeza daripada buku bisnes yang biasa, yang mana kandungannya tidak menjurus kepada teori bisnes semata-mata tetapi lebih kepada realiti dan contoh sebenar yang dilalui oleh usahawan semasa mahu memulakan atau setelah menjalankan bisnes.

Bagi mereka yang ingin memulakan bisnes gerai dan restoran, amat digalakkan membaca Bahagian 10, yang memberikan faktor kejayaan restoran mamak, kedai makanan Cina dan restoran masakan Padang.

Menurut Puan Ainon dalam catatan 'Daripada Pengarang' menyebutkan:

"Tidak semua orang dapat memulakan bisnes sendiri dengan jayanya. Majoriti individu yang cuba menceburi bidang bisnes mengalami kegagalan dan kerugian dalam tempoh 3 tahun selepas membuka bisnesnya. Ini adalah realiti. Jadi buku ini ditulis bagi membantu saudara mengukur diri saudara, apakah saudara mempunyai keupayaan dan kesanggupan memulakan bisnes sendiri."

Jika anda mempunyai perancangan mahu menceburi bidang bisnes, sama ada kecil atau besar, digalakkan membaca naskhah ini dahulu sebelum bertindak. Sekurang-kurangnya dapat memberi gambaran kasar realiti sebenar dunia bisnes sebelum anda terjun ke bidang yang mencabar ini.

=============================

Berminat untuk dapatkan buku ini, boleh klik di sini .


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...