Tip Konsisten Menulis

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: theodysseyonline

Selalu kita dengar orang mahu menulis tapi tiada idea, atau tak tahu mahu menulis apa. Ada sesetengahnya ada idea tapi seolah tersekat untuk alirkan idea tersebut.

Menulis, walaupun di blog, tetap perlu idea, inspirasi dan motivasi untuk terus konsisten. Di sini saya kongsikan beberapa tip yang boleh dijadikan motivasi untuk menulis.

1. TETAPKAN TUJUAN ATAU NIAT MENULIS

Kita menulis untuk apa? Jika di blog, menulis untuk sebarkan kebaikan, ilmu atau semata-mata untuk naikkan trafik? Cuba fikir kembali niat menulis sama ada untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman, atau sebab seronok lihat orang lain ada blog atau untuk promosi bisnes anda. Jika menulis buku, adakah untuk berkongsi kebaikan atau semata-mata untuk royalti?

Setelah kita kenal pasti tujuan dan niat menulis, barulah jelas dan kita tak hilang arah dan minat.

2. CARI SATU KATA HIKMAH ATAU MUTIARA KATA DAN TULIS MENGENAINYA

Cuba cari di internet poster kata hikmah/mutiara kata atau apa-apa 'quote' berkaitan satu topik. Kemudian tulislah mengenainya. Kita boleh tulis pendapat mengenai kata hikmah tersebut atau pengalaman kita berdasarkan kata hikmah itu. Pasti ada kisah atau cerita yang boleh ditulis.

3. BANYAK MEMBACA

Ambil satu bahan bacaan. Boleh jadi artikel majalah, buku, artikel di web, sisipan berita atau sebarang jenis bahan bacaan. Boleh tulis komen atau buat ulasan tentang tajuk yang dipilih. Membaca boleh mencetuskan idea menulis. Banyak membaca, makin mudah menulis.

Menurut saudara Khairul Hakimin Muhammad, beliau membaca 4 buah buku seminggu dan berjaya menulis hampir 10 manuskrip untuk diterbitkan sebagai buku dalam setahun.

Baca perkongsian beliau di Apemazing.

4. SERTAI KUMPULAN SOKONGAN MENULIS

Sekarang ini, banyak kumpulan sokongan yang saling membantu dalam bidang penulisan. Tak kiralah sama ada menulis blog atau buku. Boleh cari di Facebook atau di web. Sertai kumpulan ini dan belajar daripada mereka yang berpengalaman. Pasti sedikit sebanyak meningkatkan motivasi menulis bila berkongsi minat dan mengambil semangat orang lain.

Suri rumah atau suri berkerjaya yang minat menulis boleh sertai kumpulan sokongan online seperti Akademi Bekerja Di Rumah yang menawarkan kelas asas penulisan.

5. FOLLOW OTAI PENULISAN

Di Facebook, bukan sahaja kita berkawan-kawan, tetapi juga mampu jadi ruang menambah ilmu. Cuba cari dan follow otai-otai dalam bidang penulisan dan belajar cara menulis melalui status mereka atau hadir ke bengkel yang mereka anjurkan. Otai penulisan boleh jadi daripada mereka yang dalam kalangan jurulatih kursus penulisan, bekas wartawan, editor majalah, penulis buku, novelis atau pensyarah penulisan. Kita boleh aplikasikan ilmu yang mereka kongsi untuk kita terus menulis.

Jadi, tidak kira sama ada kita menulis di blog atau buku, pada asasnya perlu terus berusaha menulis dan konsisten. Insha Allah jika kita sebarkan kebaikan dan ilmu, mudah-mudahan menjadi saham akhirat untuk kita.

Semoga bermanfaat dan bersemangat untuk terus menulis!

Hz
Menulis sebab minat

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...