Mengurus Jadual Bekerja Di Rumah

Teks: Hifzaila Hafni

Salah satu cabaran terbesar apabila bekerja di rumah adalah menguruskan masa.

Disebabkan kita punya masa yang fleksibel yang tidak terikat dengan waktu pejabat, kadangkala kita sering terleka dan banyak menghabiskan masa dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Saya juga tidak terlepas daripada masalah ini, dan hampir saban hari, saban minggu, jadual tetap berubah mengikut kesesuaian dan keadaan. Jika di peringkat awal bekerja di rumah dahulu, tekanan menguruskan masa agak besar, tapi kini dengan sedikit pengalaman dan pembacaan serta perkongsian daripada rakan-rakan lain yang turut bekerja di rumah banyak membantu saya menstrukturkan semula jadual harian.

Tiada satu pun jadual yang ideal atau sempurna untuk diikut. Hanya kita yang tahu situasi dan komitmen yang perlu setiap hari. Kita juga yang paling tahu dan faham kekuatan dan keupayaan diri sendiri. Jadi setiap orang berbeza cara pengurusan dan keperluannya. Maka, mengambil contoh atau menjadikan jadual rakan lain sebagai panduan dibolehkan, tetapi kita sesuaikan dengan situasi kita. Barulah kita kurang stres.

Jika orang lain beranggapan menjadi suri rumah atau suri yang bekerja di rumah ini banyak masa senggang, mungkin ya, mungkin tidak. Di mata kita, seseorang itu seakan banyak masa senggang mungkin disebabkan kerja-kerjanya telah siap awal-awal lagi dan waktu yang ada itulah untuknya berehat seketika. Ada juga antara kita yang mungkin ambil masa 'me time' sebentar, sebelum menyambung semula dengan kerja-kerja lain selepas itu. Yang pasti, memang kerja di rumah tak pernah habis. Itu keadaan biasa, jadi tak perlu terlalu stres. Urus masa ikut kemampuan diri sendiri.

Cuma, saya bersetuju dengan mentor saya, Puan Masayu Ahmad tentang menyenaraikan tugasan yang perlu dibuat setiap hari. Ini untuk mengingatkan kita agar tidak tersasar dan leka dengan perkara yang boleh menghabiskan masa. Saya juga ada mengikuti perkongsian Puan Azura Abdullah tentang disiplin bekerja di rumah.

Memang pada hakikatnya tidak mudah tetapi tidak sukar juga.

Semoga berjaya!

Hifzaila
Beribu kali tukar jadual

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...