Pengalaman Menjadi Working At Home Mother (WAHM)

Teks: Hifzaila Hafni

Seronokkah menjadi wahm?

Itu soalan yang ditanya kawan kepada saya. Seronokkah?

Bagi saya yang mempunyai pengalaman menjadi wahm sebanyak 2 kali, jika ditanya seronok atau tidak, setakat ini saya boleh katakan saya selesa begini.

Nak kata seronok mungkin agak subjektif, bagi saya keadaan selesa itu lebih sesuai.

Selesa bagaimana?

Selesa dari segi menguruskan keluarga. Selesa tanpa memikirkan karier. Selesa mengatur jadual harian. Selesa menjaga anak sendiri.

Tapi, dari segi kewangan, emosi ada kalanya kurang selesa juga. Biasalah setiap keputusan akan ada pro dan kontranya.

Memang betul, menjadi wahm tidaklah seindah yang dibayangkan sebenarnya. Indah apabila berada di rumah dikelilingi anak sepanjang masa, namun wahm sebenarnya amat ingin 'me time' yang sering kali terlepas pandang dek kesibukan mengurus rumah tangga.

Mahu juga sedikit masa untuk diri sendiri, rehat dan cuti. Namun hakikat sebenarnya kadang kala memang sukar. Seharian berlalu dengan kesibukan urus kerja rumah dan bisnes (bagi yang berbisnes).

Tak dinafikan bila ibu diulit dengan komitmen rumah tangga, seolah tiada masa untuk diri sendiri. Kadang kala sukar juga mahu mengawal emosi bila dihimpit dengan kekalutan mengurus anak-anak dan rumah tangga. Maka cepat benar migrain dan stres.

Jadi bila berada dalam keadaan begini, perlu kembali fikir apa tujuan menjadi wahm.

Ingin mengurus dan mendidik anak sepenuhnya sendiri, ingin bebas daripada waktu kerja 9-5, ingin lebih banyak masa bersama keluarga, atau apa saja tujuan asal - fikirkan kembali.

Setelah jelas dengan tujuan, barulah mampu bertenang dan meneruskan langkah.

Saya juga mengalami fasa emosi tak terkawal, tak stabil dan rendah diri. Tapi, usah dibiar terlalu lama.

Cuba berkawan dengan atau mengikut orang-orang positif mampu kembalikan emosi dan gelombang yang positif dan baik-baik.

+ Di Facebook contohnya, carilah kawan yang sentiasa bersemangat dan mampu memberi getaran positif kepada hidup seharian kita. Tinggalkan, unfriend atau hide rakan yang negatif. Kita tak perlukan tenaga negatif di Facebook kita.

+ Jika tonton tv, pilih program yang berinformasi dan mendatangkan manfaat. Elak menonton drama yang kebanyakan bukan berpijak di bumi nyata.

+ Baca buku yang memberi inspirasi dan motivasi. Cuba juga baca terjemahan atau tafsir Al Quran.

+ Lakukan kerja rumah dengan senyuman dan anggap ia adalah ibadah. Peluang menambah pahala, menghapus dosa-dosa.

+ Perlahan-lahan namun konsisten. Fokus dan teruskan jalan.

Jika terlalu lelah, rehatlah. Wahm juga manusia.

Salam Rabu.

Hifzaila
Wahm yang sering turun naik juga emosinya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...