Cara Buat Laksa Ekspres

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Suka makan laksa?

Sebungkus atau sepinggan laksa sekarang harganya RM4 ke RM5 kan? Lepas tu sikit saja, tak puas makan. Rasa macam mahal saja. Tapi apa boleh buat, harga barang pun mahal.

Yang boleh buat, nak makan sepuas hati, masaklah sendiri.

Disebabkan itulah, saya usahakan juga masak laksa sendiri biarpun tak menjadi sangat. Tapi bukan ke practice makes perfect?

Insha Allah, lama-lama pandai lah ye tak.

Sebelum ini, teringin sangat laksa Rizalman. Katanya sedap sangat-sangat. Tengok resipi pun rasa terliur, lalu saya cuba.

Ya! Memang betul sedap tapi agak renyah dan leceh, bagi saya. Jadi lepas tu saya buat laksa versi sendiri saja.

Laksa ni saya namakan Laksa Ekspres, sebab cepat dan pantas saja nak membuatnya. Bahan pun tak banyak dan insha Allah dapatlah melepaskan teringin sekali-sekala.

Ini saya kongsikan resipi laksa mudah, cara saya.

Laksa Ekspres




Bahan:
1 kg laksa panjang
2 tin kecil/1 tin besar sardin
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
3-4 sudu besar serbuk cili/cili mesin
1/2 inci belacan bakar
4-5 keping asam gelugur
1 genggam daun kesum
Garam dan gula melaka/perang
Air

Cara masak:
- Kisar sardin, kemudian masukkan dalam periuk. Kuah tomato kalau taknak, boleh diasingkan. Ganti kuah tomato denga air.
- Kisar bawang besar, bawang putih, belacan dan cili. Kemudian terus masuk ke dalam periuk juga.
- Tambah air dan asam gelugur, air ikut kepekatan yang disukai. Kacau rata.
- Masak sampai mendidih.
- Masukkan daun kesum, garam, gula melaka/gula perang.
- Sesuaikan rasa. Sedap kalau masam sikit. Dah ok, tutup api.
- Panaskan air dalam periuk lain. Rebus laksa sekejap. Toskan.
- Dalam mangkuk, letak laksa, bawang besar hiris nipis, daun salad dicarik-carik. Curahkan kuah.
- Sedia dihidangkan.

*Cadangan tambahan bahan hiasan: timun, nenas, telur rebus, daun selom, limau kasturi.

* * *

Saya gunakan sardin dalam tin sebab saya nak cepat. Agak mahal sedikit berbanding ikan sardin mentah.

Dalam membuat laksa, nak mengasingkan isi ikan dari tulang tu yang mencabar sedikit dan ambil masa. Dan satu lagi, saya risau termasuk tulang ikan dalam kuah, jadi kena hati-hatilah ya.

Atau boleh cuba guna ikan tenggiri, lebih mahal tapi mudah juga sebab kurang tulang berbanding ikan sardin.

Selamat mencuba!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...