Buah Tangan Sewaktu Ziarah, Pentingkah?

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Buah tangan, pentingkah ketika berziarah?

Saya teringat suatu ketika saya dan adik ingin berziarah ke rumah nenek saudara yang kami gelar Toklang. 

Toklang merupakan antara saudara yang paling rapat dengan kami dan jika berkesempatan kami akan singgah ke rumahnya bila pulang ke kampung untuk bertanya khabar. Itu beberapa tahun dahulu, Toklang kini sudah tiada, sudah hampir 2 tahun Toklang meninggal dunia.

Suatu hari kami dalam perjalanan ke sana, waktu itu terfikir apa yang boleh dibawa sebagai buah tangan.

Singgah sajalah beli apa-apa yang terjumpa dalam perjalanan, kata saya pada adik.

Rasa tak sedap hati kalau berziarah dengan tangan kosong. Biarpun sedikit atau ringkas, tetap juga mahu bawa sesuatu.

Alhamdulillah gerai tepi bendang yang menjual kuih-muih buka pada hari itu. Kami berhenti dan membeli pisang goreng dan beberapa jenis kuih. Tidaklah banyak sangat, kami beli setakat yang mampu sahaja. Maklumlah waktu itu masing-masing masih bujang, bolehlah kalau nak berkongsi seorang sedikit.

Sesampainya kami di sana, seperti biasa keluarga Toklang menyambut mesra. Kami bersembang-sembang hinggalah sampai satu ketika, Toklang seakan bergenang air mata.

Rupa-rupanya pisang goreng dan kuih-muih yang kami bawa itu penyebabnya.

Katanya, dia rasa sangat terharu dan menghargai buah tangan yang kami bawa walaupun tidaklah banyak.
Kami terkedu dan terdiam. Tak sangka perkara sekecil itu menjadi besar pada sesetengah orang. 

Mungkin pada pandangan orang tua, berbeza berbanding kita orang muda.

Pada mereka, itu tanda ingatan. Tanda hormat, tanda adab yang baik. Pada kami, semata-mata untuk berkongsi rezeki yang ada. Padahalnya, kami lebih lagi menerima rezeki yang jauh lebih banyak di sana, bila dijamu hidangan kampung yang sedap-sedap seperti masakan arwah mak yang kami rindui. Tak setanding pun dengan buah tangan yang kami bawa.

Satu lagi, sepupu saya. Setiap kali berziarah ke rumahnya, dia pasti akan bekalkan apa-apa saja makanan untuk dibawa pulang. Kerepek, kuih atau apa saja yang ada di dapurnya. Sudahlah dijamu makan sedap-sedap, tetamu pula diberi buah tangan. Sebab itu sepupu saya ini sentiasa dimurahkan rezeki mereka. Tetamu sering datang, mereka tak pernah jemu melayan tetamu. Tak pernah tak dijamu makan bila tetamu datang. Dan walaupun rumahnya kecil, tetap menjadi tumpuan saudara-mara datang apatah lagi sewaktu hari raya. 

Sejak itu, saya biasakan diri untuk bawa apa-apa saja buah tangan jika berziarah kecuali benar-benar terkekang untuk membawanya. Biarpun kecil, murah atau ringkas asalkan ada. Tuan rumah pasti amat senang dan berbesar hati menerima.

Begitu juga kalau kita pulang ke rumah mak ayah. Biasakan membawa apa-apa buah tangan biarpun sedikit. Hatta seplastik kecil kuih-muih, sebungkus kerepek atau sebekas jemput-jemput pisang. 



Kalau sekadar pisang sesikat pun tak mengapa. 

Atau apa-apa saja yang mak ayah kita suka.

Mereka pasti rasa teruja dan dihargai.

Dan mak ayah juga jika boleh terimalah dengan hati terbuka dan tidak banyak soal. Mungkin itu sahaja yang termampu oleh anak pada waktu itu.

Tidaklah kita balik 'ngabihkan boreh' rumah mak ayah saja kan. Ayah mungkin tak kisah ke pasar membeli ayam dan ikan segar untuk santapan anak-anak yang pulang. Mak juga mungkin tak berkira mahu memasak menu kegemaran anak-anak biarpun kudratnya tidak sekuat mana. Anaklah yang perlu ada timbang rasa dan belas ihsan. 

Biasakanlah diri kita membawa tak banyak sikit buah tangan ketika berziarah atau pulang ke kampung menjenguk mak ayah. Kita tak tahu asbab perkara kecil itu Allah mudahkan urusan dan tambah keberkatan dalam rezeki kita pula.

Salam Aidil Adha Kedua,
Hifzaila

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...