Tiada Lagi Cuti Kecemasan Bila Anak Kurang Sihat

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Salah satu kebaikan menjadi seorang wahm adalah bila anak-anak kurang sihat.

Ibu tak perlu risau dan serba salah nak hantar anak ke taska/pengasuh, dan suami juga tak perlu berfikir-fikir sama ada dia atau isteri yang perlu bercuti kecemasan.

Anak-anak saya, keduanya batuk dan selsema sejak semalam. Kalau dulu sewaktu bekerja, memang saya dah berbelah bahagi, berkira-kira sama ada bangun pagi Isnin nanti anak akan pulih dan sedia dihantar ke taska atau saya terpaksa EL.

Yang pasti, jika perlu EL, jasad di rumah tapi fikiran ke tempat kerja mengenangkan kerja dan tanggapan orang lain. Betapa negatifnya pemikiran saya waktu itu, padahal anak yang kurang sihat perlu diberi perhatian sepenuhnya.

Keadaan itu sudah berlalu dan saya juga sebolehnya tak mahu kenang semula. Peluang yang saya ada sekarang, lebih baik saya gunakan sebaiknya.

Aktiviti bisnes juga masih boleh berjalan seperti biasa. Update iklan, tulis blog, balas pm dan ambil order. Cuma ada ketika mungkin ambil masa lebih sedikit berbanding hari biasa.

Seperti yang dijangka, pagi ini memang menjadi-jadi juga batuk dua beradik ni. Selsema berkurang sedikit. Yang adik macam biasalah akan jadi sedikit manja dan nak mengempeng. Saya juga memang dah jangka, jadual saya hari ni akan sedikit terganggu.

Namun, sempat juga mengemas SOHO dan masak makan tengah hari. Tapi dalam kebanyakan masa, sama ada si adik nak berdukung atau nak mengempeng sahaja. Jadi aktiviti saya memang terbatas sedikit. Dan masa yang ada, terpaksa buat kerja dengan pantas dan cergas.

Anak yang kurang sihat, biarpun pada zahirnya nampak sihat tapi jika berlarutan, risau juga. Namun kadangkala dengan kehadiran ibu atau bapa boleh membuatkan anak cepat sembuh.

Anak saya, kalau dalam keadaan macam ni, saya akan masakkan sup dan bubur nasi. Sup ayam, kalau ada. Kalau tidak sup ikan atau daging. Atau sekurang-kurangnya sup telur. Mereka selalunya akan berselera sedikit. Sup pun yang direneh sahaja tanpa minyak dan saya akan lebihkan bawang putih.

Tak makan banyak tak mengapa, asalkan ada makanan masuk ke perut. Kalau tak makan risau masuk angin, masalah lain pula.

Jika keadaan tak berubah, saya akan mulakan ubat. Jika tidak, saya lebih suka beri mereka minum lebih banyak air kosong, beri madu dan sapu minyak panas sahaja selain pastikan mereka cukup rehat dan tidur. Mandi pun, saya guna air suam, untuk bantu longgarkan kahak dalam badan. Lepas tu sapu dada, belakang dada, tapak kaki dan betis dengan minyak telon. Kalau rajin, saya buatkan minyak bawang putih untuk disapu. Semasa tidur malam, pakaikan stokin atau selimutkan kaki serta perlahankan kipas. Kalau perlu, saya beri ubat cair kahak/batuk. Kahak tadi sama ada akan dimuntah keluar atau keluar bersama najis. Kalau bagi madu pun boleh untuk keringkan kahak anak.

Walaupun sedikit kurang sihat, mereka masih aktif bermain. Jadi saya kurang risau. Cuma perlu pantau jangan sampai demam. Jadi kena sediakan termometer dan ubat punggung kalau tiba-tiba suhu badan naik mendadak.

Semoga anak-anak baik sahaja. Ibu wahm, EL sendiri nampaknya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...