Perlukah Isteri Berhenti Kerja?

Teks: Hifzaila Hafni

Perlukah isteri berhenti kerja?

Minggu lepas, dua kali melintas status begini di Facebook saya.

Kebetulan pula, kedua-dua status dimuat naik oleh jurufoto yang saya kagumi hasil kerja mereka. Kedua-dua mereka juga mempunyai isteri yang mempunyai kerjaya yang stabil dan hebat yang pada pandangan orang kebanyakan, betapa rugi sang isteri berhenti kerja sedangkan berupaya membantu ekonomi keluarga.

Alasan untuk berhenti kerja, jurufoto A minta isterinya sama-sama urus bisnesnya yang semakin berkembang. Jurufoto B pula, mahukan sentuhan isteri sendiri dalam mendidik dan membesarkan anak-anak.

Dalam kes mereka, bukan isteri langsung tidak bekerja selepas itu, cuma waktu bekerja jadi lebih fleksibel dan mempunyai kebebasan untuk membawa anak bersama ke tempat kerja. Kepakaran mereka masih diperlukan, cuma di tempat yang berbeza, dengan lebih banyak masa bersama keluarga - sambil bekerja. Work in flexi hours.

Jadi, bukanlah isteri berhenti kerja semata-mata, cuma berubah arah dengan fokus lebih kepada keluarga dan membantu bisnes suami (dalam kes isteri mereka berdua).

Dalam kes saya pula, saya sendiri yang ingin berhenti kerana tak sanggup berulang-alik ke tempat kerja yang jaraknya tidak jauh tetapi perlu mengharungi kesesakan jalan raya yang amat meletihkan - setiap hari. Saya benar-benar penat dalam perjalanan. Tambahan pula dengan bebanan kerja yang saya rasakan semakin tak mampu ditanggung. Saya semakin hilang fokus di tempat kerja apabila anak semakin membesar dan bertambah. Disebabkan itu, saya nekad menghantar surat berhenti biarpun keadaan kewangan kami belum betul-betul stabil. Alhamdulillah suami setuju walaupun sedikit keberatan.

Namun saya percaya rezeki ada pada anak-anak. Dan saya juga percaya pada rezeki suami. Dalam masa yang sama, saya teruskan bisnes online yang sudah saya mulakan sejak bekerja untuk menampung sedikit sebanyak kewangan keluarga.

Memang tidak mudah. Tapi sekurang-kurangnya kurang kerisauan tentang anak yang dijaga oleh orang lain. Taska anak saya alhamdulillah ok saja. Cuma saya lebih puas jika dapat membesarkan mereka sendiri, sekurang-kurangnya 6 bulan pertama. Maklumlah tempoh masa ini bayi amat memerlukan ibu untuk menyusu.

Memang tidak semua ibu mendapat peluang begini. Dan jika terpaksa bekerja juga bukanlah suatu yang perlu dikesali atau berasa bersalah.  Setiap orang rezekinya berbeza.

Apapun, bagi saya sendiri, saya rasa lebih tenang kerana hilang satu bebanan bekerja di pejabat. Fokus saya sekarang adalah mendidik anak-anak, terus belajar menulis dan mengembangkan bisnes yang ada. Insha Allah.

Semoga segala urusan kita semua dipermudahkan oleh Allah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...